Travel

Jalan Raya dengan Had Laju Tertinggi di Dunia

Share

Bagi mereka yang suka memecut dan merasai kelajuan luar biasa, ada beberapa lokasi di dunia yang boleh dijadikan destinasi impian. Di Australia, had laju maksimum hanya 130km/j di beberapa kawasan di Northern Territory manakala, negara-negara berikut menawarkan pengalaman pemanduan yang jauh lebih pantas – secara sah!

Pulau Isle of Man – Tanpa Had Laju

Pulau kecil di Laut Ireland ini terkenal sebagai syurga bagi peminat kelajuan. Di sini, kira-kira 30% jalan rayanya tidak mempunyai had laju. Selain menjadi lokasi perlumbaan motosikal terkenal, Tourist Trophy (TT), pulau ini juga menarik ramai peminat kereta berprestasi tinggi.

Namun, pihak polis tempatan mengambil pendekatan proaktif untuk mengelakkan pemanduan berbahaya. 

Menurut Allan Thomson, Detektif Sersan Unit Polis Trafik Pulau Man, pemandu yang melanggar undang-undang akan diberi peringatan tetapi dialu-alukan untuk kembali menikmati pengalaman unik ini pada masa depan.

Autobahn, Jerman – Tiada Had Laju

Jerman menawarkan pengalaman pemanduan tanpa had laju di lebih separuh daripada rangkaian lebuh rayanya yang sepanjang 13,000km. Walaupun sesetengah kawasan mempunyai had laju 130km/j atau kurang. Banyak seksyen lebuh raya ini membenarkan pemandu memandu mengikut kemampuan dan keadaan jalan.

Menurut Menteri Pengangkutan Jerman, Volker Wissing, tiada keperluan untuk memperkenalkan had laju kerana tanggungjawab memandu terletak pada individu selagi tidak membahayakan orang lain. Mentaliti seperti ini yang patut ada pada setiap pengguna jalan raya di Malaysia.

Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu – 160km/j

Abu Dhabi memperkenalkan had laju minimum 120km/j di lorong kanan Sheikh Mohammed bin Rashid Road untuk memastikan aliran trafik lancar. Had maksimum di kebanyakan jalan adalah 140km/j. Namun, terdapat beberapa jalan seperti Abu Dhabi-Al Ain Road yang sebelum ini mempunyai had sehingga 160km/j.

Walaupun had ini telah diturunkan di beberapa bahagian, pengalaman pemanduan di Abu Dhabi masih menjadi pilihan menarik untuk peminat kelajuan.

Autostrada, Poland – 140km/j

Di Poland, lebuh raya tol atau autostrada membolehkan pemandu memecut sehingga 140km/j. Kawalan had laju di sini amat ketat, dengan perangkap radar biasa ditemui dan denda dikenakan di tempat kejadian bagi pemandu yang melanggar had.

Bulgaria – 140km/j

Sebahagian lebuh raya moden di Bulgaria membenarkan had laju maksimum 140km/j. Namun, denda berat menanti mereka yang melampaui had ini, terutama jika memecut melebihi 50km/j daripada had yang ditetapkan.

Texas, Amerika Syarikat – 137km/j

Negeri Texas menawarkan pengalaman kelajuan tertinggi di Amerika Syarikat dengan had maksimum 85 batu sejam (137km/j) di State Highway 120 atau lebih dikenali sebagai ‘Pickle Parkway’. Had ini diperkenalkan untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Akhir Kata

Bagaimana di Malaysia? Berapa had laju yang sesuai di negara ini berdasarkan keadaan jalan, cuaca, dan paling penting sikap pengguna di sini? Adakah relevan jika kerajaan menaikkan had laju di beberapa kawasan lebuhraya? 

Bagi penulis, sebelum berbincang mengenai had laju, setiap pengguna jalan raya perlu diterapkan dengan nilai tanggungjawab dan toleransi terlebih dahulu sebelum kita berbincang mengenai had laju yang sesuai. 

Jika kelajuan memacu semangat anda, destinasi-destinasi ini pasti memberikan pengalaman yang tidak terlupakan. Namun, pastikan anda sentiasa mematuhi undang-undang tempatan dan mengutamakan keselamatan, kerana walaupun had laju tinggi, keselamatan tetap menjadi keutamaan.

Dari Drive

Baca Juga Bagaimana Penghadang Kemalangan Berfungsi?

++Mari la tengok platform Roda Panas yang lain di  YoutubeInstagram &  TikTok

 

Published by
Shazwan