
Boon Siew Honda (BSH) memperkenalkan program “Bijak Selamat” sebagai inisiatif pendidikan yang dirangka khusus untuk meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya dalam kalangan murid sekolah rendah.
Program ini merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang syarikat yang selari dengan falsafah global Honda, “Safety for Everyone”, yang mensasarkan pengurangan sebanyak 50 peratus kadar kematian akibat kemalangan yang melibatkan motosikal dan kereta Honda di seluruh dunia menjelang 2030.
Sebagai permulaan, program Bijak Selamat itu melibatkan penyertaan 70 buah sekolah
yang aktif dalam Kelab Keselamatan Jalan Raya (KKJR) di Pulau Pinang. BSH turut merancang untuk memperluaskan inisiatif tersebut kepada 140 sekolah rendah di negeri itu menjelang tahun 2027.Bagi menyokong usaha berkenaan, Boon Siew Honda akan menyumbangkan 2,000 topi keledar bernilai lebih RM100,000 kepada sekolah-sekolah terlibat.
Selain penyerahan topi keledar, pelbagai sesi taklimat turut diadakan bagi memberi pendedahan kepada murid mengenai kepentingan pemakaian topi keledar yang betul serta amalan menunggang motosikal secara selamat.
Program itu bermula di Sekolah Kebangsaan Bagan Ajam menerusi beberapa aktiviti interaktif yang dirangka khusus untuk menarik minat kanak-kanak terhadap aspek keselamatan jalan raya.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuk Gallery Walk yang menerangkan kepentingan keselamatan jalan raya, cabaran mengenal tanda-tanda jalan serta sesi simulasi bersama Riding Trainer
yang memberi pendedahan kepada murid mengenai cara menjadi pembonceng motosikal yang selamat.Menurut Ketua Pegawai Pentadbiran Boon Siew Honda, Rosidan Haron, keselamatan bukan sekadar tanggungjawab syarikat sebagai pengeluar motosikal, malah menjadi agenda utama Honda di peringkat global.
Beliau berkata, program “Bijak Selamat” diwujudkan bagi membentuk budaya keselamatan dalam kalangan generasi muda melalui pendekatan pendidikan yang lebih dekat, menyeronokkan dan mudah difahami.
Dalam masa sama, Boon Siew Honda turut bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memperluaskan lagi kempen kesedaran keselamatan jalan raya kepada masyarakat.
Selain aktiviti di sekolah, syarikat itu turut meneruskan pelbagai program advokasi keselamatan melalui rangkaian pengedar, acara perlumbaan serta program komuniti sebagai usaha berterusan melahirkan pengguna jalan raya yang lebih bertanggungjawab.
Turut diperkenalkan sempena pelancaran program itu ialah maskot keselamatan baharu dikenali sebagai SATI, yang dibangunkan bagi membantu kanak-kanak memahami aspek keselamatan jalan raya menerusi pendekatan pembelajaran yang lebih interaktif.
Maskot tersebut membawa konsep “SATI Stays SAFE”, iaitu Stop, Assess, Think, It’s Safe, sebagai panduan mudah untuk mengajar kanak-kanak menilai situasi sebelum membuat keputusan ketika berada di jalan raya.
Baca Juga : Honda ADV160 Baharu Dilancarkan, Kini Dengan Honda RoadSync
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.