Travel

Lorong Motosikal Wajib Dibina di Jalan Baharu, Kata Pakar

Share

Dengan kadar kemalangan melibatkan penunggang motosikal yang semakin membimbangkan. Seorang pakar keselamatan jalan raya menyarankan agar undang-undang diperkenalkan untuk mewajibkan pembinaan lorong motosikal setiap kali jalan baru dibina.

Dr. Law Teik Hua – FMT

Menurut Profesor Madya Dr. Law Teik Hua dari Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia. Pembinaan lorong khas motosikal mampu mengurangkan kemalangan dan kematian melibatkan penunggang motosikal sehingga 30% hingga 40%.

“Membina lorong motosikal pada jalan sedia ada adalah sesuatu yang sukar dan memakan kos tinggi kerana perlu diubah suai. Oleh itu, undang-undang perlu digubal untuk memastikan lorong ini disediakan semasa pembinaan jalan baru,” katanya.

Malaysia Hampir Gantikan Thailand dalam Kadar Kematian Penunggang

Data menunjukkan situasi di Malaysia semakin kritikal, dengan 70.2% daripada 2,954 kematian di jalan raya antara Januari hingga Ogos 2021 melibatkan penunggang motosikal. 

Ini meletakkan Malaysia hampir menggantikan Thailand sebagai negara dengan kadar kematian penunggang motosikal tertinggi di dunia.

Menurut laporan WHO pada 2018, penunggang motosikal dan kenderaan roda tiga menyumbang 74% daripada keseluruhan kematian akibat kemalangan jalan raya di Thailand. Malaysia kini dilihat menuju ke arah yang sama jika langkah proaktif tidak diambil segera.

Lorong Motosikal di Lebuhraya Persekutuan – KKR

Lorong Kecemasan Bukan Untuk Motosikal

Dr. Law turut menekankan bahawa kemalangan motosikal sering berlaku di lebuh raya apabila penunggang menggunakan lorong kecemasan, yang sebenarnya dikhaskan untuk kecemasan sahaja.

“Kita sering dengar kes penunggang motosikal yang merasakan lorong kecemasan adalah untuk mereka, sedangkan ia tidak direka untuk itu. Kerajaan tidak boleh memandang ringan isu ini dan perlu mengambil tindakan segera,” tambahnya.

Beliau juga menyarankan supaya kerajaan menambah baik sistem pengangkutan awam sebagai penyelesaian jangka panjang untuk mengurangkan bilangan motosikal di jalan raya.

Pakaian Perlindungan dan Larangan Motosikal Kecil di Lebuh Raya

Rosli Azad Khan – FMT

Sementara itu, perunding perancangan pengangkutan, Rosli Azad Khan, mencadangkan agar pemakaian pakaian perlindungan seperti jaket dan seluar khas diwajibkan untuk penunggang motosikal. 

Katanya, ini dapat melindungi penunggang daripada kecederaan serius kerana ciri keselamatan untuk motosikal ketika ini hanya tertumpu pada pemakaian topi keledar.

Selain itu, Rosli turut mencadangkan agar motosikal kecil berkuasa bawah 250CC dihalang daripada menggunakan lebuh raya.

“Angin lintasan daripada kenderaan berat seperti bas dan lori boleh menyebabkan motosikal kecil hilang kawalan, terutamanya pada kelajuan tinggi. Kemalangan seperti ini hampir selalu membawa maut,” jelasnya.

Masa untuk Bertindak

Statistik dan pandangan pakar ini menunjukkan keperluan mendesak untuk langkah lebih ketat dalam keselamatan motosikal di Malaysia. Lorong motosikal bukan sahaja dapat menyelamatkan nyawa. Malah, dapat mengurangkan risiko kemalangan yang memberi kesan kepada semua pengguna jalan raya.

Kerajaan perlu mengambil serius cadangan ini dan melabur dalam penyelesaian jangka panjang. Termasuk infrastruktur khusus dan peningkatan pengangkutan awam. Langkah ini penting bagi memastikan jalan raya Malaysia menjadi lebih selamat untuk semua.

Dari Free Malaysia Today

Baca Juga Jalan Raya dengan Had Laju Tertinggi di Dunia

++Mari la tengok platform Roda Panas yang lain di  YoutubeInstagram &  TikTok

 

Published by
Shazwan