Jenama kereta Rimac menjadi bualan hangat peminat kereta selepas model Rimac Nevera telah berjaya memecah rekod bagi kereta elektrik terpantas di dunia. Jenama yang berasal dari Croatia ini merekodkan masa terpantas di litar paling sukar di dunia yang terletak di Nürburgring, Jerman.
Rekod masa yang dicatat secara rasmi adalah 7 minit 5.298 saat bagi satu pusingan penuh litar untuk kategori kereta elektrik. Manakala di litar lebih pendek, ia mencatatkan masa 7 minit 0.928 saat.
Ini menjadikan model ini pemegang rekod kereta elektrik terpantas menggantikan Tesla Model S Track Pack. Kereta hyper elektrik ini menggunakan bateri 120 kWh yang mampu menghasilkan hamburan kuasa 1.4 megawattt bersamaan dengan 1,914 hp dengan daya kilas 2,360 Nm.
Dari segi pecutan, Nevera hanya memerlukan 1.81 saat untuk mencapai kelajuan 0-100km/j dan ia juga mampu memecut dari 0-300km/j dalam masa 9.22 saat sahaja. Manakala, kelajuan maksimum yang boleh dicapai ialah 412km/j.
Rimac Nevera turut dilengkapi dengan sistem Rimac’s Intelligent All Wheel Torque Vectoring (R-AWTV) dimana sistem tersebut membuat kiraan melebihi 100 kali bagi jumlah tork yang dihantar ke setiap roda berdasarkan cara pemanduan kita.
Struktur badan Nevera juga dibina supaya ia lebih ringan, kuat dan berkuasa dengan menggunakan kerangka gentian karbon monocoque, pek bateri bersepadu dan juga rangka karbon pada bahagian belakang.
Mod pemanduan yang tersedia untuk Nevera termasuklah mod Sport, Drift, Comfort, Range, Track dan Custom. Tak lupa juga ketersambungan yang dibina untuk pemilik mengetahui status kereta masing-masing hanya melalui aplikasi telefon pintar.
Antara ciri keselamatan yang ada pada model ini adalah teknologi ‘brake by wire’ dimana sistem brek Nevera dikawal dan disambung oleh sistem elektro-hidraulik yang menggabungkan brek regeneratif dan brek geseran untuk mencapai kesan yang efisien dan optimum.
Ia juga dilengkapi dengan teknologi 12 penderia (sensors) ultrasonik di sekitar kereta untuk mengimbas persekitaran sehingga 160-meter ke hadapan bagi mengelak potensi kemalangan. Selain itu, terdapat 13 kamera yang memberi 360 darjah gambaran di sekeliling kereta.
Model Nevera juga disokong oleh cip supercomputer NVIDIA Drive Pegasus yang membantu proses 6 TB data setiap satu jam pemanduan.
Harga yang ditawarkan bagi Rimac Nevera bermula dari RM10.2 juta dan mampu mencecah sehingga RM13.9 juta.
Jika anda mempunyai wang yang cukup tidak menjamin anda boleh menjadi pemilik Nevera kerana produksi unit yang dihasilkan amat terhad iaitu hanya 150-unit manakala untuk versi Nevera Time Attack hanya 12-unit sahaja yang dibina.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.