Kemaskini Terkini Acura Integra: Teknologi Baharu dan Sentuhan Sporty untuk Tahun 2026
Acura Integra 2026 hadir dengan pembaharuan yang membuatkan hatchback mewah kompak ini lebih menarik daripada sebelumnya.
Antara yang paling ketara ialah paparan infotainmen baharu bersaiz 9.0 inci kini menjadi ciri standard untuk semua varian, menggantikan unit 7.0 inci sebelum ini.
Ia turut menyokong sambungan tanpa wayar Apple CarPlay dan Android Auto serta dikatakan mempunyai pemproses lebih pantas untuk pengalaman yang lebih responsif dan lancar.
Ruang Dalaman Lebih Mewah
Bahagian dalaman juga menerima sentuhan baru dengan kemasan papan pemuka yang lebih segar.
Varian A-Spec ditingkatkan lagi dengan pencahayaan ambien tambahan dan pilihan upholsteri eksklusif.
Antaranya, kemasan Orchid kini diserikan dengan penyisip suede tiruan berwarna biru, manakala pilihan Ebony menampilkan jahitan kontras kuning pada tempat duduk, panel pintu, stereng dan tombol gear satu gabungan yang memancarkan aura sporty dan sofistikated.
Gaya Luar Lebih Agresif
Untuk penampilan luaran, A-Spec 2026 kini dilengkapi dengan bodykit lebih garang yang merangkumi spoiler sisi berkilat, skirt sisi lebih sporty dan rim aloi 18 inci berwarna hitam dengan rekaan baharu.
Paling menarik, pembeli kini boleh memilih gril depan yang sepadan dengan warna badan – khusus untuk warna Double Apex Blue Pearl dan Performance Red Pearl.
Jika tidak menggemari gaya ini, pilihan gril hitam standard masih tersedia sebagai aksesori kilang.
Pilihan Warna Baharu
Tiga warna baharu turut diperkenalkan untuk tahun 2026 iaitu Double Apex Blue Pearl, Solar Silver Metallic dan Urban Gray Pearl.
Pembeli juga boleh mendapatkan gril sepadan bagi warna Urban Gray Pearl dan Platinum White Pearl melalui pilihan aksesori tambahan.
Enjin Turbo dan Dua Pilihan Transmisi
Di sebalik rupa luaran yang dipertingkatkan, Integra 2026 masih mengekalkan nadi yang sama enjin 1.5-liter VTEC Turbo empat silinder dengan kuasa 200 hp.
Pilihan transmisi kekal sama, sama ada CVT automatik atau transmisi manual 6-kelajuan.
Untuk CVT, paddle shifter turut disediakan bagi mereka yang mahu rasa kawalan manual walaupun dalam transmisi automatik.
Belum Ada Harga Rasmi, Tapi Dijangka Tidak Banyak Berubah
Setakat ini, Acura masih belum mengumumkan harga rasmi untuk model 2026, tetapi dijangka tidak jauh berbeza daripada harga semasa.
Sebagai rujukan, model asas kini bermula sekitar USD34,196, manakala A-Spec dan A-Spec Technology masing-masing bermula sekitar USD36,195 dan USD39,195.
Konklusi
Dengan sentuhan teknologi terkini, pilihan kosmetik yang lebih luas serta kekal menawarkan pemanduan sporty berteraskan enjin turbo.
Acura Integra 2026 dilihat terus kukuh sebagai pilihan hatchback mewah yang penuh gaya dan personaliti.
Sesuai untuk mereka yang mahukan sesuatu lebih daripada sebuah Honda Civic, tetapi tetap dalam pakej praktikal dan menyeronokkan..
Baca Juga : Acura Integra Type S HRC Prototype, Bakal Setanding Honda Civic Type R FL5?