Berita

Ujian Darah Mungkin Digunakan Bagi Kesan & Hukum Individu Memandu Ketika Penat Atau Mengantuk

Share

Malang memang tidak berbau.

Namun dalam kebanyakan kes kemalangan jalan raya ia terjadi disebabkan oleh kecuaian pemandu atau pengguna jalan raya itu sendiri. Salah satu punca kemalangan yang cukup bahaya ialah micro-sleep.

Ia kondisi di mana pemandu terlelap atau terlena ketika memandu akibat badan yang dalam kepenatan atau terlalu mengantuk. Baru-baru ini juga tular kemalangan mengerikan di mana sebuah kereta berlanggar dengan impak cukup kuat dengan sebuah bas akibat pemandu yang dikatakan terlelap.

Image by aleksandarlittlewolf on Freepik

Bagi menangani masalah ini sudah banyak kempen dan juga nasihat yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa mengingatkan pengguna untuk berehat jika kepenatan.

Di Australia sebagai contoh mereka meletakkan banyak papan tanda di sepanjang jalan raya memberi amaran dan nasihat untuk berehat jika kepenatan.

Dalam perkembangan terkini, mereka mungkin akan melakukan ujian darah bagi memastikan sama ada pemandu yang terlibat kemalangan berlaku sama ada mereka kekurangan tidur atau sebaliknya.

AKAN DATANG

Berbeza dengan kes pemanduan di bawah pengaruh dadah atau alkohol yang menggunakan mesin ujian hembusan nafas, perkara sama tidak boleh dilakukan terhadap pemandu yang kepenatan atau mengantuk.

Namun ia mungkin berubah selepas laporan mengatakan mereka mungkin boleh menjalankan ujian darah untuk mengetahuinya dalam tempoh dua tahun akan datang.

Ujian seperti ini dikatakan akan memudahkan pihak berkuasa menangani dan menghukum pemandu yang degil memandu ketika mengantuk atau kepenatan.

Image by user18526052 on Freepik

Kajian terhadap ujian darah seperti ini turut dibiayai oleh Pejabat Keselamatan Jalan Raya Kerajaan Australia ketika semakin ramai pakar menyeru hukuman lebih berat terhadap pemandu yang degil.

Perkara ini menjadi topik hangat selepas kajian mendapati bahawa seseorang yang memandu dengan kurang lima jam tempoh tidur boleh membahayakan bukan sahaja diri mereka tetapi pengguna jalan raya yang lain.

KECUAIAN BESAR

Di United Kingdom, pakar menganggarkan kira-kira 20 peratus kemalangan yang berlaku di negara tersebut berlaku disebabkan kecuaian pemandu yang keletihan atau mengantuk.

Lebih membimbangkan statistik tersebut turut menunjukkan suku daripada kes tersebut melibatkan kemalangan serius yang meragut nyawa.

Sehingga kini masih belum ada regulasi yang diwajibkan melibatkan ujian darah seperti dinyatakan di atas namun berkemungkinan besar ia akan dilaksanakan dalam tempoh dua tahun akan datang.

Mungkin perkara sama juga boleh dikuatkuasakan di negara kita?

Berhati-hatilah memandu. Ingatlah kalau penat, berhenti dan rehat. Jangan paksa diri untuk memandu kerana ia boleh menjadi punca kepada kemalangan jiwa.

Jangan lupa subscribe YouTube dan follow TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

@maskulinmy Proton perkenalkan model X50 R3 Concept di Malaysia Autoshow 2023. MASKULIN & Roda Panas dimaklumkan hanya 200 unit akan ditawarkan di pasaran tidak lama lagi! #maskulin #rodapanas #protonX50R3 ♬ original sound – Maskulin

 

Published by
Farizul Izwany