
Kredit Foto : Website k2airways
Sebuah pesawat kargo Boeing 737 milik K2 Airways dilaporkan hilang di kawasan Laut Arab selepas data penjejakan penerbangan awal menunjukkan berlaku penurunan altitud secara mendadak di barat daya Karachi, Pakistan.
Pesawat berdaftar AP-BOI itu sedang mengendalikan penerbangan kargo K2 Airways Cargo Flight KTA1732 dari Sharjah, Emiriah Arab Bersatu ke Karachi pada 7 Julai 2026, sebelum gagal tiba di destinasi seperti dijadualkan.
Susulan itu, pihak berkuasa Pakistan melancarkan operasi mencari dan menyelamat di kawasan laut berkenaan.
Berdasarkan data awal ADS-B yang dikongsikan Flightradar24, pesawat berkenaan dilihat kehilangan altitud, kembali mendaki, sebelum mengalami satu lagi penurunan altitud yang lebih mendadak.
Titik data terakhir yang diterima pada 16:21 UTC menunjukkan pesawat berada pada ketinggian kira-kira 1,100 kaki dari aras laut, dengan kadar penurunan dilaporkan mencecah -22,400 kaki seminit.
Menurut laporan Associated Press yang memetik pihak berkuasa Pakistan, pesawat itu terlebih dahulu melaporkan masalah sistem navigasi sekitar jam 9:18 malam waktu tempatan. Kira-kira tiga minit kemudian, data radar menunjukkan pesawat menurun dengan pantas sambil melakukan perubahan arah yang ketara, sebelum hubungan radar dan komunikasi radio terputus kira-kira 155 batu nautika di barat Karachi.
Laporan sama menyatakan terdapat lima anak kapal di dalam pesawat tersebut. Setakat laporan ini ditulis, punca sebenar kejadian masih belum dapat dipastikan dan operasi mencari masih diteruskan dengan penglibatan aset udara serta laut.
Pesawat AP-BOI merupakan Boeing 737-4M0(BDSF) yang mula beroperasi bersama K2 Airways pada 2024. Pesawat itu pada asalnya memasuki perkhidmatan sebagai pesawat penumpang bersama Aeroflot pada 1999, sebelum kemudiannya digunakan oleh Garuda Indonesia dan ditukar kepada pesawat kargo pada 2012.
K2 Airways pula merupakan syarikat penerbangan persendirian berpangkalan di Karachi, Pakistan. Menurut laman rasminya, syarikat itu ditubuhkan pada Mei 2018 dan beroperasi dalam segmen penerbangan kargo serta pasaran serantau.
Flightradar24 turut memaklumkan bahawa pesawat berkenaan, bersama trafik udara lain di kawasan itu, mengalami gangguan GNSS sejurus selepas berlepas dari Sharjah. Bagaimanapun, data ADS-B dilaporkan kembali diterima selepas pesawat meninggalkan kawasan gangguan tersebut. Setakat ini, gangguan berkenaan belum disahkan sebagai punca kejadian.
Kehilangan pesawat ini kini menjadi tumpuan dalam sektor penerbangan Pakistan, khususnya kerana ia melibatkan pesawat kargo tunggal yang disenaraikan dalam operasi K2 Airways. Siasatan lanjut dijangka memberi tumpuan kepada data radar, komunikasi terakhir kru, keadaan teknikal pesawat serta kemungkinan faktor luaran sebelum hubungan dengan pesawat terputus.
Sumber Artikel : aerotime
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Baca Juga : Teknologi Canggih di Sebalik Kapal Pengangkut Pesawat