
PressClub Global
BMW M Team WRT menutup saingan 6 Hours of Fuji dengan keputusan positif apabila berjaya meraih podium dalam kategori Hypercar, selain mencatat kemenangan menerusi BMW M4 GT3 EVO #32 dalam kelas LMGT3.
Pada pusingan keenam FIA World Endurance Championship (FIA WEC) 2026 itu, trio Kevin Magnussen, Raffaele Marciello dan Dries Vanthoor membawa BMW M Hybrid V8 #15 menamatkan perlumbaan di tempat ketiga. Ia merupakan podium ketiga mereka musim ini, selain menjadi podium kelima BMW M Team WRT dalam enam perlumbaan.
Hujan lebat menyebabkan sesi kelayakan dibatalkan, sekali gus menyaksikan BMW M Hybrid V8 #15 memulakan perlumbaan dari kedudukan ke-14.
Namun, Magnussen, Marciello dan Vanthoor secara beransur-ansur membawa jentera tersebut masuk ke kelompok 10 teratas. Strategi pasukan serta kemunculan safety car pada sejam terakhir perlumbaan turut membuka peluang untuk memburu podium. Vanthoor akhirnya membawa jentera #15 melintasi garisan penamat di kedudukan ketiga.
Nasib berbeza dialami BMW M Hybrid V8 #20 yang dipandu René Rast, Robin Frijns dan Sheldon van der Linde. Beberapa insiden perlanggaran selepas hampir dua jam perlumbaan menyebabkan mereka tercicir sebelum sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-13.
Keputusan di Fuji turut menyaksikan Rast dan Frijns, yang tiba sebagai pendahulu kejuaraan, turun ke kedudukan ketiga dalam carta pelumba. BMW M Motorsport pula kekal di tempat kedua dalam kedudukan pengeluar.
Baca Juga: BMW Motorrad Tunjuk Peningkatan di Cremona!
Aksi lebih dramatik hadir menerusi BMW M4 GT3 EVO #32 yang dikendalikan Augusto Farfus, Darren Leung dan Sean Gelael.
Bermula dari kedudukan ke-14, Leung dan Gelael berjaya membawa jentera tersebut ke dalam perebutan podium LMGT3. Bagaimanapun, tempoh safety car terakhir menyebabkan Farfus kembali tercicir ke tempat keenam.
Situasi itu tidak menghalang pelumba Brazil berkenaan daripada melakukan kebangkitan pada penghujung perlumbaan. Farfus menghasilkan beberapa aksi memotong untuk bergerak daripada kedudukan keenam sehingga mengambil alih pendahuluan dan menghadiahkan kemenangan LMGT3 kepada Team WRT.
Ia merupakan kemenangan kedua Team WRT dalam kategori LMGT3 musim ini selepas jentera saudara mereka terlebih dahulu mencatat kemenangan di Imola.
Farfus mengakui perjalanan mereka sepanjang perlumbaan tidak mudah apabila beberapa situasi safety car dan hentian terakhir tidak memihak kepada pasukan. Namun, dia berjaya melepasi kelompok di hadapannya dengan pantas pada stint terakhir untuk mendapatkan kemenangan.
Sementara itu, BMW M4 GT3 EVO #69 yang dipandu Dan Harper, Parker Thompson dan Anthony McIntosh turut berpeluang mendapatkan keputusan lebih baik selepas sempat mendahului kelas LMGT3.
Namun, situasi selepas safety car terakhir serta hentian pit yang kurang menjadi menyebabkan trio tersebut akhirnya menamatkan perlumbaan di kedudukan keenam.
Menurut Ketua BMW M Motorsport, Andreas Roos, pencapaian BMW M Hybrid V8 #15 untuk naik ke podium selepas bermula jauh di belakang merupakan hasil yang memberangsangkan. Beliau turut menyifatkan kemenangan BMW M4 GT3 EVO #32 sebagai keputusan yang selayaknya selepas hujung minggu yang mencabar di Fuji.
Dengan keputusan tersebut, BMW meninggalkan Fuji dengan dua pencapaian utama apabila berjaya meraih podium dalam kelas Hypercar serta kemenangan LMGT3 menerusi BMW M4 GT3 EVO.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.