
BRABUS memperkenalkan BRABUS BODO, sebuah model berprestasi tinggi yang dibangunkan sebagai satu penghormatan kepada pengasasnya, Bodo Buschmann.
Nama “BODO” digunakan sebagai penghormatan kepada Bodo Buschmann yang menubuhkan BRABUS pada tahun 1977 di Bottrop, Jerman. Model ini dibangunkan berdasarkan impian beliau untuk menghasilkan sebuah coupe Grand Tourer mewah dengan rekaan agresif dan prestasi tinggi.
Lebih eksklusif, pengeluaran BRABUS BODO dihadkan kepada hanya 77 unit seluruh dunia.
Dari sudut rekaan, BRABUS BODO tampil dengan reka bentuk badan yang rendah dan lebar. Hampir keseluruhan badan jentera ini dibina menggunakan gentian karbon berketahanan tinggi bagi memastikan berat kereta ini lebih ringan serta aerodinamik yang lebih efisien.
Bahagian hadapan menampilkan lampu LED matrix khas bersama gril besar dengan 13 bilah menegak yang membawa identiti unik BRABUS. Sistem RAM-AIR turut disepadukan pada bahagian hadapan untuk menyalurkan udara sejuk terus ke enjin V12 biturbo.
Profil sisi pula memperlihatkan siluet coupe yang sangat rendah dengan ketinggian hanya sekitar 130 cm, dipadankan bersama rim forged 21 inci Monoblock Z-GT “Shadow Edition” yang memberikan penampilan lebih garang.
Di bahagian belakang, BRABUS menggunakan spoiler aktif dua tahap yang boleh berubah kedudukan secara automatik mengikut kelajuan. Ketika membrek pada kelajuan tinggi, spoiler ini turut berfungsi sebagai ‘air brake’ bagi membantu meningkatkan kuasa membrek dan kestabilan.
Sistem ekzos titanium bercetak 3D dengan empat muncung berbentuk segi empat tepat melengkapkan penampilan agresif model ini.
Jantung utama BRABUS BODO ialah enjin 5.2-liter V12 biturbo hand made yang menghasilkan kuasa sehingga 735 kW bersamaan 1,000 hp serta tork maksimum 1,200 Nm.
Kuasa tersebut disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi automatik lapan kelajuan bersama differential elektronik yang mampu mengunci sehingga 100 peratus untuk tahap cengkaman optimum.
Prestasinya memang luar biasa:
Walaupun menggunakan konfigurasi V12 berkuasa besar, BRABUS masih mengekalkan elemen Grand Tourer menerusi talaan suspensi yang boleh berubah mengikut lima mod pemanduan berbeza termasuk GT, Sport, Sport+ dan Wet.
Ruang dalaman BRABUS BODO dibalut sepenuhnya menggunakan kulit premium hitam bersama kemasan Nubuck serta elemen gentian karbon pada stereng, papan pemuka dan konsol tengah.
Setiap tempat duduk menerima corak “Shell quilting” eksklusif BRABUS bersama sulaman khas “BODO” sebagai penghormatan kepada pengasasnya. Logo “77” turut disertakan sebagai simbol sejarah penubuhan jenama tersebut.
Menariknya, setiap pembeli juga menerima aksesori eksklusif seperti beg kulit BRABUS Weekender, penutup kereta khas serta Digital Product Passport berasaskan teknologi blockchain bagi mengesahkan ketulenan setiap unit yang dihasilkan.
BRABUS BODO bukan sekadar sebuah kereta prestasi tinggi biasa. Ia merupakan manifestasi terakhir visi Bodo Buschmann yang akhirnya direalisasikan oleh pasukan BRABUS selepas pemergiannya.
Gabungan enjin V12 biturbo 1,000 hp, badan kereta yang menggunakan gentian karbon sepenuhnya, teknologi aerodinamik moden serta pengeluaran yang sangat terhad menjadikan BRABUS BODO antara model paling eksklusif pernah dihasilkan oleh BRABUS.
Baca Juga : BRABUS Rocket GTC Deep Red 2026, 0–100 km/j 2.6 Saat!
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.