Berita

Royal Enfield Super Meteor 650 Hadir Dengan Tiga Varian Bermula Dari RM37,900

Share

Baru-baru ini, Didi Group mengumumkan harga jualan rasmi untuk model motosikal klasik dari jenama Royal Enfield iaitu Super Meteor 650 untuk pasaran tempatan. Ditawarkan pada harga bermula dari RM37,900 ia tampil dengan tiga varian yang boleh dipilih mengikut kesesuaian tunggangan anda.

Motosikal ini kali dipertontonkan kepada umum ketika berlangsungnya acara Art Of Speed 2023 di mana ia mendapat pelbagai reaksi orang ramai dari segi rekaan, prestasi dan harga.

Super Meteor menggunakan enjin parallel-twin 648 cc yang mampu menghamburkan kuasa 47 PS(HP) @ 7,250 rpm dan daya kilas 52.3 Nm @ 5,650 rpm turut dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan.

Kredit Foto: Careta.my

Mengekalkan ciri motosikal cruiser, roda hadapannya berukuran 19 inci, manakala 16 inci untuk bahagian belakang dengan saiz tayar masing-masing 100/90 dan 150/80. Ia juga turut dilengkapi dengan sistem ABS secara standard dengan berat kasar motor sebanyak 241 kg.

Walaupun mempunyai enjin yang sama dengan Continental GT 650 dan Interceptor INT 650,  Super Meteor merupakan model pertama dari Royal Enfield yang mempunyai sistem pencahayaan LED diikuti dengan fork hadapan jenis terbalik (upside down) bersaiz 43 mm.

Di bahagian belakang pula dipasangkan penyerap hentak berkembar secara standard dengan pelarasan pra-muatan lima tahap. Untuk kapasiti tangki bahan api, ia mampu menampung sehingga 15.7 liter, dengan ketinggian pelana sekitar 740mm.

Kredit Foto: Careta.my

Cruiser Super Meteor 650 boleh didapati dalam tiga varian iaitu, Super Meteor Single (Astral) dengan tanda harga bermula dari RM37,900. Varian kedua iaitu Super Meteor Dual (Interstellar) berharga RM38,300, manakala varian teratas iaitu Super Meteor Tourer (Celestial) bermula dari RM39,300.

Mereka yang ingin tahu lebih lanjut mengenai model ini atau barisan Royal Enfield yang lain  boleh layari laman sesawang rasmi www.royalenfield.com/my atau kunjungi pengedar sah yang terletak di The Gasket Alley, Petaling Jaya.

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram &  TikTok.

Published by
Shazwan