
BMW Malaysia terus memperkukuh penawaran model prestasi tinggi mereka menerusi versi terkini BMW XM Label, yang kini menjadi satu-satunya varian dalam rangkaian XM di pasaran tempatan.
Model Kenderaan Aktiviti Sukan (SAV) berprestasi tinggi daripada BMW M GmbH ini menerima pelbagai penambahbaikan dari aspek reka bentuk, teknologi serta pengalaman pemanduan yang lebih halus dan menyeluruh.
Di bawah bonet, BMW XM Label kekal sebagai antara model paling berkuasa dalam barisan BMW M. Ia dikuasakan oleh gabungan enjin 4.4-liter M TwinPower Turbo V8 bersama motor elektrik, menghasilkan kuasa keseluruhan 748 hp (550 kW) dan tork maksimum 1,000 Nm.
Prestasi ini membolehkan pecutan 0–100 km/j dicapai dalam hanya 3.8 saat, sambil menawarkan keupayaan pemanduan elektrik sepenuhnya sejauh sehingga 83 kilometer. Ini menjadikannya bukan sahaja sebuah jentera berprestasi tinggi, tetapi juga relevan dalam konteks mobiliti moden yang lebih efisien.
Dari sudut visual, BMW XM Label kini tampil lebih menonjol dengan penambahan empat pilihan warna BMW Individual Frozen iaitu Frozen Tanzanite Blue, Frozen Marina Bay Blue, Frozen Black dan Frozen Brilliant White. Kemasan matte ini menyerlahkan karakter agresif dan ekspresif model ini, sekaligus memberi ruang kepada pemilik untuk menzahirkan identiti tersendiri.
Penampilan luaran turut diperkemaskan dengan Welcome Light Carpet yang kini menampilkan animasi sapaan baharu, serta rim aloi ringan 23 inci M dalam kemasan hitam berkilat (Star-spoke 1096 M) yang menambah aura premium dan sporty.
Masuk ke ruang kabin, BMW XM Label menawarkan suasana mewah menerusi upholsteri kulit BMW Individual Merino dengan pilihan warna seperti Night Blue, Silverstone, Deep Lagoon dan Black.
Kusyen keselesaan kini menjadi ciri standard bagi semua varian upholsteri, memberikan tahap keselesaan lebih tinggi khususnya dalam ruang M Lounge yang luas. Gabungan material premium dan rekaan dalaman moden menjadikan pengalaman dalam kabin lebih eksklusif.
Dari aspek teknikal, casis telah ditala semula untuk memberikan respons yang lebih baik terhadap permukaan jalan, sekali gus meningkatkan keyakinan pemanduan. Penebat akustik tambahan turut diperkenalkan bagi memastikan suasana kabin lebih senyap dan selesa.
Selain itu, sistem AC Charging Plus kini hadir sebagai ciri standard dengan keupayaan pengecasan sehingga 11 kW (tiga fasa), membolehkan bateri dicas penuh dalam tempoh kurang tiga jam.
Melalui inisiatif “Relax. We Care.”, BMW Group Malaysia memperkenalkan pendekatan pemilikan yang lebih menyeluruh dan tanpa rasa bimbang. Sistem Penjagaan Proaktif BMW menggunakan data sensor masa nyata untuk memantau keadaan kenderaan dan memberi amaran awal sekiranya terdapat keperluan penyelenggaraan.
Selain itu, program Servis & Pembaikan Inklusif BMW (BSRI) menawarkan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan bersama pakej servis lima tahun atau 100,000 km. Pemilik juga menikmati bantuan tepi jalan 24 jam yang merangkumi perkhidmatan tunda, kenderaan gantian serta penginapan hotel jika diperlukan.
BMW XM Label ditawarkan pada harga bermula RM1,554,800 (atas jalan, tanpa insurans) termasuk pakej Servis & Pembaikan Inklusif BMW. Tanpa pakej tersebut, harga adalah RM1,650,500.
Melalui pelan pembiayaan daripada BMW Group Financial Services Malaysia, ansuran bulanan bermula sekitar RM18,415 berdasarkan 80 peratus margin pembiayaan, memberikan fleksibiliti kepada pelanggan untuk memiliki model flagship ini.
Baca Juga : BMW X3 Edisi Terhad Tarikan Ulang Tahun Auto Bavaria KL
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.