Kelle Energy Perkenal Pengecas EV Mudah Alih Pertama di Malaysia

Share

Kelle Energy secara rasmi memperkenalkan pengecas kenderaan elektrik (EV) mudah alih bersepadu (Battery Energy Storage System, BESS) pertama di Malaysia.

Produk ini menawarkan pendekatan baharu terhadap pengecasan pantas tanpa kebergantungan kepada infrastruktur kekal.

Berbeza daripada stesen pengecas konvensional yang memerlukan pemasangan tetap dan naik taraf kapasiti elektrik, penyelesaian yang dikenali sebagai EPLVS EV Mobile Charger ini direka untuk bergerak terus ke lokasi kenderaan.

Pendekatan ini membolehkan pengecasan dilakukan dengan lebih fleksibel, khususnya di kawasan berkapasiti elektrik terhad.

Pengecasan Mudah Alih Sesuai Untuk Pelbagai Lokasi

Menurut Kelle Energy, EV kebiasaannya dicas di kawasan kediaman, tempat kerja dan parkir awam. EPLVS direka khusus untuk persekitaran ini, termasuk parkir yang mempunyai kekangan ruang dan kuasa, tanpa memerlukan lot khas EV.

Ia sesuai digunakan di komuniti perumahan, parkir pejabat, institusi awam, kawasan komersial, lapangan terbang, stesen tren serta kawasan servis.

Bagi sektor kenderaan awam pula, EPLVS menyasarkan penggunaan untuk kenderaan kerajaan, teksi, kenderaan penghantaran, bas, pengangkutan awam bandar dan logistik bandar.

Pengecas Pantas DC Dengan BESS

Dari sudut teknikal, EPLVS turut berfungsi sebagai sistem penyimpanan tenaga. Ia dilengkapi bateri berkapasiti 184.32 kWh, menyokong pengecasan pantas DC sehingga 60 kW, dengan kecekapan sistem mencecah 92%.

Output DC beroperasi dalam julat voltan 300 Vdc hingga 1000 Vdc, dengan arus maksimum 150 A, menggunakan penyambung CCS2.

Bagi input AC, sistem ini menyokong voltan 260 Vac hingga 530 Vac, arus maksimum 43 A, dan output AC sehingga 22 kW melalui sambungan 3P+N+PE.

Input DC pula menyokong julat 260 Vdc hingga 900 Vdc, dengan arus maksimum 300 A.

Reka Bentuk Mudah Alih

Dari segi fizikal, EPLVS mempunyai dimensi 2100 x 1054 x 1400 mm dengan berat sekitar 2100 kg. Ia mampu bergerak pada kelajuan maksimum 5 km/j, menempuh cerun sehingga 8% (dengan muatan penuh), serta melepasi halangan setinggi 70 mm, menjadikannya sesuai untuk persekitaran parkir dalaman dan luaran.

Tahap perlindungan sistem adalah IP54, dengan julat suhu operasi dari -30°C hingga 50°C. Sistem komunikasi menggunakan sambungan tanpa wayar dan mematuhi piawaian DIN SPEC 70122:2008 untuk keserasian dengan kenderaan elektrik.

Kawalan Menerusi Aplikasi Mudah Alih

EPLVS dikawal sepenuhnya melalui aplikasi mudah alih, membolehkan pengguna memantau dan mengurus sesi pengecasan dari jarak jauh. Platform pemantauan ini menawarkan pemantauan masa nyata ( Real Time ) terhadap status dan kelajuan pengecasan, peta untuk mencari pengecas terdekat, tempahan terus, pembayaran, serta paparan sejarah pengecasan dan corak penggunaan.

Sistem ini turut menyokong pengurusan pintar, penjadualan mudah dan kawalan jarak jauh, bertujuan mengoptimumkan kecekapan operasi dan pengalaman pengguna.

Teknologi teras dibangunkan sendiri

Kelle Energy menyatakan bahawa teknologi teras EPLVS dibangunkan secara dalaman, merangkumi sistem penyimpanan tenaga bateri automotif berprestasi tinggi, sistem pengecasan CCS2 berkecekapan tinggi, casis berkapasiti beban tinggi untuk navigasi mudah, serta platform pengurusan pintar yang menyokong pemantauan masa nyata dan kemas kini over-the-air (OTA).

Dengan pendekatan pengecasan “charger-to-car” ini, Kelle Energy menyasarkan untuk menawarkan penyelesaian pengecasan EV yang lebih fleksibel, berskala dan mampan, sekaligus melengkapkan rangkaian infrastruktur pengecasan tetap sedia ada di Malaysia.

Baca Juga : JomCharge Perkenal Pelan Keahlian “JomCharge Elite Membership Plan”

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

Related Post
Published by
Syafiq Syazuan Ruzaidi