Mereka yang tiada perancangan pada minggu ini dan ingin ‘cuci mata’ melihat kenderaan unik dan sukar dijumpai boleh datang beramai-ramai ke CORE International Autofest 2023 Vol. 1 yang akan berlangsung bermula 15 sehingga 17 September ini!
Acara gilang-gemilang ini buat julung kalinya diadakan di MAEPS, Serdang. Lokasi festival ini merangkumi Hall A & C di premis berkenaan, bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.
Program anjuran SF Wheels Showcase dan Big Sumo ini bertujuan untuk mengumpul pemilik kenderaan sama ada kereta atau motosikal mereka untuk dipamerkan di tapak festival.
Selain mengeratkan hubungan keakraban dan persahabatan antara kelab-kelab sukan permotoran kereta dan motosikal, hasil karya modifikasi ini dijangka dapat menginspirasikan peminat lama dan menjadi pembakar semangat kepada pendatang baru dalam ‘scene’ automotif di Malaysia.
Acara yang bakal berlangsung selama tiga hari ini dihiasi dengan pelbagai aktiviti menarik seperti jualan pakaian terpakai, festival makanan, aktiviti belon udara panas dan pasar karat.
Untuk hari pertama, penganjur akan melancarkan secara rasmi CORE International Fest Vol. 1 seterusnya segmen pertunjukan sistem audio dan ‘splitfire’ kereta.
Seterusnya, hari kedua akan meliputi pertunjukkan kereta dan motosikal yang akan diadili oleh juri bagi segmen masing-masing. Selain itu, ekspo automotif akan berjalan sehingga festival ini melabuhkan tirai untuk hari kedua.
Hari terakhir merupakan hari yang istimewa untuk festival ini berbanding dua hari pertama kerana pada hari Ahad ini, Perdana Menteri atau Timbalannya dijangka hadir untuk menyerah watikah QMEPWK66.
Seterusnya, majlis penyampaian hadiah kepada pemenang Car & Bike Show 2023 dan juga penyampaian cabutan bertuah yang akan memenangi sebuah motor klasik Cafe Racer, turut diserikan pada hari terakhir adalah persembahan artis jemputan.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.