Berita baik untuk pemegang lesen motosikal di Malaysia apabila Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berada dalam proses akhir untuk menggabungkan kelas lesen B1 dan B2 ke dalam kelas B.
Ia dijangka akan selesai menjelang hujung tahun ini dan dianggap sebagai salah satu langkah yang bakal memudahkan pemegang lesen dan juga pengalaman menunggang motosikal.
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Aedy Fadly Ramlee, mengesahkan bahawa kajian mengenai cadangan ini telah mencapai peringkat akhir perbincangan antara Kementerian Pengangkutan dan JPJ. Selepas perincian diluluskan, ia akan dibentangkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebelum sebarang pengumuman rasmi dibuat.
Aedy Fadly menjelaskan, “Kita akan tengok perincian kerana dari segi dasar ia adalah dalam bidang kuasa Kementerian Pengangkutan, dan JPJ masih menunggu pembentangan yang akan dibuat nanti. Setakat ini pihak kementerian belum umumkan apa-apa, belum putuskan apa-apa, jadi kami tengah perincikan dulu jika perlu bawa kepada Jemaah Menteri, kita akan bawa. Kita akan selesaikan dalam tahun ini juga kerana kini semuanya di peringkat akhir dan JPJ menunggu keputusan daripada kajian yang dibuat oleh kementerian.”
Sebelum ini, Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, telah menyuarakan cadangan untuk menaik taraf lesen memandu motosikal kelas B2 kepada kelas B secara automatik. Beliau berpendapat bahawa pemegang lesen B2 sudah mempunyai pengalaman dalam menunggang motosikal, dan oleh itu, perubahan ini akan memberi kemudahan kepada mereka.
Tambah Aedy Fadly, proses penggabungan semua kelas lesen motosikal tidak perlu dibawa ke Dewan Rakyat untuk diluluskan, mengurangkan kerumitan dalam pelaksanaan cadangan ini. Dengan itu, pemegang lesen motosikal akan mendapat faedah dari peningkatan keselamatan serta kemudahan dalam proses memperbaharui atau mendapatkan lesen baharu bagi kategori motosikal.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.