Badan pentadbir Formula 1, Fédération Internationale de l’Automobile (FiA), telah mendedahkan set peraturan baharu yang akan menentukan sukan ini dari tahun 2026 dan seterusnya. Peraturan ini menekankan pada kereta yang lebih lincah, kompetitif, selamat dan lebih hijau.
Peraturan aerodinamik yang disemak semula akan berfungsi seiring dengan peraturan unit kuasa baharu, yang merangkumi peningkatan kuasa bateri dan penggunaan bahan api 100% lestari.
Kemas kini teknikal yang disemak semula ini telah ditetapkan oleh FiA dan telah diumumkan di Montreal menjelang Grand Prix Kanada. Polisi 2026 ini dijangka disahkan oleh World Motor Sport Council pada 28 Jun kelak.
Pengarah Teknikal FiA Single Seater, Nikolas Tombazis berkata, “Dengan set peraturan ini, FIA berusaha membangunkan generasi baharu kereta yang sesuai dengan DNA Formula 1 – kereta yang ringan, sangat pantas dan lincah tetapi tetap kekal di tahap tertinggi teknologi. Untuk mencapai ini, kami bekerja ke arah konsep ‘kereta lincah’.”
Unit kuasa yang direka semula bakal menampilkan pembahagian yang lebih seimbang antara kuasa yang diperoleh daripada elemen pembakaran dalaman dan kuasa elektrik.
Di sisi casis, saiz dan berat kereta telah berjaya dikurangkan sebanyak 30kg, menghasilkan kereta yang lebih dinamik. Selain itu, dua ciri baharu diperkenalkan untuk meningkatkan perlumbaan – aerodinamik aktif untuk mencapai seretan (downforce) yang sangat rendah di jalan lurus dan sistem Manual Override yang akan memberikan pemandu lonjakan kuasa bateri apabila cukup dekat dengan kereta di hadapan mereka.
“Lebih ringan, lebih berkuasa dan lebih tertumpu pada kemahiran pemandu, Peraturan Teknikal Formula 1 FIA 2026 direka untuk menyediakan perlumbaan yang lebih rapat antara pemandu, meningkatkan persaingan antara pasukan dan meningkatkan persembahan.
Selain itu, kami memilih komponen elektrik yang lebih tinggi dalam unit kuasa, kereta yang lebih cekap secara keseluruhan, dan bahan api yang sepenuhnya lestari, sebagai sebahagian daripada usaha kami ke arah masa depan yang lebih lestari untuk sukan ini,” tambah Tombazis.
Presiden FiA, Mohammed Ben Sulayem, berkata, “Hari ini, FIA mendefinisikan masa depan yang sangat menarik untuk puncak sukan permotoran dengan pelancaran set peraturan baharu yang komprehensif untuk Kejohanan Formula 1 FIA 2026 dan seterusnya.
Selepas penerbitan peraturan unit kuasa 2026 dua tahun lalu, kami mengambil peluang untuk mentakrifkan semula peraturan casis untuk sepadan dengan keperluan tenaga unit kuasa baharu.
Berkolaborasi dengan rakan kongsi kami di Formula 1 dan dengan bantuan daripada 10 pasukan dan semua pihak berkepentingan. Ini akan memastikan kejuaraan perdana kami lebih relevan dengan apa yang berlaku di dunia.”
Peraturan unit kuasa telah menghasilkan komitmen daripada pengeluar PU yang sedia ada seperti Ferrari, Mercedes dan Renault, sambil menarik minat Honda untuk kembali dan menggalakkan kedatangan Audi dan Ford, yang akan memasuki melalui perkongsian dengan Red Bull Powertrains.
Dalam usaha untuk mencipta mesin perlumbaan yang lebih lincah. Jarak roda maksimum dikurangkan sebanyak 200mm kepada 3400mm manakala lebar dikurangkan sebanyak 100mm kepada 1900mm. Berat juga dikurangkan, dengan kereta 2026 akan mempunyai berat minimum 768kg, turun 30kg berbanding model 2022. FiA juga mengatakan bahawa daya downforce telah dikurangkan sebanyak 30% dan seretan sebanyak 55%.
Kereta 2026 akan boleh bertukar antara dua konfigurasi, sama ada untuk meminimumkan penggunaan bahan api atau untuk memaksimumkan prestasi. Sistem aerodinamik aktif yang serba baharu, melibatkan sayap depan dan belakang yang boleh bergerak.
Ini akan membolehkan kelajuan yang lebih tinggi dengan satu sudut sayap digunakan dan seretan yang lebih rendah serta kelajuan garis lurus yang lebih tinggi apabila sudut kedua digunakan.
Peraturan struktur hentaman depan disemak semula, memperkenalkan reka bentuk hidung dua peringkat untuk mengurangkan risiko detasmen dalam hentaman awal. Peraturan pencerobohan sisi juga lebih ketat manakala perlindungan di sekitar pemandu dan kawasan sel bahan api telah diperbaiki.
Unit kuasa 2026 akan menggunakan bahan api yang sepenuhnya lestari. Dengan penggunaan kuasa elektrik yang lebih besar dan peralihan ke arah pengagihan kuasa 50% elektrik dan 50% haba.
Dengan semua pembaharuan ini, Formula 1 bukan sahaja menjadi lebih menarik tetapi juga lebih relevan dengan keperluan masa depan.
Baca – Lapan Perlumbaan Motorsport Paling Berbahaya Di Dunia
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.