Hyundai Motor Malaysia Perkukuh Pengalaman Pemilikan, Hyundai N Disahkan Masuk Pasaran Tempatan Pada 2026
Hyundai Motor Malaysia (HMY)baru-baru ini telah mengumumkan hala tuju perniagaan dan strategi jenama tersebut bagi tahun 2026, dengan penekanan terhadap pengukuhan kedudukan Smart Premium, peluasan rangkaian pengedar serta penambahbaikan menyeluruh sokongan selepas jualan di bawah kempen myHyundaiCare.
Hyundai juga turut mengesahkan perancangan membawa masuk jenama berprestasi tinggi mereka, Hyundai N, ke pasaran Malaysia pada tahun 2026.

Dua model elektrik berprestasi tinggi, IONIQ 5 N dan IONIQ 6 N, dijadualkan membuat kemunculan rasmi, menandakan fasa baharu penawaran prestasi Hyundai di peringkat tempatan.
Visi 2026 Hyundai Motor Malaysia: Pertumbuhan Mampan dan Pengalaman Pemilikan Menyeluruh
Hyundai Motor Malaysia menggariskan pelan hala tuju 2026 yang memfokuskan kepada pertumbuhan mampan dan pengalaman pemilikan yang lebih menyeluruh.
Menurut Pengarah Urusan HMY, Ms Jahabarnisa Haja Mohideen, Hyundai berhasrat untuk menjadi pilihan Smart Premium yang lebih bijak, menawarkan keseimbangan antara praktikaliti, kebolehpercayaan, keselesaan, inovasi, reka bentuk moden dan kualiti premium dan semuanya pada harga yang masih mampu dimiliki.

Sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan kebolehcapaian pelanggan, Hyundai mensasarkan 25 cawangan di seluruh negara menjelang akhir 2026, termasuk peluasan pengedar di Malaysia Timur.
Setakat ini, Hyundai mengendalikan 12 outlet, dengan lima LOI bersama rakan pengedar baharu dimeterai sepanjang 2025 dan satu lagi pada awal tahun ini.
myHyundaiCare: Ekosistem Pemilikan Lebih Menyeluruh
Inisiatif myHyundaiCare terus menjadi tunjang utama dalam strategi pemilikan Hyundai.
Antara langkah penting yang diperkenalkan termasuk pengurangan kos pemilikan melalui sokongan servis dan penyelenggaraan yang dikemas kini, khususnya untuk model semasa dan model lama.
Hyundai juga turut memperkenalkan penambahbaikan ketara terhadap kos bateri hibrid, dengan pendekatan penggantian modul terjejas sahaja tanpa perlu menukar keseluruhan pek bateri, sekali gus mengurangkan kos jangka panjang kepada pemilik.
Langkah lain di bawah myHyundaiCare termasuk pemeriksaan kenderaan percuma sebelum servis, kempen servis musim perayaan, pasukan sokongan teknikal bergerak untuk kawasan tertentu, klinik servis dan bengkel pemilik bagi meningkatkan keyakinan serta pengetahuan produk.

Waranti Panjang dan Perlindungan Nilai Kenderaan
Hyundai mengekalkan perlindungan waranti selama lapan tahun atau 160,000 km, selain memperkukuh nilai kenderaan melalui Hyundai Protection Plan yang disokong oleh rakan insurans dan takaful seperti Allianz, Berjaya Sompo, Etiqa General Takaful, Takaful Ikhlas dan Tokio Marine.
Bagi memastikan ketersediaan alat ganti lebih cekap, Hyundai juga turut mengoptimumkan operasi gudang alat ganti di Glenmarie, Shah Alam, dengan fokus kepada komponen permintaan tinggi bagi mempercepatkan proses baik pulih dan penyelenggaraan.

Dari sudut produk, Hyundai terus menyegarkan barisan modelnya.
Model STARIA 10-tempat duduk telah diperkenalkan pada Januari lalu dengan ciri keselesaan dan praktikaliti dipertingkat, sesuai untuk kegunaan keluarga dan perniagaan.
Model TUCSON pemasangan tempatan serta SANTA FE generasi baharu dijadualkan dilancarkan pada suku kedua 2026, mengukuhkan lagi komitmen Hyundai dalam menawarkan nilai dan teknologi relevan untuk pasaran Malaysia.
Hyundai turut merancang memperluaskan penawaran dengan pengenalan sebuah model B-MPV baharu, menambah variasi dan fleksibiliti kepada barisan produk sedia ada.
Program Rujukan STARIA All-Star
Bagi memperkukuh hubungan dengan pelanggan, Hyundai melancarkan Program STARIA All-Star, sebuah inisiatif rujukan yang menawarkan kredit servis RM500 kepada pelanggan sedia ada dan penjimatan RM1,500 kepada pelanggan baharu, di samping promosi semasa.
Sebagai pencapaian tambahan, Hyundai STARIA dinobatkan sebagai MPV ICE of the Year pada Anugerah Kereta Terbaik Malaysia 2025, sekali gus mengukuhkan reputasinya dalam segmen MPV tempatan.
Komitmen Jangka Panjang Hyundai di Malaysia
Menurut Presiden Hyundai Motor Malaysia, Mr Eric Lee, fokus utama syarikat adalah membina hubungan bermakna bersama pelanggan serta komitmen jangka panjang di Malaysia.

Dengan asas perniagaan yang semakin kukuh, rangkaian yang berkembang dan ekosistem pemilikan yang komprehensif, Hyundai yakin untuk terus menawarkan nilai, keyakinan dan pengalaman pemilikan yang lebih baik kepada pengguna tempatan.
Baca Juga : Hyundai STARIA Diiktiraf MPV ICE Terbaik 2025
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!






