Automotif

Cara Naik Taraf Lesen B (Full) – Terkini 2024!

Share

Sewaktu kecil, pasti ramai yang kagum dan teruja apabila ternampak motosikal berkuasa tinggi melintasi atau berselisih dengan kita, baik di jalan raya atau di lebuhraya. Ketika usia yang semakin meningkat ni, kita yang berkemampuan dari segi kewangan pasti terpasang niat untuk memiliki motosikal berkuasa tinggi. Namun, bagi merealisasikan impian tersebut, anda perlu menaik taraf lesen memandu B2 ke B (Full) terlebih dahulu. 

Ini langkah yang boleh di ikuti:

  1. Mula Menabung

Langkah pertama adalah menyimpan duit yang mencukupi untuk mendaftarkan diri anda dalam kelas latihan memandu di Institusi Memandu (IM) yang berdekatan. Setiap IM menawarkan harga yang berbeza, jadi anda perlu semak terlebih dahulu dengan tempat tersebut. 

Biasanya, harga naik taraf lesen dari B2 ke B dalam lingkungan RM600 hingga RM1100. Tidak termasuk cukai SST 8%. Kalau tiada lesen motosikal, harga akan sedikit mahal. Kebanyakkan IM turut menawarkan bayaran dua kali untuk mengambil lesen B, mudah.

2. Naik Taraf Ke Lesen B (L)

Kemudian, setelah duit mencukupi untuk mendaftar di sekolah memandu, anda perlu  menaiktaraf lesen B (L) dengan bayaran RM20, caranya mudah saja. Paling senang adalah pergi ke sekolah memandu, semasa hendak mendaftar, staf di sana akan membantu anda upgrade. 

Jika nak buat sendiri pun boleh, pergi ke portal MySikap kemudian log masuk ID anda. Tekan kategori ‘Lesen Memandu’ skrol ke bawah dan cari pautan ‘Permohonan Lesen Memandu’ tekan dan pilih jenis lesen – ‘Lesen Belajar Memandu’.

Pilih lesen kelas B dan tekan ‘Cari’. Kemudian tekan tempoh jangka aktif lesen samada 3 atau 6 bulan. Bila dah yakin, buat pembayaran melalui portal itu juga guna FPX atau mana-mana platform pembayaran yang tersedia.

Semak di aplikasi MyJPJ untuk lihat lesen belajar memandu anda dalam bentuk digital. Pergi ke bahagian profile, pilih lesen belajar memandu.

3. Daftar di Insititusi Memandu

Jika anda naik taraf lesen B (L) sendiri, anda perlu pergi ke IM untuk daftar kelas praktikal. Namun, jika anda terus ke IM untuk segala hal lesen B, langkah seterusnya adalah mendaftarkan diri untuk kelas praktikal. Beri kad pengenalan dan lesen memandu sedia ada.

Kredit: Internet

4. Ikuti Kelas Praktikal

Semasa proses daftar sedang dijalankan, staf IM akan menerangkan mengenai tempoh jam latihan yang perlu dilengkapkan (16 jam latihan praktikal litar) dan lesen B (L) anda perlu cukup sebulan sebelum dibenarkan menjalani ujian JPJ. 

Masa ni lah anda perlu bincang dengan staf IM untuk meletakkan slot latihan praktikal mengikut kesesuaian masa anda. Samada okay hari minggu atau perlu buat semasa hari bekerja sahaja. Bincang.

5. Latihan di Litar selama 16 Jam

Apabila sudah setuju dengan tarikh dan slot masa bagi latihan praktikal litar. Hadirkan diri anda mengikut masa yang ditetapkan. Lakukan ujian dan ingat segala arah dan isyarat sebelum tarikh ujian JPJ.

Latihan praktikal (walau nampak seperti remeh) dibuat untuk memberi anda keyakinan dan memori kawalan motosikal berat. Ia untuk mempersiapkan anda menghadapi dunia luar yang penuh ragam pengguna jalan raya.

6. Kembali kepada Asas

Bagi pemegang lesen B2, latihan dan penilaian masih perlu dijalani pada bahagian 1 dan 2. Bahagian 1 melibatkan kemahiran mengendalikan motosikal dalam litar dengan isyarat tangan, manakala bahagian 2 menguji kemahiran membuat brek kecemasan, menunggang di bulatan 8, dan lain-lain.

Kredit: Metro Driving School

7. Ujian Lesen B JPJ

Selepas menyelesaikan latihan praktikal litar, anda perlu menunggu dengan sabar sebelum dibenarkan mengambil ujian JPJ. Biasanya tak lama sebab latihan praktikal turut mengambil dua ke tiga minggu mengikut kesibukan IM.

8. Lesen Siap dalam Masa Seminggu

Apabila lulus ujian JPJ, lesen B (Full) anda akan siap dalam masa seminggu selepas lulus penilaian. Anda kini sah untuk menunggang motosikal berkuasa tinggi dengan selamat di jalan raya.

Kini, dunia motosikal berkuasa tinggi kini lebih terbuka untuk dieksplorasi. Ingatlah untuk selalu mengamalkan keselamatan semasa menunggang, dan nikmatilah pengalaman menunggang motosikal yang lebih bertenaga!

Baca: Lesen Kelas B – Program Peralihan Khas & Syarat Layak Penukaran

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

 

Published by
Shazwan