Automotif

Honda HRC Sah Ikat Fabio Quartararo dan David Alonso Untuk MotoGP 2027

Share

Dua Juara Dunia Sertai Honda HRC Menjelang MotoGP 2027

Honda Racing Corporation (HRC) mengesahkan penyertaan juara dunia MotoGP 2021, Fabio Quartararo dan juara dunia Moto3 2024, David Alonso dalam program perlumbaan MotoGP Honda bermula musim 2027.

Quartararo menandatangani kontrak selama dua tahun dan akan beraksi bersama pasukan factory Honda HRC, manakala Alonso pula diikat menerusi perjanjian untuk beberapa musim.

Quartararo Jadi Sandaran Utama Honda

Kemasukan Quartararo dilihat sebagai langkah penting Honda dalam usaha mengembalikan jentera mereka ke kelompok hadapan MotoGP.

Pelumba kelahiran Nice, Perancis itu memulakan karier Kejuaraan Dunia dalam kelas Moto3 pada 2015 sebelum beralih ke Moto2 pada 2017 dan membuat penampilan sulung dalam MotoGP dua tahun kemudian.

Pada musim pertamanya dalam kelas utama, Quartararo mencatat enam petak utama dan tujuh podium untuk muncul sebagai pelumba rookie terbaik. Kemenangan sulungnya pula diraih pada Grand Prix Sepanyol 2020.

Kemuncak kariernya hadir pada musim 2021 apabila lima kemenangan dan 10 podium membolehkannya muncul juara dunia MotoGP, sekali gus menjadi pelumba Perancis pertama merangkul kejuaraan tersebut.

Setakat ini, Quartararo telah mengumpul 11 kemenangan, 32 podium dan 21 petak utama dalam MotoGP. Selepas 11 pusingan musim 2026, pelumba berusia 27 tahun itu berada di kedudukan ke-14 kejuaraan.

David Alonso Pelaburan Masa Depan HRC

Selain mendapatkan khidmat pelumba berpengalaman, Honda turut memilih David Alonso sebagai sebahagian daripada rancangan jangka panjangnya.

Alonso membuat penampilan penuh pertamanya dalam Moto3 pada 2023 dan terus menamatkan musim di kedudukan ketiga keseluruhan.

Pelumba berusia 20 tahun itu kemudian mendominasi musim 2024 dengan tujuh petak utama serta 14 kemenangan daripada 20 perlumbaan untuk dinobatkan sebagai juara dunia Moto3.

Alonso beralih ke Moto2 pada 2025 dan kini berada di kedudukan keempat kejuaraan selepas 11 pusingan musim 2026. Prestasi tersebut meletakkannya sebagai antara bakat muda paling menyerlah dalam kejohanan dunia motosikal ketika ini.

Honda Bersedia Menghadapi Era MotoGP 850cc

Kemasukan kedua-dua pelumba itu bertepatan dengan pengenalan peraturan teknikal baharu MotoGP pada 2027.

Antara perubahan terbesar ialah pengurangan kapasiti enjin daripada 1,000cc kepada 850cc, selain rombakan terhadap spesifikasi teknikal dan peraturan sukan kejohanan.

Quartararo dan Alonso akan menyertai pelumba HRC sedia ada, Johann Zarco dari Perancis serta Diogo Moreira dari Brazil, dalam pembangunan jentera MotoGP serba baharu Honda.

Jentera tersebut masih berada dalam peringkat pembangunan ketika HRC menyasarkan untuk kembali mencabar kemenangan perlumbaan dan kejuaraan dunia.

Bagaimanapun, Honda masih belum mendedahkan pembahagian pasukan serta barisan lengkap pelumbanya bagi musim 2027. Pengumuman lanjut mengenai struktur pasukan akan dibuat pada tarikh kemudian.

Baca Juga : Honda ADV160 Spider-Man Edition, Terhad 300 Unit

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

Related Post
Published by
Syafiq Syazuan Ruzaidi