Lamborghini sekali lagi membuktikan kepakarannya dalam dunia hypercar menerusi pelancaran Lamborghini Fenomeno, sebuah model edisi terhad bernilai sekitar £3 juta (anggaran RM17.5 juta). Dihasilkan hanya sebanyak 30 unit, jentera ini berfungsi sebagai platform ujian teknologi masa depan untuk model V12 mereka yang paling berprestij, Lamborghini Revuelto.
Menurut Federico Foschini, Ketua Jualan dan Pemasaran Global Lamborghini, Fenomeno dibangunkan untuk “menunjukkan apa yang akan datang daripada Lamborghini.” Beliau menegaskan bahawa model ini menjadi medan ujian kepada teknologi baharu daripada sistem bateri, kuasa enjin, suspensi, hinggalah kepada pemanduan. Dengan jumlah pengeluaran yang terhad, ia membolehkan ujian dijalankan lebih cepat tanpa perlu melalui proses homologasi besar-besaran seperti model produksi biasa.
Antara inovasi paling penting pada Fenomeno ialah bateri hibrid 7kWh baharu, menggantikan pek 3.8kWh yang digunakan oleh Revuelto. Bateri ini mampu melepaskan tenaga dengan kadar lebih tinggi, sekaligus meningkatkan prestasi tiga motor elektrik yang digabungkan bersama enjin V12.
Hasilnya, sistem hibrid ini menjana tambahan 54bhp berbanding Revuelto, manakala enjin 6.5 liter V12 NA turut menerima valvetrain baharu yang menambah 10bhp lagi. Gabungan semua penambahbaikan ini menghasilkan jumlah kuasa 1,065bhp, menjadikannya Lamborghini paling berkuasa pernah dihasilkan.
Dengan angka kuasa yang luar biasa, tidak hairanlah Fenomeno mencatatkan pecutan 0-100 km/j hanya dalam 2.4 saat, dan 0-200 km/j dalam 6.7 saat. Kelajuan maksimumnya pula mencecah 350 km/j (218mph).
Namun, menurut Lamborghini, angka ini hanyalah sebahagian daripada cerita. Fenomeno adalah tentang penalaan semula dinamik pemanduan dan keseimbangan aerodinamik yang lebih baik, hasil evolusi daripada Revuelto.
Foschini menyifatkan Fenomeno sebagai “manifesto reka bentuk dengan ramalan kandungan teknologi masa depan.” Ia bukan model baharu sepenuhnya, sebaliknya sebuah “spotlight ” yang memancarkan arah tuju reka bentuk dan kejuruteraan Lamborghini untuk dekad akan datang.
Dengan bahasa reka bentuk yang agresif, kemasan “carbon fibre” penuh, dan sistem hibrid yang lebih cekap, Fenomeno memperkukuh identiti Lamborghini sebagai peneraju supercar berkuasa tinggi yang kini melangkah ke era elektrifikasi.
Menariknya, Fenomeno akan menjadi asas kepada kemas kini besar untuk Revuelto pada masa depan. Walaupun tiada tarikh rasmi diumumkan, Lamborghini menjangkakan versi facelift Revuelto mungkin hanya akan tiba beberapa tahun lagi memandangkan model itu baru sahaja dilancarkan pada tahun 2023.
Jika mengambil contoh sejarah, Aventador iaitu pendahulu Revuelto diperkenalkan pada 2012 dan menerima facelift empat tahun kemudian. Maka, jika mengikut jadual yang sama, Revuelto versi baharu yang menggunakan teknologi daripada Fenomeno mungkin akan muncul sekitar 2027–2028
.Daripada 30 unit Fenomeno yang akan dihasilkan, 29 unit akan ditawarkan kepada pelanggan paling setia Lamborghini, manakala satu unit terakhir disimpan untuk koleksi rasmi syarikat di Sant’Agata Bolognese.
Foschini berseloroh bahawa menjual 29 unit tersebut adalah “bahagian paling mudah dalam pekerjaan kami”. Beliau menjelaskan bahawa model sebegini termasuk siri khas terdahulu seperti Sian, Centenario, dan Reventon diwujudkan bagi menghargai pelanggan paling setia yang menjadi tulang belakang kejayaan jenama itu selama ini.
Baca Juga : Lamborghini Temerario, Harga Bermula RM1,350,000
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.