2024 Mercedes-Benz E-Class All Terrain Wagon, Lengkap Dengan Ciri Off-Road!

Share

Mercedes-Benz baru-baru ini telah memperkenalkan satu lagi varian baharu dalam barisan model E-Class mereka. Varian yang dinamakan E-Class All Terrain akan berada di pasaran pada tahun 2024 ini diumumkan beberapa bulan selepas varian Estate diperkenalkan.

Bertemakan namanya, model crossover wagon ini dibina untuk golongan yang lebih cenderung untuk memiliki kereta pacuan semua roda (AWD) yang tidak besar namun, masih inginkan perincian off-road yang ringan untuk lebih keselesaan.

Kredit Foto: CarandDriver.com

Walaupun model ini kelihatan ‘sopan’ namun di bawah hud, terdapat enjin enam silinder sebaris 3.0 liter turbo yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 375 HP pada 5,800-6,100 rpm, dengan daya kilas setinggi 500 Nm.

Selain itu, varian ini turut mempunyai sistem hibrid berkuasa 23 HP dan 205 Nm, sudah pasti penggunana minyak akan lebih efisien. Pecutan 0-96km/j sepantas 4.6 saat dengan kelajuan maksimum sepantas 209 km/j.

Kredit Foto: CarandDriver.com

Dari segi luaran, wagon ini mempunyai kemasan yang sedikit berbeza dengan varian lain, sebagai contoh, jeriji hadapan dengan dua bar melintang, kemasan Perak Iridium, bampar yang sedikit berbeza dan juga penambahan pelindung pada sisi kereta.

Untuk varian ini, pakej paling asas didatangkan dengan rim bersaiz 18 inci namun, pembeli turut ditawarkan pilihan rim bersaiz 19 dan 20 inci jika itu yang menarik hati mereka. Selain itu, turut ditawarkan adalah pintu tailgate berkuasa elektrik, sesuai untuk mereka yang lebih berusia.

Kredit Foto: CarandDriver.com

Antara titik jualan unik pada model wagon ini adalah ruang penyimpanan kargo yang besar, iaitu seluas 614 liter, ia juga boleh diluaskan lagi sehingga 1,829 liter jika diturunkan tempat duduk baris kedua.

Tambahan lain, sistem suspensi E-Class All Terrain ini datang dari kilang jenis suspensi udara (air suspension) Airmatic dengan ciri pelarasan redaman berterusan (continous damping adjustment) demi memastikan jarak legaan bumi yang konsisten, tanpa mengira kira keadaan jalan dan muatan.

Kredit Foto: CarandDriver.com

Ruang kabin pada All Terrain 2024 ini, dilengkapi dengan sistem infohibur MBUX Superscreen 14.4 inci dan pilihan penambahan skrin penumpang hadapan. Selain itu, rekaan kayu semula jadi pada dashboard ini kelihatan sedikit seperti S-Class.

Pada mod pemanduan off-road, terdapat beberapa perincian yang dikhususkan seperti kompas, koordinat latitud, dan longitud, sudut kenderaan, tekanan tayar dan fungsi hud lutsinar sebagai-sebahagian  daripada sistem kamera keliling 360 darjah.

Harga yang ditawarkan untuk pasaran Eropah dan Amerika Syarikat bermula dari $78,000 (RM365,327). Dijangka masuk pasaran Malaysia penghujung 2024 atau seawal 2025.

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram &  TikTok.

Published by
Shazwan