Terbaru, selepas diperkenalkan kepada dunia Oktober tahun lalu, Rolls-Royce Spectre telah tiba di pasaran Malaysia secara rasmi dengan nilai bermula daripads RM2 juta. Satu angka yang normal bagi sebuah jenama terkenal dengan kemewahan.
Malaysia dikira bertuah kerana menjadi antara negara ASEAN yang terawal menerima model EV dari Rolls-Royce (RR), yang merupakan kenderaan elektrik termewah di dunia.
Secara dasarnya, rekaan Spectre berbentuk coupe dua pintu bersama empat tempat duduk ini memiliki dimensi sepanjang 5,475mm panjang, 2,144mm lebar, 1,573mm tinggi dengan berat keseluruhan sebanyak 2,890kg.
Model Spectre ini dibina menggunakan platform sama seperti model SUV Cullinan dan Phantom generasi ke-lapan dimana ia merupakan Architecture of Luxury kepada dunia automotive khususnya dalam jenama RR.
Tanpa enjin, Spectre dikuasakan oleh dua motor elektrik jenis Separately Excited Synchoronous Motor yang terletak pada roda hadapan dan belakang, sekaligus menjadikan model ini pacuan semua roda (AWD).
Menggunakan pek bateri lithium-ion berkapasiti 102 kWh, ia mampu menggerakkan model ini sehingga 530km dengan sekali pengecasan penuh. Kuasa yang dihasilkan boleh mencapai sehingga 584 kuasa kuda dengan daya kilas 900Nm dimana 0 – 100kmj hanya memerlukan 4.5 saat sahaja.
Untuk perkara paling kritikal iaitu tempoh pengecasan, Spectre dilengkapi dengan system pengecasan pantas DC 195kW yang membolehkan bateri dicas dari 10%-80% dalam masa 34 minit sahaja.
Manakala, pengecasan pantas DC 50kW pula mampu dicas dari 10%-80% dalam masa 94 minit. Tambahan lain, pengecasan AC 22kW mampu mengecas 0%-100% dalam masa 5 jam 30 minit.
Dari segi keselesaan, sistem suspensi didatangkan dengan suspensi jenis planar yang dibangunkan dari Rolls-Royce Phantom dengan kemampuan untuk memisahkan bar anti-oleng (anti roll-bar) bagi membolehkan pergerakan keempat-empat tayar lebih bebas, seterusnya menawarkan pemanduan yang lebih selesa dan lancer di atas jalan yang tidak rata.
Rekaan luaran masih tidak dipisahkan dari nadi RR namun mereka mengubah supaya kelihatan futuristik dengan menambah jeriji paling lebar pernah direka pada model RR, diikuti dengan sistem pencahayaan 22 LED, dan tidak lupa patung ikonik ‘Spirit of Ecstacy’ yang lebih aerodinamik.
Ciri menarik pada Spectre adalah patung ikonik tersebut direka khas supaya ia membantu menghasilkan kadar pekali seretan paling rendah dalam sejarah RR, iaitu sekitar 0.25 Cd sahaja.
Bukan itu sahaja, model ini didatangkan dengan rim berukuran 23 inci yang mana ia merupakan saiz paling besar pernah digunakan oleh mana-mana model Rolls-Royce selama 100 tahun pembabitannya.
Perkara standard pada model ini adalah skrin infotainment dan kluster digital serta lampu galaksi bintang ‘Starlight’ pada headliner. Pelanggan yang berminat boleh menambah lampu galaksi bintang pada panel pintu dimana ia menampilkan sehingga 4,796 titik gentian optik.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.