Berita

Gaya Sporty Ikonik BMW 1250 R & BMW 125 RS Hadir Bersama Ciri Serba Inovatif

Share

Bagi penggemar motosikal mewah berkuasa tinggi model yang ditampilkan oleh BMW Motorrad Malaysia ini pastinya cukup sinonim dalam pandangan dan juga fikiran anda. Mana tidaknya BMW 1250 R dan BMW 1250 RS merupakan jentera dikuasakan enjin boxer BMW yang cukup ikonik.

Baru-baru ini BMW Motorrad Malaysia melancarkan dua jentera ini yang hadir dengan pelbagai ciri serta fungsi inovatif yang dikatakan mampu membawa pengalaman tunggangan yang serba dinamik.

Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Hans de Visser berkata,”Berbekalkan harapan besar, kami dengan rasa bangga mempersembahkan era baharu bagi segmen jentera jelajah sport, menjulang slogan ‘Make Life a Ride’ yang telah kami laungkan selama 100 tahun.

“BMW R 1250 R dan BMW R 1250 RS mencabar batasan dengan beberapa kemajuan teknologi yang baharu, digandingkan dengan enjin boxer dan siluet kami yang ikonik, menonjolkan lagi kepakaran jenama ini dalam arena motosikal jelajah sport.”

BMW R 1250 R baharu ini dilihat menyambung kejayaan jentera roadster yang dibawakan oleh BMW Motorrad. Manakala BMW R 1250 RS baharu pula berpegang kepada legasi “RS”, yang menjadi tanda aras bagi kecemerlangan jentera jelajah sport. Lebih bersofistikasi dan inovatif, ia menjanjikan sebuah pengalaman jelajah yang sporty dan dinamik di aras yang tertinggi.

BMW 1250 RS

ASPEK KESELAMATAN TERTINGGI

Sebagai jentera jelajah sport, BMW R 1250 R dan BMW R 1250 RS baharu dilengkapi secara standard dengan BMW Integral ABS Pro, iaitu sistem pembrekan yang dirumus untuk memperkayakan aspek keselamatan, khususnya semasa membelok.

Turut dirangkumkan secara standard ialah Kawalan Brek Dinamik (DBC), ia membekalkan sokongan tambahan semasa membuat pembrekan kecemasan dengan mencegah pengaktifan pendikit yang dibuat tanpa sengaja.

BMW 1250 R

Ia dapat dikecapi dengan intervensi dalam kawalan enjin, tork pacuan akan menyusut semasa membrek bagi memanfaatkan daya pembrekan pada roda belakang dengan sepenuhnya. Hasilnya ialah stabiliti yang lebih baik serta jarak pembrekan yang lebih singkat.

Kedua-dua motosikal hebat ini juga didatangkan dengan Kawalan Cengkaman Dinamik (DTC) secara standard. Secara tidak langsung menjamin daya cengkaman yang sangat baik serta tahap keselamatan yang tinggi.

BMW 1250 R

KEHEBATAN ENJIN

Riding Modes Pro pula membawa mod-mod tunggangan boleh suai turut disertakan bersama memberikan keselesaan penunggang.

Memberi nafas kepada BMW R 1250 R dan BMW R 1250 RS baharu ialah enjin boxer empat lejang dua silinder berpenyejukan udara/cecair – sesarannya yang bernilai 1,254 cm3. Kekuatan ini mampu membekalkan 100 kW (136 PS) dan 143 Nm tork.

Selain itu teknologi BMW ShiftCam juga memainkan peranannya, menawarkan keupayaan pemasaan injap serta peninggian injap berciri boleh ubah pada bahagian salur masuk.

BMW 1250 RS

Hasilnya ialah sebuah enjin yang berkeupayaan untuk membekalkan kuasa dengan lancar merentasi semua julat kelajuan, sambil memelihara corak penggunaan bahan api dan emisi yang cemerlang.

Dari segi fungsi keterhubungan dan navigasi pulaia memperkenalkan skrin paparan berwarna TFT secara standard. Aneka paparan skrin tersuai boleh dipilih untuk pelbagai tujuan, termasuk Skrin Teras ‘Sports’ yang membekalkan informasi seperti ABS Pro atau DTC.

BMW 1250 RS

Seunit soket kuasa 12 volt bersepadu dan juga soket USB-A tambahan dengan bekalan kuasa 5 volt dapat mengecas peranti mudah alih pengguna, turut hadir dengan keupayaan pengecasan pantas yang bergantung kepada jenis peranti.

Panggilan Kecemasan Pintar juga merupakan fungsi standard bagi memastikan bantuan segera dapat diberikan dalam situasi kecemasan.

BMW 1250 RS

BMW R 1250 R dan BMW R 1250 RS baharu ditawarkan dalam varian model Sport dan juga Triple Black. Setiap satu hadir dengan aneka warna yang unik.

Varian Sport jentera BMW R 1250 R didatangkan dalam warna Racingblue, manakala varian Triple Black hadir dalam warna Blackstorm. Sementara itu, varian Sport bagi BMW R 1250 RS baharu disediakan dalam warna Lightwhite, Racingblue dan Racingred, manakala varian Triple Black disediakan dalam warna Blackstorm.

Published by
Farizul Izwany