Malaysia Airlines (MAS) baru-baru ini berkongsi berberapa gambar di laman sosial mereka dengan memuat naik gambar sebuah pesawat Airbus A330 NEO dengan logo MAS yang sedang memulakan fasa pemasangan akhir di Toulouse.
Kredit Foto : Facebook Malaysia Airlines
Pesawat canggih ini menjadi simbol kemajuan terkini syarikat penerbangan nasional dalam usaha memperkukuhkan armada mereka.
Pesawat yang dinanti-nantikan ini menandakan pencapaian penting bagi Malaysia Airlines dalam usaha memodenkan armada pesawat mereka. Bahagian utama fuselage, sayap, dan ekor setiap satunya dihiasi dengan logo wau ikonik syarikat penerbangan ini kini telah dipasang sepenuhnya.
Kredit Foto : Facebook Malaysia Airlines
Proses pemasangan diteruskan dengan pemasangan kokpit, enjin, gear pendaratan, pendawaian elektrik, avionics, serta sistem bahan api dan hidraulik. Setiap langkah dilakukan dengan teliti untuk memastikan piawaian keselamatan dan kecekapan yang tertinggi.
Ads
Kredit Foto : Facebook Malaysia Airlines
Pesawat ini kemudian akan menjalani pemeriksaan darat yang teliti dan pemasangan kabin, sebagai persediaan untuk penerbangan ujian pertamanya.
Penambahan baharu kepada armada Malaysia Airlines ini dijangka meningkatkan keselesaan penumpang dan kecekapan operasi.
Ads
Kredit Foto : Website insider
A330 NEO terkenal dengan aerodinamik yang canggih, enjin generasi baharu, dan kabin yang lebih luas, menjanjikan pengalaman penerbangan yang tiada tandingan.
A330 NEO ini dijadualkan untuk penghantaran pada suku ketiga tahun ini, menandakan babak baharu dalam komitmen Malaysia Airlines untuk menyediakan perkhidmatan bertaraf dunia.
Ads
Sebelum ni Malaysia Airlines telah menggunakan pesawat Airbus A380 sebagai pesawat penumpang terbesar milik mereka dan A330 NEO merupakan pengganti kepada pesawat komersial tersebut.
Malaysia Autoshow 2025 (MAS 2025) melabuhkan tirainya dengan rekod pencapaian paling cemerlang dalam sejarah penganjurannya.
Berlangsung dari 9 hingga 15 Mei di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), pameran berprestij ini mencatat kehadiran seramai 294,062 pengunjung.
Secara tidak langsung memecah rekod terdahulu dan mencerminkan peningkatan 31% berbanding tahun 2024.
MAS 2025 bukan sekadar pameran automotif – ia menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri mobiliti negara dengan RM1.72 bilion potensi jualan dijana hasil daripada 3,194 tempahan kenderaan, 1,512 cadangan tukar beli, dan 18,824 petunjuk jualan baharu.
Ini mencerminkan keyakinan tinggi pengguna dan pelabur terhadap masa depan industri automotif negara.
Bertemakan “Shifting the Future”, MAS 2025 menampilkan lebih 500 kenderaan dari 200 peserta pameran yang memenuhi ruang seluas 50,000 meter persegi.
Separuh daripada model yang dipamerkan terdiri daripada kenderaan elektrik (EV), hibrid plug-in (PHEV), dan hibrid (HEV).
Sebanyak 48 pelancaran dan pratonton model baharu dilakukan sepanjang pameran, disertai 10,916 sesi pandu uji di trek luar.
Pameran ini juga menyaksikan pelancaran rasmi Skim Pelabelan Sukarela Kenderaan Generasi Baharu (NxGV).
Ini merupakan satu penanda aras baharu untuk pensijilan kenderaan berdasarkan standard keselamatan, inovasi dan kelestarian tertinggi Malaysia.
Salah satu kemuncak MAS 2025 ialah Asean Unity Drive 2025, konvoi EV merentasi 9 negara ASEAN sejauh 10,432 kilometer, yang secara rasmi diiktiraf oleh ASEAN Records.
Konvoi ini menggunakan model Proton e.MAS 7 dan siri X, mempromosikan keseragaman standard EV dan kebolehlaksanaan pengecasan rentas sempadan.
Lebih penting, konvoi ini membuktikan bahawa perjalanan jauh menggunakan EV kini sudah boleh direalisasikan, asalkan infrastruktur pengecasan tersedia.
Ini menandakan kesiapsiagaan ASEAN untuk masa depan mobiliti hijau yang seragam dan bersepadu.
MAS 2025 kekal dengan pendekatannya yang berorientasikan pengguna dengan memperkenalkan Hari Pendidikan, Hari Wanita, dan Hari Hijau, yang menyediakan aktiviti pembelajaran interaktif kepada ribuan keluarga, pelajar dan profesional.
Inisiatif ini membina kesedaran awam terhadap kepentingan kelestarian, keselamatan, dan teknologi pengangkutan masa depan.
Antara tarikan futuristik ialah demonstrasi Mobiliti Udara Bandar yang memperkenalkan konsep kenderaan eVTOL (elektrik berlepas dan mendarat menegak).
Dalam pada itu, sistem ADaPTIV, hasil kerjasama MARii dan PETRONAS, turut diperkenalkan sebagai prototaip.
Sistem ini menawarkan ramalan pintar secara langsung untuk mengoptimumkan prestasi dan kebolehpercayaan kenderaan.
Pengerusi MARii, Datuk Dr. Aminar Rashid, mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak berkepentingan termasuk Perodua, Proton, Chery, Modenas, Honda, dan ORS Technologies atas kerjasama erat mereka menjayakan acara ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Azrul Reza Aziz, pula menegaskan bahawa MAS 2025 bukan sekadar berkisar tentang kenderaan, tetapi menjalin sinergi antara inovasi, keterlibatan awam, dan transformasi industri.
Fokus kini adalah memperkasakan keseluruhan rantaian nilai mobiliti menuju era kenderaan generasi baharu dan kepimpinan EV.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Abdul Aziz, menekankan bahawa kejayaan MAS 2025 sejajar dengan aspirasi strategik Malaysia dalam memperkukuh kedudukan sebagai peneraju teknologi automotif dan mobiliti masa depan ASEAN.
Menurut beliau,
“Sebagai pasaran automotif kedua terbesar di Asia Tenggara dan selaku Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia berada dalam posisi strategik untuk memacu pembangunan teknologi hijau dan kenderaan generasi baharu serantau. Kejayaan ini adalah langkah besar ke arah itu.”
Malaysia Autoshow akan kembali pada tahun 2027 dengan potensi lokasi baharu dan pendekatan lebih inovatif.
Acara ini bakal terus mengukuhkan kedudukannya sebagai platform serantau utama untuk mobiliti, inovasi, dan teknologi pengangkutan bersih.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, sila layari www.autoshow.my atau ikuti saluran media sosial rasmi Malaysia Autoshow.
Ramai di kalangan kita yang pernah ke Singapura pasti mengalami pengalaman dimana, situasi yang ‘meriah’ ketika melalui Pusat Pemeriksaan Woodlands, terutamanya pada waktu puncak.
Terletak di tambak antara Singapura dan Johor Bahru, Pusat Pemeriksaan Woodlands dianggap sebagai salah satu pusat pemeriksaan darat terpadat di dunia. Namun, ada berita baik – terdapat perancangan besar-besaran untuk membangunkan semula pusat pemeriksaan tersebut, yang dijadualkan bermula pada tahun 2025.
Matlamat utama perluasan ini adalah untuk mengurangkan masa pelepasan dari satu jam kepada hanya 15 minit semasa waktu puncak. Pihak berkuasa merancang untuk memulakan pembangunan dalam beberapa fasa, yang dijangka mengambil masa 10 hingga 15 tahun.
Pusat pemeriksaan yang dibangunkan semula akan menjadi kira-kira lima kali ganda dari saiz semasa, mencerminkan hasrat untuk meningkatkan kecekapan dan kelancaran proses pemeriksaan. Automasi akan menjadi pemain utama, dengan sistem pelepasan imigresen dalam kereta automatik dan pemeriksaan keselamatan yang terintegrasi.
Tapak baharu juga dijangka menyediakan ruang untuk kenderaan, membantu mengatasi kesesakan di jalan raya sekitar dan Lebuhraya Bukit Timah. Dalam fasa pertama pembangunan, akan dibina 21 lorong kargo dua hala dan 78 lorong kereta ketibaan, memberikan lonjakan kapasiti sebanyak 30% untuk kargo dan 95% untuk kereta.
Lorong ketibaan untuk kereta juga boleh diubah menjadi 156 lorong untuk motosikal, memberikan fleksibiliti dalam menguruskan kesesakan semasa waktu puncak. Lebuhraya Bukit Timah juga akan diperluaskan, memberikan laluan terus untuk kenderaan keluar dari pusat pemeriksaan.
Pihak berkuasa yakin bahawa langkah-langkah ini akan membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan tersebut pada waktu puncak. Rangkaian jalan juga akan diperbarui, termasuk sambungan Pusat Bandar Woodlands Lama dan BKE yang dijadualkan siap pada 2028.
Meskipun perancangan ini melibatkan perobohan Pusat Pemeriksaan Woodlands lama, pihak berkuasa yakin bahawa pembangunan semula ini akan memberikan penyelesaian yang lebih mampan dan jangka panjang kepada masalah kesesakan di lintasan darat ini. Dengan dijangkakan peningkatan pengguna harian kepada kira-kira 400,000 menjelang tahun 2050, revolusi ini adalah langkah yang sangat dihargai.
Ford sudah lebih 100 tahun dikenali bukan sahaja sebagai jenama automotif global, tetapi juga sebagai organisasi yang aktif membantu komuniti. Komitmen itu kini diteruskan melalui inisiatif CSR global Ford Building Together, yang turut dilaksanakan di Malaysia oleh Sime Darby Auto ConneXion-Ford.
Bagi tahun 2025, program ini memberi manfaat kepada 600 penerima bantuan merentasi Lembah Klang, Pulau Pinang, Ipoh dan Kuantan, melalui penyaluran bantuan makanan serta perkhidmatan penjagaan kesihatan asas sepanjang kempen selama 11 hari. Kesemua pelaksanaan ini dijayakan oleh 55 sukarelawan Ford, termasuk tenaga kerja daripada rangkaian pengedar di seluruh negara.
Auto ConneXion-Ford memilih kumpulan penerima daripada pelbagai latar sosioekonomi, antaranya keluarga B40, ibu tunggal, golongan Asnaf, OKU serta komuniti Orang Asli.
Pecahan bantuan mengikut negeri adalah seperti berikut:
Lembah Klang – 200 penerima (B40, Asnaf, OKU di Putra Ria & Abdullah Hukum)
Pulau Pinang – 100 penerima (Komuniti B40 & Asnaf di George Town & Jalan Patani)
Ipoh – 150 penerima (Ibu tunggal, Asnaf & B40 di Sungai Rokam)
Kuantan – 150 penerima (Komuniti Orang Asli di Kampung Paya Bungor, Gambang)
Menurut Jane Holloway, Pengurus Kanan Ford Philanthropy, inisiatif global itu menjadi manifestasi falsafah Ford sejak dulu.
“Misi kami bukan sekadar membina kenderaan berkualiti tinggi. Kami mahu memperkasakan komuniti serta mendorong perubahan positif. Apabila kami berganding bahu dengan rakan dan sukarelawan, impak yang terhasil jauh lebih bermakna,” jelas beliau.
Kempen ini juga memanfaatkan Klinik Bergerak Ford, yang dilancarkan Februari lalu. Melalui kolaborasi bersama Yayasan Sime Darby, Ford Philanthropy dan MyFundAction, klinik bergerak ini menghimpunkan tenaga profesional perubatan untuk menyediakan pemeriksaan asas dan rawatan ringan, khususnya kepada komuniti luar bandar yang kurang akses kepada perkhidmatan kesihatan.
Pengarah Urusan Auto ConneXion-Ford, Turse Zuhair Nahason Affan, menyatakan bahawa usaha ini selari dengan strategi global Ford.
“Membawa ‘kuasa penuh Ford’ bermaksud bukan sekadar sokongan kewangan. Ia melibatkan tenaga kakitangan, rangkaian pengedar dan semangat untuk memenuhi keperluan komuniti. Hubungan ini lebih daripada bantuan ia membina masa depan yang lebih mampan,” katanya.
Beliau turut mengakui sumbangan besar sukarelawan, rangkaian pengedar serta MyFundAction dalam menjayakan pelaksanaan di lapangan.
Aktiviti tempatan ini merupakan komponen penting kepada Ford Global Caring Month, kempen sukarelawan tahunan melibatkan lebih 1,600 pengedar Ford di 31 negara.
Di bawah inisiatif Ford Building Together, kempen global tersebut berjaya mengumpulkan lebih 2 juta paun (907,000 kg) bekalan makanan jauh mengatasi sasaran awal 500,000 kg.
Inisiatif terbaru ini menambah kepada portfolio CSR Auto ConneXion-Ford di Malaysia, termasuk projek seperti Projek Air Bersih di Gerik dan Operasi Dunia Lebih Baik di Kuala Lumpur sebelum ini.
Walaupun berskala global, pelaksanaan di Malaysia menunjukkan bagaimana sebuah jenama automotif mampu memberi impak yang realistik dan relevan kepada masyarakat setempat.
Aveta Perluas ‘Care on Wheels’, Servis Sokongan Buat Penunggang Motosikal Sempena Raya
Aveta Motor Malaysia terus mengukuhkan komitmennya terhadap komuniti penunggang motosikal tempatan dengan memperluas...