Automotif

Ducati Multistrada V4 dan V4 S 2025

Share

Ducati mengejutkan dunia permotoran pada tahun 2021 dengan pelancaran model Multistrada V4 yang dikuasakan oleh enjin 1,158cc V-4 Granturismo.

Kini, pada tahun 2025, Ducati  memperhalusi model tersebut dengan mengumumkan versi terbaharu Multistrada V4 dan V4 S.

Model 2025 ini membawa pelbagai pembaharuan, terutamanya dari segi keselesaan dan keselamatan.

Dari segi mekanikal, reka bentuk monocoque aluminium ringan yang menampung enjin V-4 Granturismo 1,158cc kekal sama.

Bagaimanapun, swingarm belakang telah diposisikan semula 1mm lebih tinggi bagi meningkatkan kemampuan anti-squat.

Secara tidak langsung memberikan kestabilan handle yang lebih neutral dalam pelbagai situasi pemanduan.

Enjin Berkuasa Tinggi dan Lebih Bersih

Enjin V-4 Granturismo yang menghasilkan 170 hp kini memenuhi piawaian emisi Euro 5+.

Tambahan pula, mod Eco yang ditambah baik membolehkan penyahaktifan silinder belakang secara meluas untuk mengurangkan penggunaan bahan api dan pelepasan emisi.

Enjin yang digunakan adalah versi non-desmo yang mengekalkan bore 83mm dan stroke 53.3mm, dengan nisbah mampatan 14:1.

Paling menarik, enjin ini tidak memerlukan pemeriksaan celah injap sehingga mencecah jarak 37,000 batu, dan minyak enjin hanya perlu ditukar setiap 1500 kilometer.

Kredit Foto : Website autox

Penambahbaikan Keselesaan Penumpang

Bagi meningkatkan keselesaan penumpang, “top box” dan beg sisi kini telah digerakkan ke belakang untuk memberikan lebih ruang kepada kaki.

Ketinggian tempat duduk standard boleh dilaraskan antara 33.1 hingga 33.9 inci, dengan pilihan tempat duduk lain yang menawarkan ketinggian antara 31.9 hingga 35 inci.

Ducati juga menambah ciri baru iaitu Automatic Lowering Device yang dikawal secara elektronik.

Ciri ini membantu motosikal lebih mudah dikendalikan pada kelajuan rendah di bawah 6 mph.

Ketinggian motosikal akan berubah secara automatik dan kembali pada ketinggian suspensi asal apabila kelajuan melebihi 30 mph.

Sistem Suspensi Pintar

Suspensi Multistrada V4 dilengkapi fork depan 50mm dan unit monoshock belakang yang boleh dilaraskan sepenuhnya.

Bagi versi V4 S, ia dipertingkatkan lagi dengan suspensi Ducati Skyhook Suspension Evolution yang mempunyai sensor posisi fork baru dan monoshock belakang yang dikawal sepenuhnya secara elektronik, dengan julat prabeban yang ditingkatkan dari 12mm kepada 20mm.

Penunggang juga boleh melaraskan tetapan redaman melalui butang kawalan semasa menunggang.

Sistem Brek dan Teknologi Keselamatan Termaju

Dari segi sistem brek, versi V4 menggunakan cakera depan berkembar 320mm yang dikendalikan oleh kaliper Brembo empat piston, manakala V4 S hadir dengan cakera depan lebih besar 330mm dan kaliper Brembo Stylema.

Kedua-dua model mempunyai cakera belakang 280mm dengan kaliper dua piston terapung.

Sistem brek ini dikawal oleh ABS Brembo-Bosch 10.3ME Cornering, yang memastikan keselamatan maksimum.

Selain itu, Multistrada V4 S menjadi model pertama dalam kelasnya yang menawarkan sistem radar depan dan belakang yang berfungsi dengan Adaptive Cruise Control, menjadikan perjalanan di lebuh raya lebih selamat dan selesa.

Mod Pemanduan Pelbagai untuk Pengalaman Menunggang yang Unik

Multistrada V4 menawarkan lima mod pemanduan: Sport, Touring, Wet, Urban, dan Enduro.

Mod Sport memberikan kuasa penuh 170 hp, manakala Touring mengekalkan kuasa yang sama tetapi dengan tindak balas yang lebih lancar.

Manakala Mod Wet dan Urban mengehadkan kuasa kepada 115 hp untuk tindak balas yang lebih ringan dan kestabilan yang maksimum.

Yang terakhir, Mod Enduro pula mengoptimumkan kawalan di atas jalan dengan campur tangan minimum dari sistem keselamatan elektronik.

Satu lagi ciri menarik adalah Ducati Vehicle Observer, algoritma yang mampu menilai daya yang dikenakan oleh motosikal di pelbagai keadaan dan mengaktifkan sistem kawalan traksi, kawalan wheelie, serta ABS untuk mengelakkan hilang kawalan.

Ciri ini diperoleh daripada pengalaman Ducati di MotoGP dan juga digunakan pada Panigale V4 2025.

Kredit Foto : Website autox

Pengalaman Pengguna yang Ditingkatkan

Model ini juga dilengkapi dengan paparan TFT 6.5 inci yang menampilkan semua maklumat penting seperti sistem kawalan dan navigasi, serta fungsi infotainmen yang boleh disambungkan dengan telefon pintar penunggang.

Telefon pintar ini boleh dicas menggunakan soket yang tersedia di dalam kompartmen baru yang lebih praktikal.

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

 

Published by
Syafiq Syazuan Ruzaidi