Skuter merupakan sebuah kenderaan automatik yang mana kedudukan enjinya berada di bahagian belakang, saiz rim kenderaan ini tidak melebihi 16 inci dan mempunyai kerangka yang mempunyai ciri step on. Enjin yang digunakan pada sesebuah skuter terbahagi kepada dua jenis iaitu 2 lejang dan 4 lejang, merangkumi kapasiti engin daripada 50cc sehingga 500cc.
Lewat 90-an skuter amat terkenal dalam kalangan anak muda apabila Suzuki memperkenalkan model VS125 dan VS150 dan kenderaan ini selari dengan era hip-hop pada ketika itu. Peredaran zaman dan kemajuan teknologi telah merevolusi penghasilan skuter di dunia. Terdapat skuter yang menggunakan bateri dan ada juga yang menggunakan petrol.
Hari ini penulis tertarik untuk menulis berkenaan dengan tip penjagaan skuter yang menggunakan petrol kerana ramai pengguna masih menyangka bahawa penyelenggaraan skuter adalah sama seperti motosikal kapcai yang lain, namun ternyata ia berbeza.
Penukaran minyak enjin.
Penukaran minyak enjin perlu dilakukan setiap 1000 km atau mengikut kepada jenis minyak enjin yang anda gunakan. Namun anda perlu tahu bahawa minyak enjin skuter dan motosikal yang menggunakan transmisi manual adalah berbeza. Semua model skuter menggunakan sistem klac kering manakala motosikal yang menggunakan transmisi manual menggunakan sistem klac basah dan komponen tersebut perlu sentiasa direndam dengan minyak.
Perbezaan minyak enjin boleh dikenal pasti melalui label pada botol serta kelikatan minyak enjin tersebut. Motosikal automatik menggunakan minyak hitam yang mempunyai kelikatan yang lebih rendah kerana ianya hanya bertujuan untuk melindungi komponen enjin sahaja tetapi minyak hitam untuk motosikal yang menggunakan sistem klac basah akan lebih likat kerana bertujuan untuk melindungi dan melincirkan klac supaya tidak tergelincir.
Penyelenggaraan penapis udara.
Penapis udara berperanan untuk menapis habuk yang disedut daripada luar supaya pembakaran lebih sempurna. Terdapat dua jenis penapis udara iaitu pakai buang (kebiasaannya keluaran also daripada pengeluar motosikal tersebut) atau yang boleh dibasuh (dijual dengan harga yang lebih mahal dan bukan daripada jenama pengeluar motosikal). Penukaran penapis udara perlu dilakukan setiap 2000 km, dan sistem air intake karburator atau badan pendikit (throttle body) juga perlu diselenggara setiap 10,000 km supaya tidak berlaku mendapan petrol di dalam komponen tersebut.
Periksa keadaan bateri
Bateri adalah komponen yang sangat penting untuk menghidupkan enjin motosikal anda. Berbanding dengan motosikal yang menggunakan sistem transmisi manual, ianya dilengkapi dengan sistem kick start starter
yang mana motosikal masih boleh dihidupkan walaupun bateri berada dalam keadaan lemah namun berbeza dengan skuter yang bergantung seratus peratus kepada penghidup elektrik (electric starter) untuk menghidupkan enjin. Apabila bateri skuter anda lemah dan tidak boleh dihidupkan, anda perlu menunda skuter anda ke bengkel yang berhampiran.Periksa keadaan tali sawat dan pulley
Skuter menggunakan sistem tali sawat (belting) untuk menggerakkan tayar berbanding dengan motosikal biasa yang menggunakan sistem rantai. Penjagaan tali sawat tidak terlalu rumit seperti rantai motosikal tetapi sebagai pengguna skuter, anda perlu peka dengan bunyi-bunyi yang tidak menyenangkan di bahagian tali sawat.
Tali sawat skuter disarankan untuk ditukar lima atau enam bulan sekali bergantung kepada cara penggunaan. Ambil perhatian, jangan gunakan skuter anda sehingga tali sawat putus kerana ia akan menyebabkan kerosakan dan memerlukan ribuan ringgit untuk dibaiki.
Salah satu nadi untuk menggerakkan sebuah skuter adalah pulley. Komponen ini berperanan sebagai medium yang menyalurkan kuasa tujahan enjin kepada tayar dan komponen ini perlu sentiasa berada dalam keadaan licin supaya geseran yang dihasilkan dapat mengurangkan tekanan dan suhu panas pada pulley tersebut. Komponen ini perlu dicuci dan dan perlu di greasing sekurang-kurangnya sebulan sekali bergantung kepada jarak pemanduan.
Minyak transmisi
Penggantian minyak transmisi adalah salah satu perkara yang jarang dilakukan oleh pengguna skuter. Anda perlu tahu bahawa di dalam sistem transmisi skuter, gigi-gigi gear bekerja dengan suhu geseran yang sangat tinggi. Bagi memastikan kelancaran sistem transmisi gear tersebut, keadaan minyak memainkan peranan yang sangat penting dan jika anda gagal untuk menukar minyak tersebut, berkemungkinan gigi gear akan pecah dan menyebabkan skuter anda tidak boleh bergerak.
Sentiasa periksa keadaan skuter anda untuk mengenal pasti kerosakan yang kecil sebelum ia menjadi punca kepada kerosakan yang lebih besar. Penulis juga ada memiliki skuter dan jika dibandingkan, kos penyelenggaraan untuk sebuah skuter adalah lebih tinggi berbanding motosikal biasa namun semuanya bergantung kepada minat dan keselesaan pengguna itu sendiri.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.