Kawasaki Ninja ZX-10R & ZX-10RR 2026

Share

Wajah Baharu Dengan Fokus Prestasi

Untuk tahun 2026, jenama hijau ini memperkenalkan Ninja ZX-10R dan ZX-10RR versi terkini, kini tampil dengan reka bentuk aerodinamik baharu, sistem elektronik yang dipertingkatkan, serta beberapa talaan casis yang menjadikannya lebih fokus terhadap kawalan dan kestabilan.

Walaupun asasnya masih menggunakan platform dan enjin sedia ada, pembaharuan kali ini adalah hasil evolusi yang berpaksikan data dari dunia perlumbaan  termasuk kejuaraan World Superbike (WSBK) di mana ZX-10RR telah menjadi mesin pilihan pasukan KRT (Kawasaki Racing Team).

Reka Bentuk Fairing dan Winglet Serba Baharu

Bahagian yang paling ketara ialah fairing baharu dengan winglet aerodinamik besar yang kini menjadi trend utama dalam dunia superbike.

Reka bentuk ini bukan sekadar untuk gaya, tetapi turut memberikan kelebihan teknikal  menghasilkan 25% lebih daya turun (downforce) berbanding model sebelumnya.

Menurut Kawasaki, walaupun tambahan permukaan hadapan meningkatkan seretan udara sebanyak 0.3%, pertambahan itu dianggap wajar demi kestabilan ketika memecut pada kelajuan tinggi. Winglet tersebut diperbuat daripada bahan ABS resin

dengan bentuk yang rata dan tirus, mengalir terus ke bahagian dagu fairing untuk menghasilkan tekanan udara lebih sekata.

Di bahagian hadapan, lampu utama baharu menggabungkan unit projektor LED untuk lampu rendah dan reflektor dalam untuk lampu tinggi. Ram Air intake kini diletakkan sedikit lebih tinggi di atas lampu depan bagi meningkatkan aliran udara masuk ke enjin dan menambah keberkesanan sistem penyejukan.

Kemas Kini Casis dan Suspensi

Kawasaki turut menala semula sistem suspensi dan geometri casis bagi menyesuaikan kestabilan tambahan hasil winglet baharu ini. Titik pivot lengan ayun dinaikkan 2mm, membantu meningkatkan cengkaman tayar belakang serta kestabilan ketika keluar selekoh.

ZX-10R masih menggunakan fork hadapan Showa Balance Free 43mm yang boleh dilaras sepenuhnya, kini dengan kedudukan lebih rendah 2mm untuk respon stereng lebih tajam. Di belakang pula, penyerap hentak Showa Balance Free Rear Cushion (BFRC) dengan tangki simpanan luaran dikekalkan, namun talaan spring dan linkage diubah bagi memberi daya tarikan lebih kuat di pertengahan selekoh.

Bagi ZX-10RR, perbezaannya terletak pada salutan titanium pada tiub dalam fork depan, yang mengurangkan geseran dan meningkatkan respons di litar. Bahagian peredam dan pra-beban spring turut ditala berbeza mengikut keperluan perlumbaan.

Kuasa Enjin dan Penambahbaikan Emisi

Di bawah fairingnya, ZX-10R dan ZX-10RR masih digerakkan oleh enjin empat silinder sebaris 998 cc DOHC

, enjin yang telah terbukti reputasinya di arena perlumbaan dunia. Walaupun tiada peningkatan besar dalam angka kuasa diumumkan, enjin ini kini dipertingkat untuk mematuhi piawaian Euro 5+, hasil penambahan sensor O2 kedua serta pemangkin (catalyst) yang lebih ringan dan efisien.

Bagi model ZX-10RR, komponen dalaman lebih eksklusif connecting rod titanium dari Pankl digunakan bagi mengurangkan jisim putaran serta meningkatkan kelancaran enjin. Hasilnya, respon pendikit lebih pantas dan lengkungan kuasa lebih lebar, sesuai untuk penggunaan di trek.

Ciri Elektronik dan Sistem Bantuan Pemandu

Kawasaki terus memperkukuh sistem elektroniknya dengan penggunaan Bosch Inertial Measurement Unit (IMU) yang menyokong fungsi Kawasaki Cornering Management Function (KCMF). Sistem ini membantu mengawal traksi, daya membrek dan keseimbangan motosikal berdasarkan sudut condong ketika mengambil selekoh.

Turut disertakan ialah Kawasaki Intelligent Anti-Lock Braking System (KIBS), Launch Control, Engine Brake Control, serta Quickshifter dua hala dan Cruise Control sebagai ciri standard. Tiga mod tunggangan utama iaitu Sport, Road dan Rain yang hadir bersama empat mod boleh suai bagi penunggang yang ingin menetapkan konfigurasi sendiri.

Paparan TFT Baharu dan Pilihan Warna

Satu lagi kemas kini besar ialah skrin paparan baharu berukuran 5 inci TFT, menggantikan unit lama 4.3 inci. Skrin ini menawarkan dua mod paparan berbeza  satu dengan takometer analog digital gaya jalanan, dan satu lagi untuk mod litar dengan tataletak bar tachometer yang lebih agresif. Skrin juga menyokong sambungan smartphone melalui Kawasaki Rideology App

serta navigasi berasaskan peta.

Untuk 2026, ZX-10R ditawarkan dalam dua warna utama: Lime Green/Blue 24 dan Metallic Matte Graphenesteel Gray, manakala ZX-10RR tampil eksklusif dengan warna Lime Green tunggal – menyerupai jentera rasmi WSBK Kawasaki.

Fokus Pada Evolusi, Bukan Revolusi

Walaupun ZX-10R dan ZX-10RR 2026 tidak membawa perubahan radikal pada angka kuasa, pendekatan Kawasaki lebih kepada penambahbaikan menyeluruh yang meningkatkan keseimbangan aerodinamik, pengendalian dan pengalaman tunggangan.

Dengan gabungan reka bentuk agresif, talaan casis yang lebih pintar dan teknologi elektronik generasi baharu, ZX-10R terus mengekalkan statusnya sebagai superbike  yang mengimbangi kekuatan litar dan keselesaan jalan raya.

Baca Juga : Kawasaki Z900 2025 Dilancarkan, Harga Bermula RM47,800

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

Published by
Syafiq Syazuan Ruzaidi