Sukan

Pusingan Super GT Malaysia Terima Sambutan Luar Biasa

Share

Jumlah luar jangkaan seramai 75,977 peminat dan penonton hadir bagi menyambut kepulangan perlumbaan SUPER GT dalam pusingan Malaysia. Siri AUTOBACS SUPER GT 2025 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang Petronas pada 27-28 Jun 2025.

Jumlah ini hampir dua kali ganda daripada anggaran awal oleh HARO Sports & Entertainment. Selaku pemegang hak dan penganjur rasmi pusingan Malaysia, sekaligus membuktikan keghairahan peminat tempatan dan antarabangsa terhadap kepulangan perlumbaan GT utama Jepun selepas 12 tahun.

Menurut Pihak HARO

“Kami amat menghargai sokongan padu daripada semua peminat Malaysia dan antarabangsa dan sedang meneliti cara untuk menambah baik lagi pengalaman ini menjelang tahun 2026.” kata Rakan Pengurusan HARO Sports & Entertainment, Fahrizal Hasan. 

Pusingan Malaysia SUPER GT dijangka akan kembali sehingga tahun 2027, dan perbincangan sedang dijalankan dengan Persatuan GT (GTA) untuk menjadikan Malaysia sebagai lokasi tetap perlumbaan luar negara siri ini.

“Kami juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua rakan kongsi, termasuk GTA, penaja serta agensi kerajaan yang terlibat atas sokongan mereka. Sekiranya bukan kerana pandemik COVID-19, pusingan Malaysia mungkin telah berlangsung seawal tahun 2020. Walaupun tertunda selama lima tahun, semua pihak kekal komited dan kami sangat bersyukur akan hal ini. Terima kasih.”

Bukan Sekadar Perlumbaan

Tidak sekadar menumpukan kepada perlumbaan, SUPER GT Malaysia Festival turut dianjurkan sebagai karnival keluarga. Ia menampilkan festival budaya dan makanan Jepun; konsert pasca-perlumbaan GT Live; pameran automotif; autoshow; dan jualan barangan rasmi. Pusingan Malaysia juga menyaksikan penganjuran sulung GR86 Cup Malaysia dan pusingan kedua Toyota GAZOO Racing Malaysia Vios Challenge.

Pemenang Bertuah

Dalam satu detik istimewa, HARO Sports & Entertainment dengan kerjasama Mastercard selaku Rakan Pembayaran dan Pengalaman Rasmi. Turut menghadiahkan sebuah GR Supra manual 3.0 bernilai RM650,000 kepada pemenang bertuah, Cik Au Tzi Hua.

Peluang cabutan bertuah ini terbuka kepada pembeli tiket menggunakan Mastercard antara 1 Jun hingga 28 Jun bagi kategori tiket berikut: Main Grandstand (RM250); GT Suite (RM350); GT Live! Rock Zone (RM500); GT Club Paddock (RM2,000); serta pakej eksklusif Experience, Ultimate dan Dream (bermula dari RM5,000). Pembeli tiket Grandstand K1 tidak layak menyertai cabutan.

HARO Sports & Entertainment turut mengumumkan kejutan yang lebih besar bagi tahun 2026, iaitu persetujuan daripada GTA untuk membolehkan penyertaan wildcard dalam kelas GT500.

Wakil Malaysia

Perlumbaan hujung minggu lalu menyaksikan dua penyertaan wildcard Malaysia dalam kelas GT300. Ia adalah Jazeman Jaafar dan Adrian D’Silva, mewakili pasukan EBM-GIGA Racing Team.

“GT500 adalah kemuncak perlumbaan SUPER GT dan satu penghormatan besar untuk diberi kepercayaan bagi penyertaan wildcard ini.” kata Fahrizal sambil memaklumkan bahawa perbincangan masih berjalan untuk menentukan pengeluar dan barisan pemandu yang bakal mengetuai cabaran Malaysia.

Super GT Malaysia Festival 2025 ini diadakan bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Selangor 2025. Serta mendapat sokongan Tourism Malaysia dan Tourism Selangor.

Dari Haro Sports & Entertainment Sdn Bhd / HIT Communications

Baca lagi SUPER GT: Tiga Dekad Evolusi Perlumbaan GT Terunggul Asia

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

 

Published by
Shazwan