Arai telah melancarkan topi keledar Edisi Terhad ke-15 RX-7V Evo IoM TT, sempena ulang tahun ke-40 kerjasama mereka dengan perlumbaan Isle of Man TT.
Topi keledar edisi khas ini merupakan bukti komitmen Arai yang berpanjangan terhadap kecemerlangan dan inovasi dalam rekaan topi keledar.

RX-7V Evo IoM Edisi Terhad ini direka oleh Aldo Drudi, seorang individu terkenal dalam industri sukan permotoran dan merupakan individu yang memberi ilham di sebalik banyak rekaan topi keleddar Valentino Rossi.
Rekaan Drudi untuk RX-7V Evo mendapat inspirasi terus daripada Isle of Man TT, mencerminkan semangat dan adrenalin perlumbaan tersebut. Arai menggambarkan model ini sebagai penanda aras dalam barisan produk mereka, menekankan perlindungan yang unggul dan teknologi terkini.

Dengan harga £849.99 (anggaran RM4100), topi keledar ini mewakili pelaburan yang signifikan dalam kualiti dan keselamatan, dengan ciri-ciri yang setara dengan harga premiumnya. Menjelang pelancarannya pada pertengahan tahun ini, beberapa pengedar sudah menerima pra-pesanan namun masih belum menembusi pasaran Malaysia.
Akihito Arai, Pengarah Urusan Arai Eropah, menzahirkan kegembiraannya untuk pelancaran produk tersebut baru-baru ini.
“Wow. Ini selalu menjadi momen istimewa bagi kami semua di Arai Helmet dan RX-7V Edisi Terhad EVO IoM TT 2024 yang sungguh menakjubkan. Drudi Performance sangat cermelang dan mencipta sesuatu yang “fresh”, namun masih mengandungi semua elemen rekaan yang diharapkan oleh peminat dan pengumpul.”

Merujuk kepada evolusi topi keledar edisi khas TT sepanjang tahun, Arai menambah, “Kami tidak menyangka ketika kami memulakannya 15 tahun yang lalu betapa pentingnya topi keledar khas TT setiap tahun kepada ramai “collector”. Yang dapat saya katakan sekarang adalah, nantikan TT tahun depan!”
Pelancaran RX-7V Evo IoM Edisi Terhad bukan sahaja merupakan tonggak penting, tetapi juga mengukuhkan kedudukan Arai sebagai pemimpin dalam reka bentuk dan keselamatan topi keledar malah menjanjikan kepada penunggang motosikal gabungan gaya, prestasi, dan perlindungan yang tiada bandingannya.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!
Gracshaw Lancar Koleksi Helmet Demon Slayer Edisi Terhad – Gabungan Gaya & Keselamatan

Peminat anime dan penunggang motosikal kini boleh menikmati gabungan gaya dan perlindungan dengan koleksi helmet edisi terhad Gracshaw x Demon Slayer: Kimetsu no Yaiba!
Gracshaw, jenama helmet tempatan yang terkenal, telah berkolaborasi dengan siri anime popular ini untuk menghasilkan empat rekaan eksklusif yang menampilkan karakter kegemaran ramai – Tanjiro Kamado, Nezuko Kamado, Kyojuro Rengoku, dan Tengen Uzui.
Diperkenalkan dalam rangkaian helmet Gennex, koleksi khas ini direka untuk memberikan impak fesyen yang berani kepada peminat anime yang mahukan penampilan unik ketika menunggang di jalan raya.
Koleksi ini akan mula dijual di pasaran Malaysia bermula 25 Februari 2025 dengan harga RM490.

Rekaan Ikonik dengan Sentuhan Karakter Asal
Setiap helmet dalam koleksi ini direka dengan teliti untuk menyerlahkan ciri khas setiap watak Demon Slayer. Helmet Tanjiro Kamado tampil dengan motif kotak-kotak hijau dan hitam yang menyerupai haori ikoniknya, melambangkan keberanian dan ketabahannya dalam menghadapi cabaran.
Bagi peminat Nezuko Kamado, helmet berwarna merah jambu cerah ini mencerminkan keperibadiannya yang ceria dan penyayang, menjadikannya pilihan ideal bagi mereka yang sukakan sentuhan feminin tetapi tetap berani.
Bagi yang mengagumi Kyojuro Rengoku, helmet dengan corak api menyala melambangkan semangat juang dan keberaniannya sebagai Flame Hashira. Sementara itu, helmet Tengen Uzui hadir dengan rekaan berani dan penuh gaya. Sepadan dengan personaliti flamboyan dan eksentrik Hashira Bunyi ini.
Kualiti Premium dengan Ciri Keselamatan Terbaik
Bukan sekadar rekaan menarik, helmet ini juga menawarkan perlindungan maksimum kepada penunggang motosikal. Dihasilkan mengikut standard tinggi Gennex, ia dilengkapi dengan:
Sistem pengudaraan berganda untuk keselesaan sepanjang perjalanan.
Sistem penguncian Double D-Ring yang memastikan ketat dan selamat dipakai.
Lapisan dalaman yang empuk dan boleh ditanggalkan untuk keselesaan dan kemudahan mencuci.
Rekaan aerodinamik yang memberikan rupa moden dan meningkatkan kestabilan ketika menunggang.
Pensijilan SIRIM, menjadikannya helmet yang memenuhi piawaian keselamatan tinggi di Malaysia.
Edisi Terhad – Jangan Lepaskan Peluang!
Koleksi helmet Demon Slayer ini tersedia dalam pelbagai saiz dari M hingga XXXL, sesuai untuk pelbagai jenis penunggang. Setiap helmet akan didatangkan dalam pakej eksklusif, termasuk beg khas helmet, pelekat Demon Slayer, serta manual pengguna bertema Demon Slayer.
Namun, stok adalah terhad dan hanya boleh didapati di pengedar terpilih di seluruh Malaysia. Jangan lepaskan peluang untuk memiliki helmet eksklusif ini dan tampil bergaya sambil menikmati keselamatan terbaik di jalan raya!
Untuk maklumat lanjut, hubungi Gracshaw di +604 916 3876.
Dari Gracshaw Malaysia
Baca Juga Gracshaw Lancarkan Topi Keledar Edisi Terhad Gennex Inspirasi Karakter Komik DC
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!
Formula 1 dan LEGO Berkolaborasi Mulai 2025

Dua jenama gergasi dunia, Formula 1 dan LEGO Group, bakal mencetuskan fenomena baru dengan pengumuman kerjasama menarik yang akan bermula pada 2025.
Kerjasama ini akan menghasilkan rangkaian produk LEGO bertemakan Formula 1, yang direka untuk semua peringkat umur. Daripada set LEGO DUPLO untuk kanak-kanak prasekolah hinggalah ke set pembinaan kompleks untuk peminat dewasa.
F1 / LEGO
Melalui rangkaian produk ini, dunia Formula 1 akan dihidupkan dalam bentuk LEGO dengan menampilkan pasukan F1 terkemuka.
Aktiviti tambahan seperti kandungan digital eksklusif dan zon peminat di acara Formula 1 sepanjang musim akan membawa pengalaman ini lebih dekat kepada peminat.
Malah, produk ini turut menonjolkan aspek kejuruteraan dan inovasi yang menjadi identiti sukan lumba ini.

Kerjasama ini bukan sekadar mencipta mainan; ia juga bertujuan mendekatkan peminat dengan teknologi dan inovasi Formula 1.
Aktiviti di lokasi perlumbaan akan menampilkan pengalaman langsung, di mana peminat dapat merasai keseronokan membina model LEGO yang diinspirasikan oleh kereta lumba sebenar.
Ketua Pegawai Komersial Formula 1
Emily Prazer, “Bata LEGO telah menyemarakkan kreativiti dan semangat membina dalam jutaan kanak-kanak dan dewasa di seluruh dunia. Melalui kerjasama ini, peminat dapat mencipta dan menghayati dunia Formula 1 secara mendalam, bata demi bata.
Kami teruja membawa drama dan keterujaan Formula 1 kepada komuniti pembina LEGO yang penuh semangat.”

Bagi LEGO Group, ini bukanlah kali pertama mereka meneroka dunia Formula 1. Julia Goldin, Ketua Pegawai Produk dan Pemasaran LEGO Group, berkata, “Kami mempunyai sejarah yang membanggakan dalam menghasilkan model kereta F1 menggunakan LEGO.
Kerjasama baru ini akan membawa sukan ini lebih dekat kepada peminat melalui kreativiti dan imaginasi LEGO. Kami tidak sabar untuk memperkenalkan apa yang bakal hadir kepada peminat lama dan baru, di rumah mahupun di litar.”

Rangkaian LEGO Set
Rangkaian LEGO ini dijangka menawarkan pelbagai set menarik. Termasuk model skala besar kereta F1 seperti LEGO Technic Ferrari SF-24 F1, Oracle Red Bull Racing RB20, dan banyak lagi.
Set ini bukan sahaja membolehkan anda membina model kereta lumba dengan ciri realistik seperti enjin V6 berfungsi, kotak gear dua kelajuan, dan spoiler DRS.
Tetapi juga memberikan peluang untuk mempelajari asas kejuruteraan dengan cara yang menyeronokkan.

Untuk kanak-kanak, set seperti LEGO City F1 Pit Stop & Crew bakal menjadi kegemaran baharu. Lengkap dengan kereta lumba Ferrari mainan dan pasukan pit untuk pengalaman bermain yang penuh aksi.
Aplikasi LEGO Builder turut disertakan untuk membantu peminat meneroka model mereka dalam 3D dan mengesan kemajuan pembinaan.
Dengan kombinasi LEGO dan Formula 1, peminat kini boleh membawa keterujaan litar lumba ke ruang tamu mereka sendiri! Mereka sudah mula boleh menempah model pra pelancaran seperti SF-24 di LEGO.com dengan tarikh penghantaran pada Mac 2025.
Dari LEGO
Baca Juga LEGO Technic Yamaha MT-10 SP
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!
Spoiler vs Wing: Mana Satu Lebih Baik untuk Kereta Anda?

Dalam dunia automotif, perbincangan mengenai spoiler dan wing sering menjadi topik hangat, terutama bagi peminat sukan permotoran dan modifikasi kereta. Kedua-duanya digunakan untuk meningkatkan prestasi aerodinamik, tetapi bagaimana mereka berfungsi, dan bila anda perlu memilih salah satu? Mari kita kupas lebih lanjut.

Perbezaan Spoiler dan Wing
Ramai orang sering keliru antara spoiler dan wing. Secara ringkasnya, udara hanya melalui bahagian atas spoiler, manakala udara melalui kedua-dua bahagian atas dan bawah wing. Ini adalah perbezaan asas yang mempengaruhi cara kedua-dua komponen ini bekerja.
Dari segi kecekapan aerodinamik, spoiler biasanya mempunyai nisbah angkatan kepada seretan sekitar 3:1. Ini bermaksud jika spoiler menghasilkan 30 kg daya ke bawah (downforce), ia juga akan menghasilkan 10 kg seretan (drag). Dalam ujian terowong angin, spoiler boleh menunjukkan nisbah antara 2:1 hingga 11.5:1. Bergantung pada bentuk kereta dan ketinggian spoiler.
Sebaliknya, wing boleh mempunyai nisbah angkatan kepada seretan yang lebih tinggi, antara 3:1 hingga 24:1, dengan julat biasa sekitar 8:1. Ini kerana udara yang melalui bahagian bawah wing yang memberikan kesan vakum lebih besar, menghasilkan lebih banyak daya ke bawah dengan seretan yang lebih rendah berbanding spoiler.

Spoiler vs Wing dalam Perlumbaan
Dalam dunia perlumbaan, penggunaan spoiler dan wing bergantung kepada peraturan dan keperluan prestasi. Sebagai contoh, Mazda RX-7 IMSA GTO tahun 1990 asalnya menggunakan spoiler dan mempunyai pekali seretan (Cd) 0.51 serta pekali angkatan (Cl) -0.44. Apabila spoiler ini digantikan dengan wing, Cd turun kepada 0.48, dan Cl meningkat kepada -0.53, menjadikan kecekapan aerodinamik bertambah sebanyak 128%.
Simulasi lumba menunjukkan bahawa kereta dengan wing lebih pantas sekitar satu saat berbanding kereta dengan spoiler dalam perlumbaan trek. Ini membuktikan bahawa wing menawarkan kelebihan aerodinamik yang ketara dalam situasi perlumbaan.
Namun, dalam perlumbaan seperti NASCAR, penggunaan spoiler lebih disukai kerana ia menghasilkan pergerakan udara yang lebih baik untuk kereta di belakang, membolehkan perlumbaan lebih rapat dan mendebarkan. Wing dalam NASCAR pernah digunakan pada era “Car of Tomorrow” tetapi ditinggalkan kerana masalah keselamatan dan faktor estetika.

Bilakah Spoiler Lebih Baik?
Walaupun wing lebih cekap dalam menghasilkan downforce, spoiler masih mempunyai kelebihan tersendiri dalam beberapa situasi:
- Reka Bentuk Perlumbaan – Dalam beberapa kategori perlumbaan seperti Spec Miata atau Superspec Cup, spoiler lebih disukai kerana ia menghasilkan perlumbaan yang lebih menarik dengan lebih banyak aksi mendahului.
- Kereta Jalanan – Spoiler sering kelihatan lebih kemas dan tidak menarik perhatian seperti wing besar. Spoiler kecil juga boleh membantu mengurangkan seretan dan meningkatkan kestabilan pada kelajuan tinggi.
- Autocross – Dalam perlumbaan autocross, spoiler boleh memberikan prestasi yang lebih baik kerana wing boleh menambah berat tambahan di bahagian belakang dan meningkatkan inersia polar, menjadikan kereta kurang responsif dalam perubahan arah pantas.
- Kereta Convertible – Wing tidak berfungsi dengan baik pada kereta bumbung terbuka kerana aliran udara yang terganggu. Dalam kes ini, spoiler lebih berkesan.

Bolehkah Spoiler dan Wing Digunakan Bersama?
Dalam beberapa kes, kombinasi spoiler dan wing boleh meningkatkan prestasi aerodinamik. Beberapa kereta perlumbaan dan modifikasi ekstrem menggunakan kedua-duanya untuk mengoptimumkan daya ke bawah dan mengawal aliran udara dengan lebih baik. Namun, dalam kebanyakan kes, satu elemen sahaja sudah mencukupi bergantung pada keperluan aerodinamik dan peraturan perlumbaan.
Kesimpulan
Jika anda ingin meningkatkan prestasi aerodinamik kereta anda, pilihan antara spoiler dan wing bergantung kepada matlamat anda. Wing memberikan lebih banyak downforce dengan seretan yang lebih rendah, sesuai untuk perlumbaan trek yang memerlukan cengkaman maksimum. Sebaliknya, spoiler lebih praktikal untuk kegunaan harian, perlumbaan tertentu, dan situasi di mana aerodinamik yang terlalu ekstrem bukan keutamaan.
Jadi, sebelum membuat pilihan, pastikan anda memahami keperluan kereta dan gaya pemanduan anda!
Dari Occam’s Racer
Baca Juga F1 – McLaren Julang Kejuaraan Konstruktor Selepas 26 Tahun, Ferrari Kedua
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!



