Vios Challenge 2025: Pertarungan Dua Generasi, Ayah Lawan Anak di Litar Sepang
Dalam dunia perlumbaan, ada yang berlumba untuk kejuaraan, ada pula yang berlumba demi kecintaan kepada sukan ini.
Namun bagi Dato’ Shanmuganathan Arumugam, perlumbaan adalah tentang mencipta memori lebih manis lagi apabila beliau kini berpeluang berlumba bersama anaknya, Ashen, di pentas Toyota GAZOO Racing Malaysia Vios Challenge 2025.
Dari Musim Pertama Hingga Kini
Berlumba di bawah pasukan Kashash Vina Motorsports Racing, kedua-dua mereka bersaing dalam kategori Sporting Class untuk pelumba amatur.
Shanmuganathan bukanlah nama asing beliau antara pelumba paling lama bertahan sejak Musim 1 pada tahun 2017.
“Pemanduan adalah minat saya, dan Toyota telah menyediakan platform untuk orang seperti saya merasai sendiri pengalaman perlumbaan profesional. Saya mula agak lewat, ketika usia 49 tahun, dan kini pada umur 56, saya masih seronok berlumba,” katanya.
Ads
Cabaran Tanpa Sokongan Profesional
Walaupun minat mendalam terhadap perlumbaan, kekangan masa dan komitmen kerja menjadi cabaran.
Ashen pula sedang menumpukan perhatian kepada pengajian.
Menariknya, persiapan jentera mereka dibuat sepenuhnya oleh mekanik syarikat sendiri bukan pasukan perlumbaan profesional.
“Kru perlumbaan kami sebenarnya adalah mekanik yang menjaga lori syarikat, tiada pengalaman langsung dalam motorsport. Semuanya dibuat secara in-house, seperti satu aktiviti keluarga. Walaupun kekurangan dari segi teknikal, yang penting kami menikmati perlumbaan ini dan mengumpul memori,” tambahnya.
Ads
Ashen, Daripada Penonton Kepada Pelumba
Bagi Ashen yang berusia 19 tahun, peluang berlumba bersama ayahnya adalah satu impian yang menjadi kenyataan.
“Saya berterima kasih kepada ayah kerana memberi sokongan untuk saya menceburi perlumbaan. Sejak kecil saya lihat beliau berlumba, dan kini kami berada dalam kelas yang sama. Ada persaingan di litar, tetapi soal siapa yang lebih laju itu topik yang sensitif,” selorohnya sambil ketawa.
Ads
Ashen yang kini menunggu kemasukan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang penerbangan komersial turut berhasrat untuk melangkah ke kategori perlumbaan yang lebih tinggi jika diberi peluang.
Bukan Sekadar Perlumbaan Ayah & Anak
Kisah Shanmuganathan dan Ashen membuktikan bahawa perlumbaan tidak semestinya hanya tentang podium atau piala.
Kadangkala, ia adalah tentang pengalaman, hubungan kekeluargaan dan kenangan yang akan diingati seumur hidup.
Bagi mereka, setiap pusingan di litar adalah lebih daripada sekadar perebutan masa terpantas ia adalah perjalanan yang dikongsi bersama.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!
Maserati, sebuah nama yang telah sinonim dengan keunggulan dalam dunia automotif, kini kembali dengan jentera terbaharunya, Maserati GT2 Stradale.
Kereta ini bukan sebuah supercar biasa, tetapi merupakan jentera yang dihasilkan daripada pengalaman Maserati di litar perlumbaan yang kini boleh dinikmati di jalan raya.
Dengan pengaruh kuat daripada model MC20, GT2 Stradale membawa semua kekuatan dan prestasi dari GT2 litar ke jalan raya.
Menjadikannya sebuah kereta yang bukan sahaja berkuasa tetapi juga elegan dan sesuai untuk kegunaan harian.
Sejak permulaan projek MC20, Maserati telah merancang untuk kembali ke litar perlumbaan.
Ini terbukti dengan pelancaran Maserati GT2 yang membawa kemenangan dalam Fanatec GT2 European Series Championship 2023.
Namun, Maserati tidak mahu membiarkan kuasa dan kecantikan ini terhad di litar sahaja.
Hasilnya, GT2 Stradale dilahirkan, sebuah kereta yang sah digunakan di jalan raya tetapi tetap membawa DNA perlumbaan yang hebat.
Maserati GT2 Stradale adalah hasil usaha pasukan yang sama yang membangunkan GT2 litar.
Kedua-dua model ini dibangunkan secara selari dengan pengetahuan teknologi yang sama dan beberapa komponen spesifik yang dikongsi.
Ini menjadikan GT2 Stradale pilihan utama bagi peminat kereta sukan yang mencari prestasi hebat dengan sentuhan eksklusiviti.
Maserati GT2 Stradale bukan sahaja memukau di litar, tetapi juga menawarkan keselesaan dan prestasi luar biasa di jalan raya.
Kereta ini mampu mencapai kelajuan maksimum 324 km/j, dengan output maksimum 640 hp (471 kW).
Kereta ini mempunyai 10 hp lebih tinggi daripada MC20 dan pecutan dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 2.8 saat.
Ini menjadikannya kereta pacuan roda belakang (RWD) yang paling lincah dalam kategorinya.
Prestasi luar biasa ini dicapai melalui peningkatan aerodinamik yang membawa kepada daya tarikan 500 kg pada kelajuan 280 km/j.
Serta pengurangan berat sebanyak 60 kg berbanding konfigurasi standard MC20.
Dengan sistem suspensi, GT2 Stradale menawarkan pengalaman pemanduan yang lebih dinamik.
Menjadikannya sesuai untuk pelbagai keadaan pemanduan, sama ada di litar atau di jalan raya.
Maserati GT2 Stradale direka dengan penelitian yang mendalam terhadap setiap butiran.
Setiap elemen estetik mempunyai fungsi tersendiri dalam meningkatkan prestasi kereta.
Bahagian hadapan kereta ini menampilkan rekaan baru yang lebih lebar, dikenali sebagai “shark nose”.
Ianya bertujuan untuk memastikan aliran udara yang lebih baik dan meningkatkan aerodinamik kereta.
Bonet hadapan dan spoiler belakang yang diperbuat daripada gentian karbon direka semula untuk memenuhi keperluan aerodinamik yang spesifik.
Manakala sayap belakang dengan reka bentuk boomerang meningkatkan daya tarikan dan kestabilan pada kelajuan tinggi.
Keseluruhan rekaan GT2 Stradale adalah hasil kerja pasukan Maserati Centro Stile, yang memastikan kereta ini mengekalkan semangat sukan Maserati dengan prestasi yang luar biasa.
Maserati GT2 Stradale menawarkan pelbagai pilihan warna dan material yang mencerminkan semangat sporty dan elegan kereta ini.
Empat warna utama yang disediakan adalah Nero Essenza, Blu Infinito, Gloss Giallo Genio, dan Matte Bianco Audace, yang masing-masing membawa ciri-ciri unik Maserati.
Terdapat juga pilihan personifikasi melalui program Maserati Fuoriserie, yang menawarkan warna-warna tambahan seperti Grigio Lamiera Matte dan Digital Mint Matte.
Caliper brek boleh didapati dalam warna hitam, merah, perak, kuning, dan biru, manakala rim adalah dalam warna hitam matte.
Untuk pelancaran model ini, Maserati memilih warna Digital Aurora Matte, warna biru dengan bayangan merah dan mika magenta, yang memberikan penampilan teknikal dan elegan.
Bahagian dalaman GT2 Stradale direka dengan fokus utama pada pemandu, di mana setiap kawalan dan komponen direka secara fungsional untuk meningkatkan prestasi pemanduan.
Tempat duduk baru dengan cangkerang gentian karbon memberikan posisi duduk yang lebih rendah, menekankan karakter perlumbaan kereta ini.
Tempat duduk ini tersedia dalam dua saiz, besar dan kecil, dengan pilihan harness tiga atau empat titik, dan boleh disesuaikan secara manual untuk keselesaan dan prestasi maksimum.
Stereng GT2 Stradale adalah evolusi daripada stereng MC20, dengan input dari Andrea Bertolini, Pemandu Ujian Utama Maserati dan Juara Dunia dalam MC12.
Stereng ini dilengkapi dengan butang penting seperti Start dan Launch Control, serta dilapisi dengan Alcantara dan aksen gentian karbon, memberikan rasa sporty yang maksimum.
Maserati GT2 Stradale dilengkapi dengan sistem infotainment Maserati Intelligent Assistant (MIA) terbaru yang menggunakan sistem operasi Android Automotive.
Sistem ini menawarkan pelbagai fungsi termasuk mirroring Apple & Android, serta kemas kini peta Over the Air.
GT2 Stradale juga dilengkapi dengan sistem audio Sonus faber yang menawarkan pengalaman audio yang mengagumkan, menjadikan pemanduan lebih menyenangkan.
Maserati GT2 Stradale adalah simbol keunggulan Maserati dalam menggabungkan prestasi litar dengan keselesaan jalan raya.
Dengan reka bentuk yang mengagumkan, prestasi yang luar biasa, dan teknologi terkini, GT2 Stradale adalah pilihan utama bagi mereka yang mencari pengalaman pemanduan yang tidak dapat ditandingi.
Maserati sekali lagi membuktikan bahawa mereka adalah peneraju dalam dunia kereta sukan mewah, menjadikan GT2 Stradale sebagai model yang sukar ditandingi.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!
Honda mengesahkan bakal membawa masuk motosikal elektrik kapasiti besar pertama mereka, Honda WN7, ke pasaran UK awal tahun 2026 dengan harga £12,999, iaitu sekitar RM75,000 mengikut tukaran semasa.
Model yang sebelum ini dikenali sebagai konsep EV Fun yang pertama kali dipertontonkan di acara EICMA Milan tahun lalu dan bakal membuat kemunculan rasmi dalam versi produksi penuh pada pameran yang sama, 4 November ini.
Menariknya, Honda sudah pun membuka tempahan awal untuk model ini. Pelanggan yang membuat tempahan sebelum tarikh pelancaran akan menerima hadiah percuma berupa beg tempat duduk belakang. Nama model WN7 diambil daripada huruf “W” yang merujuk kepada konsep pembangunan “Be the Wind,” huruf “N” bagi maksud “Naked,” manakala angka 7 melambangkan kelas kuasa keluarannya.
Walaupun menggunakan kuasa elektrik, prestasi WN7 tidak boleh dipandang ringan. Ia dilengkapi motor berpenyejuk air dengan kuasa nominal 18kW (24.1hp), namun mampu melonjak sehingga 67hp pada kuasa puncak. Lebih mengujakan, tork yang dihasilkan mencecah sekitar 73.8lb.ft, cukup untuk menggerakkan berat keseluruhan 217kg, iaitu hanya 25kg lebih berat berbanding model naked petrol Honda CB750 Hornet. Dari angka ini jelas, WN7 dibina untuk menyaingi motosikal naked pertengahan yang popular di jalan raya.
Bagi ketahanan bateri, Honda memaklumkan ia mampu mencatat jarak perjalanan lebih 130 kilometer untuk sekali cas, bergantung kepada kondisi tunggangan. Dengan sistem pengecasan CCS2, pengguna boleh melakukan pengecasan pantas dari 20 hingga 80 peratus hanya dalam masa 30 minit. Bagi yang memilih untuk mengecas di rumah menggunakan sistem 6kVA, pengecasan penuh dari kosong ke 100 peratus dikatakan mengambil masa kurang tiga jam.
Dari segi kelengkapan, WN7 hadir dengan teknologi moden seperti sistem pencahayaan LED penuh, paparan TFT berwarna 5 inci dan penggunaan belt drive yang lebih senyap serta kurang penyelenggaraan berbanding rantai konvensional. Semua ini menjadikan WN7 bukan sekadar motosikal elektrik, tetapi satu pakej lengkap untuk motosikal yang mempunyai gaya, teknologi dan kuasa.
Dengan harga anggaran RM75,000 dan prestasi hampir sekelas naked 750cc, Honda WN7 jelas menunjukkan kesungguhan Honda dalam memperkenalkan era baharu mobiliti elektrik di dunia dua roda. Persoalan yang kini timbul dalam kalangan peminat tempatan bilakah giliran Honda Malaysia pula untuk membawa masuk WN7 ke pasaran kita?
Sempena kehangatan MotoGP Malaysia Grand Prix, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) memperkenalkan generasi terbaru Yamaha YZF-R25 2025 yang membawa bersama DNA perlumbaan Yamaha yang sinonim dengan nama R-Series. Majlis pelancaran eksklusif ini turut diserikan dengan kehadiran pelumba Monster Energy Yamaha MotoGP serta Prima Pramac Yamaha MotoGP.
Tampil dengan gaya baharu yang diinspirasikan terus daripada dunia perlumbaan, rekaan YZF-R25 2025 lebih tajam dan agresif. Fairing depan kini lebih panjang dan aerodinamik, menyerlahkan profil sporty dengan garisan badan yang lebih garang dan tumpuan diberikan pada aspek kelajuan.
Reka bentuk lampu posisi berkembar menonjolkan identiti “race-ready” model ini, manakala kemasan dua tona warna pada panel sisi menghasilkan siluet yang kemas dan moden sebuah kombinasi gaya dan fungsi yang diterjemahkan dengan penuh karakter oleh pasukan reka bentuk R-Series.
Yamaha turut memberi perhatian kepada keselesaan dan kawalan penunggang. Bentuk badan yang lebih ringan dan tirus menjadikan R25 mudah dikendalikan di jalan dalam bandar mahupun selekoh di litar. Reka bentuk tempat duduk yang ergonomik turut membantu penunggang mendapatkan posisi tunggangan optimum, sama ada untuk kegunaan harian atau di litar.
Untuk pertama kalinya, model R25 hadir dengan sistem Assist & Slipper Clutch (A&S). Teknologi ini bukan sahaja memberikan penukaran gear menurun yang lebih lancar, malah mengurangkan kesan brek enjin ketika tork belakang tinggi. Hasilnya, tunggangan menjadi lebih stabil, responsif dan menyeronokkan.
Turut diperkenalkan ialah Yamaha Motorcycle Connect (Y-Connect App), membolehkan penunggang menyambungkan motosikal terus ke telefon pintar. Melalui aplikasi ini, pengguna boleh memantau status motosikal termasuk penggunaan bahan api, notifikasi penyelenggaraan, serta lokasi parkir terakhir. Ia bukan sekadar fungsi tambahan, tetapi melengkapkan R25 sebagai motosikal moden yang seiring dengan gaya hidup digital masa kini.
Menjana kuasa di bawah tangki ialah enjin 249cc DOHC dua silinder selari, menghasilkan 26.4 kW pada 12,000 rpm dan 22.6 Nm tork pada 10,000 rpm. Dipadankan bersama sistem brek ABS dua saluran dan lampu isyarat LED penuh, model ini mengekalkan tahap keselamatan serta gaya moden yang diharapkan oleh peminat Yamaha.
YZF-R25 2025 kini ditawarkan dalam dua warna baharu iaitu Pearl Blu dan Racing Blu, menyerlahkan semangat perlumbaan Yamaha dengan identiti warna “Blu” yang ikonik.
Model ini boleh didapati di semua pengedar sah Yamaha di seluruh Malaysia pada harga cadangan RM 23,098.00 (tidak termasuk insurans dan yuran pendaftaran).
Asia Automotive Award Iktiraf Kepercayaan Mekanik Terhadap Castrol
Dalam ekosistem automotif Malaysia, bengkel memainkan peranan yang jauh lebih signifikan daripada sekadar pusat servis.
Di sinilah keputusan...