Automotif

Kereta LEGO Terpantas Pernah Dibina, Catat 111 km/j di Goodwood

Share

LEGO Cipta Rekod Baharu, Koenigsegg Sadair’s Spear Bersaiz Sebenar Catat Kelajuan 111 km/j di Goodwood

Kerjasama antara LEGO Group dan Koenigsegg berjaya mencipta sejarah apabila sebuah model LEGO Technic Koenigsegg Sadair’s Spear bersaiz sebenar yang boleh dipandu mencatat kelajuan maksimum 111 km/j di Goodwood Hill, sekali gus menjadi kereta LEGO terpantas pernah dihasilkan.

Pencapaian itu dicatatkan sempena pelancaran set terbaharu LEGO Technic Koenigsegg Sadair’s Spear Megacar, yang akan mula ditawarkan kepada peminat di seluruh dunia pada Julai ini.

Lebih mengagumkan, kelajuan 111 km/j tersebut dicapai ketika model LEGO bersaiz sebenar itu dipandu secara mengundur di laluan ikonik Goodwood Hill. Rekod tersebut sekali gus mengatasi pencapaian terdahulu bagi kenderaan LEGO yang hanya mampu mencapai sekitar 50 km/j.

Kredit Foto : LEGO

Di sebalik stereng ialah Markus Lundh, pemandu ujian rasmi Koenigsegg yang pernah mencipta rekod pendakian bukit menggunakan Sadair’s Spear sebenar ketika Goodwood Festival of Speed 2025.

Menurut LEGO dan Koenigsegg, projek ini bukan sekadar sambutan pelancaran produk baharu, malah menjadi bukti kemampuan sistem pembinaan LEGO Technic yang membolehkan peminat meneroka dunia kejuruteraan sebenar melalui konsep “Build For Real”.

Dibina Daripada Lebih 327,000 Komponen LEGO

Model bersaiz sebenar itu dibangunkan menggunakan sebanyak 327,906 komponen LEGO Technic dan mengambil masa lebih 9,400 jam untuk direka serta dibina.

Walaupun kelihatan seperti sebuah model pameran, ia sebenarnya boleh dipandu sepenuhnya dan mempunyai berat keseluruhan sekitar 1,800 kilogram, dengan kira-kira 400 kilogram daripadanya terdiri daripada komponen LEGO.

Kredit Foto : LEGO

Pasukan pembangunan turut memastikan model tersebut menampilkan pelbagai elemen yang menyerupai Sadair’s Spear sebenar termasuk badan kenderaan yang dibina sepenuhnya menggunakan elemen LEGO Technic, sistem Ghost Mode yang berfungsi serta kunci ikonik Koenigsegg.

Ketua Pegawai Eksekutif Koenigsegg, Christian von Koenigsegg berkata projek itu membuktikan bagaimana gabungan kreativiti dan kejuruteraan mampu menghasilkan sesuatu yang luar biasa.

“Melihat Sadair’s Spear diterjemahkan bukan sahaja sebagai model LEGO Technic berskala 1:8, malah sebagai sebuah kenderaan bersaiz sebenar yang boleh dipandu merupakan sesuatu yang sangat mengagumkan,” katanya.

Pengalaman Seperti Memandu Koenigsegg Sebenar

Bagi Markus Lundh, pengalaman mengendalikan model LEGO bersaiz sebenar itu mengimbau kembali kenangan ketika beliau mencipta rekod pendakian bukit di Goodwood menggunakan Sadair’s Spear sebenar pada 2025.

Menurutnya, tahap kejuruteraan yang diterapkan oleh pasukan LEGO Technic menjadikan pengalaman pemanduan itu terasa hampir sama seperti mengendalikan sebuah Koenigsegg sebenar.

Kredit Foto : LEGO

Beliau turut menyifatkan pencapaian tersebut sebagai satu lagi rekod istimewa yang berjaya dicatatkan di laluan paling terkenal dalam dunia automotif itu.

Set LEGO Technic Paling Canggih Pernah Dihasilkan

Serentak dengan penciptaan rekod tersebut, LEGO turut memperkenalkan LEGO Technic Koenigsegg Sadair’s Spear Megacar (42232) yang menjadi model keenam dalam siri eksklusif LEGO Technic Ultimate Car Concept Series.

Set premium ini mengandungi 4,104 komponen dan direka khusus untuk peminat dewasa serta penggemar automotif yang mahukan pengalaman pembinaan lebih mencabar.

Kredit Foto : LEGO

Antara ciri utama yang ditawarkan ialah:

  • Enjin V8 piston berfungsi
  • Transmisi 9-kelajuan berfungsi
  • Sistem suspensi Triplex hadapan dan belakang
  • Paparan penunjuk gear berputar
  • Sistem stereng berfungsi
  • Bumbung boleh ditanggalkan
  • Fungsi Ghost Mode seperti model sebenar

Fungsi Ghost Mode menjadi tarikan utama apabila ia membolehkan bahagian belakang kenderaan terangkat secara automatik, pintu dihedral synchro-helix terbuka, bonet hadapan terangkat dan cermin sisi dilipat hanya melalui satu pergerakan.

Menurut Pereka Model Kanan LEGO Group, Kasper René Hansen, set ini merupakan model LEGO Technic paling kompleks pernah dibangunkan oleh syarikat itu.

Katanya, pembangunan sistem Ghost Mode, transmisi sequential 9-kelajuan dan suspensi Triplex merupakan antara cabaran terbesar yang berjaya direalisasikan dalam sebuah model LEGO Technic.

Kredit Foto : LEGO

Mula Dijual Julai Ini

LEGO Technic Koenigsegg Sadair’s Spear Megacar akan ditawarkan kepada ahli LEGO Insiders menerusi akses awal bermula 1 Julai 2026, sebelum jualan umum dibuka pada 4 Julai 2026.

Sebagai promosi pelancaran, pembeli yang mendapatkan set tersebut antara 1 hingga 6 Julai 2026 akan menerima hadiah eksklusif berupa LEGO Technic Koenigsegg Sadair’s Spear Steering Wheel (40894) secara percuma, tertakluk kepada ketersediaan stok.

Kredit Foto : LEGO

Dengan rekod kelajuan baharu di Goodwood serta pengenalan set LEGO Technic paling kompleks pernah dibangunkan, kerjasama antara LEGO dan Koenigsegg sekali lagi membuktikan bahawa dunia permainan dan kejuruteraan automotif boleh bergabung untuk menghasilkan sesuatu yang benar-benar luar biasa.

Baca Juga : Porsche 911 RSR LEGO 380,000 Bongkah Seni Automotif Luar Biasa

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

Related Post
Published by
Syafiq Syazuan Ruzaidi