Cadillac Elevated Velocity Crossover Elektrik Konsep Dengan Sentuhan Mewah & Gaya ‘Lifted’
Cadillac memperkenalkan Elevated Velocity, sebuah kenderaan konsep elektrik (EV) yang memberi gambaran masa depan segmen crossover mewah mereka.
Dihasilkan oleh General Motors (GM), model ini mengetengahkan rekaan elegan dengan keupayaan off-road berkelajuan tinggi, sekali gus mengukuhkan portfolio EV mewah Cadillac yang sudah menampilkan Lyriq dan Optiq.
Rekaan Cadillac Elevated Velocity ‘Lifted Yet Elegant’
Menurut Alexandra Dymowska, Senior Brand Designer Cadillac, istilah “Elevate” membawa dua maksud.
Pertama, merujuk kepada chassis tinggi yang membolehkan pemanduan off-road pada kelajuan tinggi.
Kedua, ia melambangkan pengalaman kemewahan yang dipertingkatkan.
Dibina di atas rim 24 inci, Elevated Velocity menampilkan garis rekaan futuristik dan agresif, tetapi tetap mengekalkan bahasa rekaan mewah Cadillac.
Warna luaran diinspirasikan daripada ais glasier, manakala kabinnya mempamerkan kemasan dalaman merah premium, dengan gabungan kulit dan fabrik pada kusyen, perehat tangan, papan pemuka serta lantai kabin dan ruang kargo.
Pengalaman Pemanduan & Mod Istimewa Cadillac Elevated Velocity
Walaupun hanya sebuah kenderaan pameran berfungsi (running showcar) tanpa spesifikasi penuh, Elevated Velocity direka untuk memberi pengalaman pemanduan yang pelbagai menerusi beberapa mod interaktif:
Welcome Mode – Pintu gull-wing terbuka ke atas, lampu ambien dalaman menyala, mencipta sambutan dramatik untuk pemandu dan penumpang.
Elevate Mode – Mengaktifkan pemanduan autonomi sepenuhnya, pedal dan stereng tersimpan, pencahayaan ambien berubah, dan sistem terapi seperti penapisan udara, penyebaran wangian, red light therapy, serta kawalan suhu automatik diaktifkan. Malah, pencahayaan khas membantu pemandu melakukan teknik pernafasan untuk persediaan mental sebelum memandu.
Velocity Mode – Pencahayaan putih sejuk memberi aura keseronokan memandu, lampu lantai diredupkan untuk meningkatkan fokus pemandu.
Selain itu, terdapat mod pemanduan khusus on-road dan off-road, termasuk fungsi penambahbaikan penglihatan dalam keadaan berdebu atau berpasir.
Inspirasi dari Opulent Velocity
Elevated Velocity meneruskan falsafah rekaan daripada konsep Opulent Velocity yang dipertontonkan pada 2024, jelas Bryan Nesbitt, Vice President GM Global Design.
Seperti model konsep lain, ia bukan untuk dijual tetapi lebih kepada mengukur minat pasaran dan menunjukkan arah tuju jenama.
Strategi EV Cadillac Elevated Velocity
Cadillac sebelum ini mengumumkan sasaran untuk menjadi jenama serba elektrik menjelang 2030, walaupun kini mereka lebih fleksibel dengan menawarkan pilihan EV dan enjin pembakaran dalaman.
Menurut John Roth, Vice President Cadillac, suku pertama 2025 merupakan prestasi terbaik dalam hampir dua dekad, dengan Cadillac menduduki tempat pertama dalam jualan EV mewah untuk suku kedua tahun ini, kedua secara keseluruhan setakat tahun ini, dan kelima bagi jualan EV keseluruhan.
Gaya Mewah dengan Jiwa Prestasi
Dengan kombinasi rekaan tinggi (lifted), teknologi pemanduan pintar, dan kabin mewah yang dirancang untuk keselesaan maksimum, Cadillac Elevated Velocity membayangkan masa depan crossover elektrik yang tidak sekadar mewah di jalan raya, tetapi juga berupaya mengharungi laluan lasak.
Biarpun belum ada pengumuman untuk pengeluaran, konsep ini jelas menunjukkan hala tuju Cadillac menggabungkan kemewahan, teknologi kesihatan, dan prestasi dinamik dalam satu pakej elektrik yang berani.
Baca Juga : Ayah & Anak Berentap di Vios Challenge 2025 Untuk Cipta Memori
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.