Automotif

3.14 Juta Kenderaan Menuju Pahang, Kesesakan Dijangka Memuncak 5 dan 6 April

Share

Lonjakan Luar Biasa Trafik ke Pahang Sempena Aidilfitri

Dijangka Sebanyak 3.14 juta kenderaan dijangka membanjiri negeri Pahang sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, Datuk Razali Kassim, aliran trafik tertinggi diramalkan berlaku bermula 27 Mac hingga 7 April 2025.

Daripada jumlah tersebut, sekitar 2.24 juta kenderaan dijangka melalui Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK).

903,000 lagi pengguna jalan raya akan menggunakan laluan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) sebagai pintu masuk utama ke negeri ini.

Kesesakan Trafik Dijangka Pada 5 dan 6 April

Menurut Razali, kemuncak kesesakan trafik dijangka berlaku pada Sabtu, 5 April, khususnya di Lebuhraya KL-Karak dengan anggaran sebanyak 216,000 kenderaan akan menggunakan laluan tersebut dalam tempoh sehari.

Sementara itu, LPT1 dijangka mengalami puncak aliran trafik pada Ahad, 6 April dengan sekitar 119,000 kenderaan bakal melaluinya.

“Dengan kemungkinan Hari Raya Aidilfitri jatuh pada hari Isnin, saya menyeru kepada semua pengguna jalan raya agar merancang perjalanan lebih awal. Ia bukan sahaja dapat mengelakkan kesesakan teruk, malah memberi ruang untuk pemanduan yang lebih selamat dan selesa,”

katanya semasa sidang media selepas Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan dan Ops Siaga Raya Aidilfitri Tahun 2025 yang berlangsung di Kuantan.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang

, Mohd Razam Taja Rahim.

Penambahbaikan Infrastruktur Demi Keselamatan Pengguna

Kerajaan negeri turut memandang serius aspek keselamatan dan keselesaan pengguna lebuh raya.

Sehubungan itu, kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan jalan sedang giat dijalankan, termasuk di laluan penting Lingkaran Tengah Utama (LTU).

Mengulas isu tular berkaitan kerosakan jalan di pakej 5C1, Bentong, Razali mengesahkan bahawa kerja pembaikan sepanjang 400 meter di lokasi tersebut telah pun dimulakan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan dijangka siap sepenuhnya pada Rabu ini.

“Kita juga memberi perhatian terhadap kawasan yang tidak mempunyai pencahayaan mencukupi. Lampu jalan akan dipasang secara berperingkat, mengikut kelulusan peruntukan semasa. Di kawasan yang tidak mempunyai bekalan elektrik, kita akan memasang lampu solar sebagai alternatif pencahayaan,” jelas beliau.

Saranan Buat Pengguna Jalan Raya

Peningkatan jumlah kenderaan ini sememangnya menjadi cabaran utama setiap kali musim perayaan.

Oleh itu, semua pengguna jalan raya dinasihatkan agar menyemak laluan perjalanan, mengelak waktu puncak, dan memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan pulang ke kampung halaman.

Langkah proaktif oleh pihak berkuasa dan kesedaran pengguna amat penting bagi memastikan keselamatan di jalan raya terpelihara sepanjang musim perayaan ini.

Kredit: BERNAMA

Baca Juga : Bugatti Tourbillon, Hyper-Hybrid V16 Dengan Kelajuan Maksimum 400KM/J!

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

Published by
Syafiq Syazuan Ruzaidi