Sukan

MotoGP Sepanyol – Alex Marquez Menang Besar, MM93 Tersungkur Awal

Share

Litar Jerez minggu ini jadi saksi sejarah, Alex Marquez akhirnya mencatatkan kemenangan sulung dalam kelas premier MotoGP. Lebih manis, kemenangan ini bukan saja melonjakkan dia kembali ke puncak kejuaraan dunia. Malah, menjadikan kemenangan ke-200 untuk pelumba Sepanyol dalam sejarah MotoGP.

Tapi, dalam kegembiraan Alex, ada kisah duka untuk abangnya sendiri, Marc Marquez. Baru saja mendominasi mata keseluruhan sebelum ni, Marc hilang kawalan Ducati kilangnya di pusingan ketiga. Terus tersadai dan kini satu mata di belakang Alex dalam carta kejuaraan.

Sementara itu, Yamaha akhirnya ada sebab untuk bergembira. Fabio Quartararo berjaya naik podium buat kali pertama sejak Grand Prix Indonesia tahun lepas. 

Babak Pertama

Dari awal lagi, Quartararo terus melompat ke depan dari petak pertama. Meninggalkan huru-hara di belakang bila Marc terpaksa bertarung dengan rakan sepasukannya, Francesco Bagnaia.

Laga keras dua Ducati ni macam ‘deja vu’ dari GP Americas, Marc cuba menyelit, tolak, cari ruang. Namun, Pecco tetap pertahan kedudukan. 

Malangnya, masa masuk selekoh Martinez di pusingan ketiga, Marc terlebih berani. Tayar motor hadapan hilang cengkaman, dan beliau tergelincir jatuh.

Lepas Marc tersungkur, tugas berat Bagnaia belum habis. Kali ni adik Marquez, si Alex pula datang menyerang. Hanya perlu empat pusingan untuk Alex cucuk dan ambil tempat kedua di selekoh Lorenzo.

Alex Buka Langkah

Dari situ, kelompok pendahulu Quartararo, Alex dan Bagnaia mula membentuk rentak sendiri. Tapi di pusingan ke-11, Alex buat gerakan berani, potong Quartararo di selekoh pertama. Lepas tu, dia terus mendahului.

Walaupun Quartararo berjaya bertahan dari serangan Bagnaia sampai ke garisan penamat, dia langsung tak dapat kejar Alex. Bagnaia pula, walau terus mengekori rapat, tetap tak jumpa ruang nak potong Yamaha. 

Maverick Vinales yang awalnya nampak garang pun terpaksa puas hati dengan tempat keempat. Pencapaian terbaik KTM musim ini, setakat ni.

Di belakang mereka, Fabio di Giannantonio membawa Ducati VR46 ke tempat kelima. Diikuti oleh dua jentera KTM — Brad Binder dan rookie sensasi Pedro Acosta.

Detik Di Litar Jerez

Tapi jangan salah sangka, perlumbaan ni memang banyak drama. Fermin Aldeguer tergelincir masa berada di tempat keempat. Joan Mir dan Franco Morbidelli pun jatuh masa cuba buat comeback lepas start yang tidak memberangsangkan. Jack Miller pula, sayang sekali, kena tarik diri sebab masalah teknikal pada Yamaha Pramac.

Hasil semua kekecohan tu, Ai Ogura berjaya raih tempat kelapan untuk Trackhouse Aprilia. Enea Bastianini masuk kesembilan untuk Tech3 KTM, dan Luca Marini berjaya selamatkan tempat ke-10 untuk Honda.

Marc Marquez? Lepas jatuh, dia bangkit semula, pulun habis-habisan untuk kutip empat mata, habis di tempat ke-12.

Dari Motorsport.com

Baca Juga KTM 990 RC R – Gabungan MotoGP dan Jalanan

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

 

Published by
Shazwan