Kemas Kini Terbaharu Ikon Adventure Africa Twin 2026
Boon Siew Honda secara rasmi memperkenalkan versi dipertingkat bagi model adventure Honda CRF1100L Africa Twin Adventure Sports ES untuk tahun 2026. Model yang sinonim dengan motosikal “touring” jarak jauh ini tampil dengan sentuhan visual baharu yang lebih segar serta penambahbaikan mekanikal yang menjadikannya antara jentera paling lengkap dalam segmen adventure premium di Malaysia.
Bagi tahun 2026, Africa Twin Adventure Sports ES hadir dengan rekaan jalur dan grafik baharu, khususnya untuk warna Pearl Glare White yang tampil lebih menarik dan moden. Aura lasak masih dikekalkan, namun kini dengan karakter lebih premium dan sofistikated.
Africa Twin 2026 Masih Kekal Enjin 1084cc
Di sebalik rupa yang lebih tajam, model ini masih kekal menggunakan enjin parallel-twin 1084cc dengan nisbah mampatan tinggi 10.5:1 serta talaan masa injap yang dikemas kini. Hasilnya, ia menghasilkan 75kW pada 7,500rpm dan tork maksimum 112Nm pada 5,500rpm.
Karakter kuasa yang linear memudahkan tunggangan atas lebuh raya mahupun laluan off-road dan sudah pasti satu ciri keseimbangan yang menjadi identiti Africa Twin sejak awal kemunculannya.
Elektronik Pintar Untuk Kawalan Maksimum
Sistem elektronik terus menjadi kekuatan utama model ini. Ia dilengkapi IMU enam paksi yang mengawal empat mod tunggangan iaitu Tour, Urban, Gravel dan Off-Road.
Sistem ini turut menguruskan Honda Selectable Traction Control (HSTC) tujuh tahap, Wheelie Control serta Cornering ABS bagi memastikan tahap keselamatan optimum dalam apa jua situasi.
Rim hadapan 19 inci bersama pusat graviti rendah membantu meningkatkan kestabilan serta kawalan lebih tepat, sama ada ketika meredah jalan berbatu atau selekoh dalam kelajuan tinggi.
Suspensi Elektronik Showa EERA
Antara ciri premium yang membezakan varian Adventure Sports ES ialah penggunaan suspensi elektronik Showa EERA yang hadir sebagai ciri standard.
Sistem ini membolehkan pelarasan redaman masa nyata melalui empat mod iaitu Hard, Mid, Soft dan Off-Road. Penunggang juga boleh mematikan ABS belakang ketika tunggangan off-road bagi kawalan brek yang lebih agresif dan tepat.
Fokus Kepada Touring
Bagi pengembara jarak jauh, model ini dilengkapi transmisi Dual Clutch Transmission (DCT) yang menawarkan penukaran gear lebih lancar tanpa perlu menarik klac secara manual.
Tempat duduk premium boleh dilaras antara 820mm hingga 840mm tanpa penggunaan alatan, manakala pelindung angin boleh laras lima tahap membantu mengurangkan keletihan ketika perjalanan jauh.
Paparan TFT sentuh 6.5 inci turut menyokong Apple CarPlay dan Android Auto, membolehkan navigasi dan komunikasi lebih mudah sepanjang pengembaraan.
Harga & Ketersediaan
Africa Twin Adventure Sports ES 2026 ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu Pearl Glare White
Harga cadangan bilik pameran bermula dari RM99,888, tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran.
Model ini didatangkan dengan jaminan pengeluar dua tahun atau 20,000km (yang mana terdahulu). Tempahan dibuka bermula hari ini dan unit dijangka berada di semua bilik pameran Honda BigWing seluruh negara menjelang hujung Mei 2026.
Baca Juga : Honda CRF1100L Africa Twin Adventure Sports ES 2024
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.

