
Pasaran kereta baharu di Malaysia masih menawarkan beberapa pilihan dalam lingkungan harga bawah RM50,000.
Namun dalam segmen ini, kebanyakan model dibangunkan dengan keutamaan berfokus pada praktikaliti, kos pemilikan dan kesesuaian untuk kegunaan harian.
Apa yang semakin sukar ditemui ialah model mampu milik yang tampil dengan rekaan sporty secara menyeluruh.
Bukan hanya sekadar menambah spoiler dan sedikit kemasan berwarna gelap atau livery yang unik, tetapi melalui reka bentuk badan yang rendah, lebar dan lebih agresif seperti sebuah hot hatch atau coupe.
Jadi, mengapa pendekatan sebegini jarang digunakan pada kereta dalam kategori harga tersebut?
Dalam segmen bawah RM50,000, setiap komponen perlu dikawal dari segi kos.
Pengeluar biasanya mengutamakan perkara asas seperti enjin yang menjimatkan minyak, sistem keselamatan, ruang kabin, penyaman udara, infotainment dan kos penyelenggaraan yang rendah.
Rekaan sporty pula kadangkala memerlukan penggunaan bumper lebih kompleks, rim lebih besar, tayar lebih lebar, lampu LED dengan reka bentuk khusus serta panel badan berbeza.
Walaupun setiap perubahan nampak kecil, semuanya tetap menambah kos pengeluaran.
Pembeli dalam kategori ini lazimnya mencari kereta untuk kegunaan harian.
Kereta mungkin digunakan untuk pergi kerja, menghantar anak, atau sebagai kenderaan pertama.
Disebabkan itu, pengeluar lebih cenderung menghasilkan kereta dengan ground clearance yang sesuai, tayar bersaiz sederhana dan sistem suspensi yang lebih selesa.
Rekaan terlalu rendah atau agresif mungkin nampak menarik, tetapi boleh mengurangkan praktikaliti terutama apabila berdepan bonggol, jalan tidak rata atau kawasan parkir sempit.
Baca Juga: Handbrake Menggunakan Tuil Semakin Hilang, Kenapa Kereta Moden Beralih Kepada Butang Elektronik?
Kebanyakan kereta bawah RM50,000 berada dalam kategori kompak atau entry-level
.Saiz badan yang kecil sebenarnya boleh kelihatan sporty, tetapi menghasilkan proportion seperti coupe atau hot hatch memerlukan platform yang sesuai. Antaranya termasuk wheelbase, kedudukan roda, lebar badan dan ketinggian bumbung.
Jika platform asal dibangunkan untuk memaksimumkan ruang kabin, jurutera mempunyai ruang yang lebih terhad untuk menghasilkan reka bentuk yang rendah dan agresif.
Dalam strategi pemasaran automotif, rupa juga mempunyai nilai. Pengeluar lazimnya menggunakan design yang lebih agresif untuk membezakan varian lebih mahal atau model yang berada satu tahap lebih tinggi.
Sebab itu kita selalu melihat penggunaan bodykit, spoiler, rim besar atau kemasan khas hanya ditawarkan pada varian tertinggi. Secara tidak langsung, pengguna perlu membayar lebih jika mahukan rupa yang lebih sporty.
Salah satu elemen penting yang membuatkan sesebuah kereta kelihatan sporty ialah rim. Namun rim besar datang bersama tayar yang lebih mahal, berat rim berpotensi menjejaskan penggunaan bahan api.
Dalam kereta mampu milik, penggunaan rim kecil lebih baik kerana ia membantu mengurangkan kos tayar serta meningkatkan keselesaan perjalanan.
Ini juga sebab mengapa sesetengah kereta kompak kelihatan sedikit “tinggi” walaupun bentuk badannya sebenarnya menarik.
Hakikatnya, terdapat permintaan terhadap kereta mampu milik yang mempunyai penampilan lebih sporty, terutama dalam kalangan pembeli muda.
Jika ada pengeluar yang mampu menawarkan kereta kompak bawah RM50,000 dengan rekaan agresif, kos penyelenggaraan rendah dan penggunaan bahan api yang baik, ia berpotensi menjadi pilihan menarik.
Hal ini kerana kereta mampu milik perlu memenuhi terlalu banyak perkara dalam satu pakej dan untuk hadir dengan pakej sporty selalunya menjadi salah satu perkara pertama yang dikorbankan.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.