Automotif

Dunlop Kembali Perkukuh “Cengkaman” dalam Pasaran Tayar Malaysia

Share

Dunlop Sasar Pertumbuhan Jangka Masa Panjang di Malaysia

Dunlop sedang memperhebatkan strategi pertumbuhan jangka panjangnya di Malaysia dengan memperluaskan rangkaian pengedar di seluruh negara, selain memperkenalkan lebih banyak pilihan tayar bagi memenuhi perubahan keperluan pengguna tempatan.

Dalam tempoh beberapa bulan sahaja, rangkaian pengedar Dunlop dilaporkan berkembang lebih 30 peratus, daripada kira-kira 150 premis kepada lebih 200 premis sejak Mei 2026.

Perkembangan tersebut mencerminkan peningkatan keyakinan dalam kalangan pengedar tayar dan penyedia perkhidmatan automotif terhadap potensi jenama berkenaan dalam pasaran Malaysia.

Sejarah Dunlop di Malaysia Sejak 1963

Pencapaian terbaharu itu meneruskan sejarah panjang Dunlop di negara ini. Pada tahun 1963, Dunlop menjadi pengeluar tayar pertama yang membangunkan operasi pengeluaran tempatan di Malaysia.

Langkah tersebut bukan sahaja membantu mengembangkan industri tayar tempatan, malah menjadikan Dunlop antara jenama yang cukup dikenali dalam kalangan pengguna Malaysia.

Kini, jenama berkenaan dikendalikan di bawah Toyotsu Binter Malaysia Sdn. Bhd. dengan sokongan kepakaran kejuruteraan daripada Sumitomo Rubber Industries.

Kerjasama itu membolehkan Dunlop memberi tumpuan untuk menjadikan teknologi tayar premium lebih mudah diakses, sekali gus memperkukuh kedudukannya dalam pasaran yang semakin kompetitif.

Mahu Jadikan Prestasi Premium Lebih Mampu Dimiliki

Pengarah Urusan Toyotsu Binter Malaysia Sdn. Bhd., Marcus Lim berkata, Malaysia merupakan pasaran penting buat Dunlop dan mempunyai potensi besar untuk pertumbuhan jangka panjang.

Menurutnya, pengguna kini tidak hanya mencari tayar yang menawarkan kualiti, keselamatan dan prestasi, tetapi turut mengharapkan nilai pemilikan yang munasabah.

“Di situlah kami melihat peluang untuk Dunlop. Cita-cita kami adalah untuk menjadikan Dunlop sebagai jenama premium yang semakin berkembang dengan membolehkan lebih ramai pengguna Malaysia menikmati prestasi premium,” katanya.

Marcus menjelaskan bahawa strategi pertumbuhan syarikat tidak hanya tertumpu kepada penambahan jumlah pengedar.

Dunlop mahu memastikan produknya mudah diperoleh di lokasi pilihan pelanggan, termasuk melalui kedai tayar sedia ada, pusat servis automotif serta saluran jualan baharu yang dapat meningkatkan aspek kemudahan dan kebolehcapaian.

Pada masa sama, syarikat mahu membina kerjasama kukuh dan berkekalan dengan pemain industri dalam pasaran selepas jualan automotif di seluruh Malaysia.

Pilihan Tayar untuk Kereta Penumpang, SUV dan Pikap

Bagi menyokong strategi tersebut, Dunlop terus mengembangkan portfolio produknya untuk memenuhi beberapa segmen utama pasaran.

Antara produk yang ditawarkan ialah Dunlop Blue Response TG untuk kegunaan harian kenderaan penumpang, manakala SP Sport Maxx 060+ pula disasarkan kepada pemandu yang mahukan tahap prestasi, kawalan dan pengendalian lebih tinggi.

Bagi pemilik SUV dan trak pikap, Dunlop menawarkan Grandtrek R/T01 yang dibangunkan untuk memenuhi keperluan pemanduan lebih lasak serta pelbagai keadaan jalan.

Syarikat itu juga sedang membuat persediaan untuk memperkenalkan Dunlop e.Sport Maxx, iaitu tayar yang dibangunkan khusus bagi memenuhi karakter prestasi dan keperluan unik kenderaan elektrik.

Bekalkan Tayar kepada Toyota, Lexus dan Mazda

Selain pasaran tayar gantian, Dunlop turut kekal aktif dalam segmen pembekalan tayar peralatan asal atau OEM.

Jenama itu kini membekalkan tayar untuk beberapa model terpilih daripada pengeluar kenderaan utama termasuk Toyota, Lexus, Isuzu, Mazda dan Leapmotor.

Kerjasama berkenaan mencerminkan keyakinan pengeluar kenderaan terhadap tahap kejuruteraan, kualiti serta kebolehpercayaan produk Dunlop.

Bagi memenuhi keperluan ketat program OEM, Toyotsu Binter Malaysia dan Sumitomo Rubber Industries komited untuk mengekalkan standard tinggi dari aspek kualiti produk, kestabilan rantaian bekalan serta sokongan pelanggan yang responsif.

Kedua-dua syarikat itu juga akan terus bekerjasama rapat dengan rakan OEM bagi memastikan bekalan tayar dapat diteruskan secara konsisten, selain mengukuhkan hubungan jangka panjang dengan pengeluar kenderaan.

Sesuai untuk Kenderaan ICE, Hibrid dan Elektrik

Seiring perkembangan teknologi automotif, Dunlop mahu terus menyokong pelbagai kategori pengguna, sama ada mereka memandu kenderaan enjin pembakaran dalaman, hibrid ataupun elektrik.

Produk tayar yang dibangunkan akan terus memberi penekanan terhadap aspek keselamatan, keselesaan, ketahanan dan keyakinan ketika memandu.

Pengarah Urusan Sumitomo Rubber Asia (Tyre) Pte. Ltd., Takehiko Asai berkata, masa depan Dunlop akan terus dipacu oleh semangat inovasi yang membentuk perkembangan jenama itu sejak lebih 130 tahun lalu.

Menurutnya, Dunlop sentiasa berkembang seiring kemajuan teknologi mobiliti dengan membangunkan inovasi yang dapat meningkatkan keselamatan, prestasi dan keyakinan pengguna di seluruh dunia.

Teknologi Tayar Generasi Baharu

Dunlop kini tidak hanya memberi tumpuan kepada pembangunan tayar konvensional, malah turut melabur dalam teknologi generasi baharu.

Antara aspek yang diberikan perhatian termasuk meningkatkan kecekapan tenaga, prestasi cengkaman dalam keadaan jalan basah, mengurangkan rintangan gelinciran serta meminimumkan bunyi yang memasuki ruang kabin.

Syarikat itu juga sedang meneroka pembangunan teknologi tayar pintar yang dijangka memainkan peranan penting dalam ekosistem mobiliti terhubung dan penggunaan kenderaan elektrik pada masa hadapan.

Inovasi berkenaan dibangunkan bagi memenuhi perubahan keperluan pengguna tanpa mengabaikan tahap kualiti dan kebolehpercayaan yang menjadi identiti jenama Dunlop.

Malaysia Jadi Pasaran Pertumbuhan Utama

Dengan Malaysia dikenal pasti sebagai salah satu pasaran pertumbuhan utama, Dunlop akan terus melabur dalam peluasan rangkaian pengedarnya di seluruh negara.

Syarikat itu juga merancang memperkenalkan lebih banyak produk yang dibangunkan bersesuaian dengan keadaan jalan raya dan corak pemanduan tempatan.

Pada masa sama, Dunlop akan terus memperkukuh kerjasama dengan pengedar, pusat servis, pengeluar kenderaan dan pemain industri selepas jualan automotif dalam usaha membina pertumbuhan jangka panjang di Malaysia.

Baca Juga : Hab Pengangkutan Bersepadu LaLaport BBCC Kini Mula Beroperasi

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

Related Post
Published by
Syafiq Syazuan Ruzaidi