TE37 Kini Ada Hari Rasmi Sendiri
7 Mac kini secara rasmi didaftarkan sebagai “TE37 Day” di Jepun, menjadikan Volk Racing TE37 rim aftermarket pertama yang mempunyai hari peringatan sendiri.
Pengiktirafan tersebut diberikan oleh Japan Anniversary Association, dengan tarikh 3/7 dipilih bersempena nama model yang cukup sinonim dalam dunia JDM.
Pendaftaran ini hadir tepat ketika TE37 menyambut ulang tahun ke-30 sejak diperkenalkan pada tahun 1996. Dalam industri sportrim aftermarket yang sangat kompetitif, tiga dekad pengeluaran berterusan adalah satu pencapaian besar.
Banyak model digantikan, dihentikan atau tinggal sebagai kenangan namun TE37 pula terus kekal dalam katalog semasa, diperhalusi dari semasa ke semasa tanpa mengubah asas identitinya.

TE37 Kekal Relevan Selama 3 Dekad
Sejak awal, TE37 direka sebagai rim forged enam jejari yang ringan dan kukuh untuk kegunaan perlumbaan. Ia dihasilkan menggunakan proses forging proprietari RAYS di Jepun, dengan penekanan terhadap kekuatan struktur serta pengurangan berat tanpa kompromi terhadap ketahanan.
Hasilnya, TE37 pantas membina reputasi dalam perlumbaan litar, time attack dan drifting. Gabungan rim yang ringan serta kukuh menjadikannya pilihan popular untuk jentera berprestasi, sama ada kegunaan trek mahupun jalan raya.
Reka bentuk enam jejari yang kelihatan ringkas sebenarnya mengutamakan integriti struktur dan pengagihan beban yang optimum dan ini merupakan faktor utama mengapa ia masih relevan sehingga hari ini.

Bagi meraikan ulang tahun ke-30, RAYS memperkenalkan model TE37 SONIC 30th Anniversary. Versi khas ini mengekalkan DNA asal enam jejari, tetapi diberikan sentuhan komemoratif seperti ukiran khas dan kemasan eksklusif.
Secara teknikal, ia masih mengekalkan DNA yang sama, forged, ringan dan fokus kepada prestasi cuma ditambah dengan nilai sentimental tambahan sempena legasi tiga dekad rim tersebut.
TE37 Ikon Global
Pengiktirafan rasmi sebagai “TE37 Day” mungkin bukan cuti umum, namun ia membawa makna simbolik yang besar. Di Jepun, ketelitian pembuatan, kesinambungan produk dan kecemerlangan kejuruteraan dianggap sebahagian daripada warisan industri.
Produk yang mampu bertahan dan terus digunakan selama beberapa dekad sering dilihat sebagai lambang identiti kejuruteraan negara itu.
Dalam konteks ini, TE37 sudah menjadi ikon global. Daripada Nissan GT-R hingga Honda Civic Type R, daripada jentera profesional di litar hingga projek street build, nama TE37 sering dikaitkan dengan reputasi forged yang dipercayai. Malahan di Malaysia sendiri penulis yakin ramai pengguna kenderaan menggunakan rim ini.

Tiga puluh tahun selepas debutnya, TE37 kekal sebagai antara rim forged paling dikenali di dunia. Banyak rim hadir mengikut trend semasa, tetapi hanya segelintir yang mampu mengekalkan relevansi merentas generasi.
Kini, setiap 7 Mac menjadi simbol pengiktirafan terhadap satu produk yang bukan sahaja mendefinisikan era 1990-an, malah terus memainkan peranan penting dalam landskap automotif moden.
Dalam dunia yang sentiasa berubah, konsistensi dan integriti kejuruteraan seperti inilah yang membezakan legenda daripada sekadar produk biasa.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!





