Lonjakan Luar Biasa Trafik ke Pahang Sempena Aidilfitri
Dijangka Sebanyak 3.14 juta kenderaan dijangka membanjiri negeri Pahang sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, Datuk Razali Kassim, aliran trafik tertinggi diramalkan berlaku bermula 27 Mac hingga 7 April 2025.
Daripada jumlah tersebut, sekitar 2.24 juta kenderaan dijangka melalui Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK).
903,000 lagi pengguna jalan raya akan menggunakan laluan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) sebagai pintu masuk utama ke negeri ini.
Kesesakan Trafik Dijangka Pada 5 dan 6 April
Menurut Razali, kemuncak kesesakan trafik dijangka berlaku pada Sabtu, 5 April, khususnya di Lebuhraya KL-Karak dengan anggaran sebanyak 216,000 kenderaan akan menggunakan laluan tersebut dalam tempoh sehari.
Sementara itu, LPT1 dijangka mengalami puncak aliran trafik pada Ahad, 6 April dengan sekitar 119,000 kenderaan bakal melaluinya.
“Dengan kemungkinan Hari Raya Aidilfitri jatuh pada hari Isnin, saya menyeru kepada semua pengguna jalan raya agar merancang perjalanan lebih awal. Ia bukan sahaja dapat mengelakkan kesesakan teruk, malah memberi ruang untuk pemanduan yang lebih selamat dan selesa,”
Ads
katanya semasa sidang media selepas Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan dan Ops Siaga Raya Aidilfitri Tahun 2025 yang berlangsung di Kuantan.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Razam Taja Rahim.
Penambahbaikan Infrastruktur Demi Keselamatan Pengguna
Kerajaan negeri turut memandang serius aspek keselamatan dan keselesaan pengguna lebuh raya.
Sehubungan itu, kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan jalan sedang giat dijalankan, termasuk di laluan penting Lingkaran Tengah Utama (LTU).
Ads
Mengulas isu tular berkaitan kerosakan jalan di pakej 5C1, Bentong, Razali mengesahkan bahawa kerja pembaikan sepanjang 400 meter di lokasi tersebut telah pun dimulakan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan dijangka siap sepenuhnya pada Rabu ini.
“Kita juga memberi perhatian terhadap kawasan yang tidak mempunyai pencahayaan mencukupi. Lampu jalan akan dipasang secara berperingkat, mengikut kelulusan peruntukan semasa. Di kawasan yang tidak mempunyai bekalan elektrik, kita akan memasang lampu solar sebagai alternatif pencahayaan,” jelas beliau.
Saranan Buat Pengguna Jalan Raya
Peningkatan jumlah kenderaan ini sememangnya menjadi cabaran utama setiap kali musim perayaan.
Ads
Oleh itu, semua pengguna jalan raya dinasihatkan agar menyemak laluan perjalanan, mengelak waktu puncak, dan memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan pulang ke kampung halaman.
Langkah proaktif oleh pihak berkuasa dan kesedaran pengguna amat penting bagi memastikan keselamatan di jalan raya terpelihara sepanjang musim perayaan ini.
Aveta Malaysia melakar sejarah baharu apabila melancarkan cogan kata rasmi terbarunya, “Redefining Boundaries” atau Mentakrifkan Semula Sempadan. Slogan ini menjadi simbol kepada hala tuju jenama tempatan tersebut dalam mendepani persaingan industri motosikal Malaysia yang semakin sengit.
Falsafah Baharu, Semangat Baharu
Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Aveta Malaysia, Steven Lim, cogan kata baharu ini mencerminkan komitmen jenama dalam mendengar suara pengguna dan menyediakan motosikal yang mampu dibanggakan oleh rakyat Malaysia.
“Redefining Boundaries adalah iltizam kami untuk membawa jenama ini ke tahap lebih tinggi dengan menggabungkan inovasi, pengalaman penunggang dan kualiti perkhidmatan. Inilah cara kami membina sebuah jenama kebanggaan Malaysia dengan visi global,” jelas Lim.
Catat Rekod Bersama Komuniti Penunggang
Julai lalu, Aveta berjaya mencatatkan nama dalam Malaysian Book of Records (MBR) selepas menganjurkan penyerahan motosikal terbesar dalam sejarah negara. Majlis yang berlangsung di Seberang Perai, Pulau Pinang ini menyaksikan model baharu Vanguard 250 dan Nova 160 diserahkan secara rasmi kepada pemilik.
Acara yang dirasmikan oleh YB Dato’ Hj. Rashidi bin Zinol, EXCO Negeri Pulau Pinang, turut dihadiri lebih 500 tetamu termasuk pengedar, pelanggan dan peminat Aveta.
Vanguard 250 & Nova 160 Jadi Tarikan Utama
Sejak awal tahun ini, Aveta menerima sambutan luar biasa terhadap dua model utamanya.
Aveta Vanguard 250
Aveta Nova 160
Permintaan tinggi untuk kedua-dua model ini membuktikan Aveta semakin diterima oleh pelbagai segmen penunggang di Malaysia.
Fokus Kepada Keperluan Penunggang
Aveta menekankan aspek praktikal dengan menawarkan motosikal yang relevan untuk keperluan sebenar penunggang Malaysia sama ada untuk perjalanan seharian di dalam bandar atau pengembaraan merentas negeri.
Selain itu, pemilikan Aveta turut dipermudahkan melalui harga kompetitif, prestasi yang boleh diyakini, serta sokongan selepas jualan yang meluas.
Sokongan Padu Selepas Jualan
Aveta kini memiliki rangkaian pusat pengedar, pusat servis dan stokis alat ganti di seluruh negara. Salah satu inisiatif menarik ialah Aveta Care on Wheels iaitu perkhidmatan sokongan bergerak dari pintu ke pintu bagi membantu pengguna yang mengalami masalah teknikal di lokasi yang jauh daripada pengedar sah.
Langkah ini menunjukkan kesungguhan Aveta dalam memberikan pengalaman pemilikan tanpa kompromi, sejajar dengan semangat Redefining Boundaries.
Membina Masa Depan Bersama
Dengan pelancaran cogan kata baharu ini, Aveta menyatukan pelanggan, kakitangan dan rakan pengedar di bawah misi bersama memacu inovasi dan mengukuhkan kedudukan jenama motosikal tempatan di peringkat global.
“Cogan kata ini melambangkan perjalanan kami. Aveta akan terus menolak sempadan, menambah baik kejuruteraan, serta memastikan setiap pemilik berasa sebahagian daripada keluarga besar Aveta,” ujar Lim.
Sime Motors 45 Tahun, Terus Menerajui Pasaran Automotif Malaysia
Sime Motors kini meraikan ulang tahun ke-45, satu perjalanan hampir lima dekad dalam industri automotif Malaysia. Ditubuhkan pada tahun 1980, syarikat ini hari ini berdiri sebagai peruncit automotif terbesar negara, membentuk landskap mobiliti tempatan dengan rangkaian jenama serta perkhidmatan bertaraf dunia.
Portfolio Jenama Bertaraf Global
Sime Motors kini mewakili barisan jenama antarabangsa terkemuka di Malaysia antaranya BMW, MINI, BMW Motorrad, BYD, DENZA, Ford, Hyundai, Jaguar, Land Rover, Volvo dan Porsche. Tidak ketinggalan, Sime Motors juga mengendalikan Auto Selection untuk kereta terpakai, Drivecare serta EV Next bagi pasaran EV pra-milik.
Kepelbagaian portfolio ini menjadikan syarikat ini sebuah “mobility powerhouse” daripada prestasi mewah sehinggalah mobiliti harian yang lebih praktikal.
Daripada 1980 ke 2025
Sejak empat dekad lalu, syarikat ini banyak mencatat pencapaian yang membentuk wajah industri automotif Malaysia:
1980-an – 1990-an: Membina asas kukuh sebagai peruncit automotif premium dengan jaringan pelanggan di seluruh negara.
2000-an: Era pengembangan pantas, mengukuhkan kedudukan dalam segmen mewah, premium dan pasaran massa.
2010-an: Menambah rangkaian pengedar, memperkenalkan lebih banyak jenama global serta memperkayakan pengalaman pemilikan pelanggan.
2020-an: Membuka Sime Motors City di Ara Damansara yang kini diiktiraf sebagai kompleks automotif terbesar di Asia Tenggara. Dalam dekad ini juga Sime Motors mula serius memacu mobiliti elektrik dengan memperkenalkan jenama seperti BYD.
Tulang Belakang Kejayaan
Syarikat ini juga menekankan kepentingan modal insan. Latihan, pembangunan dan peluang pertumbuhan untuk kakitangan sentiasa menjadi keutamaan, agar setiap pekerja mampu memberikan pengalaman pelanggan yang terbaik dalam era automotif yang semakin dinamik.
Sambutan 45 Tahun: Eksklusif & Meriah
Sempena ulang tahun ke-45, Sime Motors menganjurkan siri acara istimewa untuk pelanggan dan komuniti, antaranya:
Karnival Jualan Ulang Tahun ke-45 (5–7 September di Sime Motors City) dengan promosi eksklusif, hiburan dan pandu uji.
Cabutan bertuah BMW 2 Series sebagai hadiah utama, selain hadiah bulanan sehingga Disember 2025.
Konsert Orkestra “Orchestrating Excellence” meraikan kecemerlangan 45 tahun.
Jualan Maraton 45 Jam pada bulan Oktober.
Aktiviti komuniti seperti malam bertema retro, acara sukan dan perjumpaan pelanggan & staf.
Selepas 45 tahun, Sime Motors bukan sekadar nama besar dalam automotif Malaysia ia sudah menjadi sebahagian daripada perjalanan mobiliti rakyat Malaysia. Dari zaman sedan klasik hingga era SUV mewah dan kini memasuki fasa elektrifikasi, Syarikat ini terus konsisten dengan membawa inovasi, membina kepercayaan dan memacu masa depan mobiliti negara.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) baru-baru ini melaksanakan Operasi Khas Gempur Teknikal. Ia memberi tumpuan khusus kepada kenderaan perdagangan dan perkhidmatan awam.
Operasi selama lima hari ini berakhir Ahad lalu, dan sepanjang tempoh itu, lebih 17,729 kenderaan diperiksa, menghasilkan 5,306 notis untuk pelbagai kesalahan.
Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Jana Santhiran Muniayan, operasi ini bukan bertujuan untuk mencari kesalahan semata-mata. Namun, untuk memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin dan kenderaan berada dalam keadaan terbaik.
“JPJ hanya mahu memastikan keadaan jalan raya selamat, bukan sekadar mengeluarkan notis,” jelas beliau.
Tindakan Tegas untuk Keselamatan Jalan Raya
Dari jumlah keseluruhan kenderaan yang diperiksa, sebanyak 1,787 dikenakan tindakan. Termasuk 16 kenderaan yang disita. Ini merangkumi 15 kenderaan perdagangan seperti lori dan treler.
Manakala selebihnya adalah kenderaan perkhidmatan awam. Kesalahan teknikal yang sering berlaku termasuk penggunaan tayar celup dan brek yang tidak berfungsi dengan baik.
“Kita temui banyak tayar celup yang hampir tercabut lapisan luarnya. Jika ia tertanggal semasa kenderaan sedang bergerak, risiko kepada pengguna jalan raya sangat tinggi. Tindakan segera perlu diambil untuk mengelakkan insiden,” ujar Jana Santhiran.
Kenderaan yang dikesan dengan masalah teknikal akan ditahan serta-merta untuk memastikan ia tidak membahayakan pengguna jalan raya lain. Operasi ini menumpukan kepada pemeriksaan teliti terhadap komponen penting seperti tayar, brek, dan struktur kenderaan bagi memastikan semuanya memenuhi piawaian keselamatan.
Anggota JPJ Dikerah untuk Penguatkuasaan
Dalam usaha memperkukuhkan keselamatan jalan raya, JPJ kini menggerakkan lebih 1,500 anggota di seluruh negara untuk memperketat penguatkuasaan terhadap kesalahan melibatkan kenderaan perdagangan. Ini termasuk kesalahan teknikal, dokumentasi, lebih muatan, dan lalu lintas, terutamanya pada musim perayaan di mana trafik lebih sibuk daripada biasa.
“Langkah ini penting untuk memastikan pemandu kenderaan perdagangan dan awam mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. Fokus kami bukan hanya kepada kesalahan kecil, tetapi aspek yang benar-benar boleh menjejaskan keselamatan,” tambah beliau.
Peringatan untuk Pemandu Kenderaan Perdagangan dan Awam
Operasi seperti ini menunjukkan komitmen JPJ dalam memastikan keselamatan jalan raya sentiasa terpelihara. Pemandu kenderaan perdagangan dan perkhidmatan awam disarankan untuk sentiasa memeriksa keadaan kenderaan mereka. Terutama komponen penting seperti tayar dan brek. Langkah proaktif ini bukan sahaja dapat mengelakkan tindakan undang-undang tetapi juga melindungi nyawa di jalan raya.
Operasi Khas Gempur Teknikal bukan sekadar kempen pemeriksaan, tetapi satu usaha penting untuk meningkatkan kesedaran tentang pentingnya kenderaan yang selamat dan terjaga di atas jalan raya kita.