Audi sekali lagi telah membuktikan dirinya sebagai pengeluar yang mampu menghasilkan wagon yang cantik dan berkuasa. Penawaran terbaru mereka, Audi RS6 Avant GT, telah mencetuskan perbualan hangat dalam dunia kenderaan berprestasi.
Audi RS6 Avant GT ini mempunyai keupayaan yang memalukan kembarnya, RS6 Avant Performance, terutama dari segi pecutan. Meskipun menggunakan nadi V8 4.0 liter turbo berkembar yang sama seperti model Avant Performance, RS6 Avant GT mampu memecut dari 0-96 km/j dalam masa hanya 3.2 saat, atau 0.1 saat lebih cepat.
Dengan kuasa sekitar 621 hp dan 847 Nm tork, RS6 Avant GT mampu mencapai kelajuan 200 km/j dalam hanya 11.5 saat, sebelum mencapai kelajuan tertinggi 306 km/j.
Audi turut menaiktaraf aspek gantungan wagon ini, dengan suspensi gegelung boleh laras secara manual yang mampu menurunkan ketinggian sebanyak 10 mm.
Ini diikuti dengan bar pengimbang, peredam boleh laras elektronik tiga tahap, dan komponen pembeza yang telah dinaiktaraf.
Selain itu, keempat-empat roda turut dipasangkan dengan rim bersaiz 22 inci yang dibaluti dengan tayar Continental Sport Contact 7 untuk memastikan cengkaman yang optimum di atas jalan.
Liveri luaran Audi RS6 Avant GT ini banyak diilhamkan oleh jentera lumba legenda Audi 90 Quattro IMSA GTO, dan untuk pertama kalinya, ia dilengkapi dengan hud gentian karbon.
Bagi ruang kabin wagon ini pula, ia dilengkapi dengan balutan kulit hitam dan Alcantara, diikuti dengan jahitan berwarna merah pada tempat duduk jenis sports bucket.
Difahamkan, hanya akan dihasilkan 660 unit Audi RS6 Avant GT untuk seluruh dunia, dan harga jualannya akan diumumkan kelak. Antara kenderaan mewah yang menampilkan keanggunan dan kekuatan, Audi RS6 Avant GT menjadi pilihan yang menarik bagi peminat kenderaan berprestasi tinggi.
Baca: Audi Lancar Kempen Model Kereta EV. RS e-tron GT, 0-100 km/j Hanya 3.3 saat
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.