Berita

Rekaan ‘Garang’! Ducati Multistrada V4 S Grand Tour 2024 Tampil Lebih Laju & Selesa

Share

Barisan produksi Multistrada yang diperkenalkan sejak tahun 2003 telah banyak melalui perubahan dan eksperimen untuk memenuhi citarasa peminat baru dan lama.

“Multi Strada” yang diterjemah secara harfiah dari bahasa Itali bermaksud “Multi Road” atau pelbagai jalan membuktikan fokus utama Ducati dalam penghasilan model ini adalah dikhususkan untuk jalan raya dan jalan off-road.

Varian paling baharu dalam keluarga Multistrada adalah V4 S Grand Tour 2024 (V4 S GT). Di inspirasikan oleh platform Desmosedici Stradale, ia menghasilkan kuasa sehingga 170 HP dari enjin Granturismo bersudut 90 darjah dengan 1,158 cc.

Kredit Foto: Ducati

Varian ini dibina dan diuji untuk mengharungi pelbagai jenis keadaan cuaca dan permukaan jalan, menjadikannya sebagai sebuah jentera yang sangat versatil.

Ia turut menghasilkan kuasa cukup lancar pada kelajuan rendah dengan daya kilas yang responsif pada kelajuan sederhana dan tindak balas seperti motor perlumbaan pada kelajuan tinggi.

Antara perincian yang ditawarkan untuk varian ini adalah, sistem Ducati Quick Shift (up/down), sistem pendikit Ride-by-Wire, sistem gantungan Ducati Skyhook, rim aloi saiz 19” / 17” dipadankan dengan tayar Pirelli Scorpion Trail II.

Kredit Foto: Ducati

Selain itu, sistem pencahayaan dan lampu bantuan menggunakan LED penuh, manakala, fungsi pemanas pelana dan pemegang pendikit serta kotak pannier sisi turut dipasangkan secara standard.

Pada segi skrin paparan maklumat pula ia menggunakan meter TFT bersaiz 6.5 inci berwarna yang turut menyokong sistem navigasi dan Ducati Connect.

Antara bacaan lain yang terdapat pada skrin TFT adalah sistem pemantauan angin tayar, jarak perjalanan dan mod tunggangan iaitu Sport, Touring, Urban dan Enduro.

Kredit Foto: Ducati

Dari segi keselamatan, ia menggunakan sistem brek jenama Brembo M50 Stylema monobloc empat omboh dengan dua rotor 330 mm, diikuti angkup Brembo dua omboh dengan rotor bersaiz 265 mm.

Tambahan lain, ia dilengkapi dengan ABS Cornering, Ducati Traction Control, Ducati Wheelie Control, Ducati Cornering Light, Ducati Brake Light, Vehicle Hold Control, Kawalan Jelajah Adaptif (ACC) dan Sistem Pengesanan Titik Buta (BSD).

Disebabkan tergolong dalam kategori motosikal pelbagai tujuan, ketinggian pelana berukuran 840 mm hingga 860 mm sesuai untuk pelbagai situasi di jalanan atau di hutan. Namun, jangan risau, Ducati turut menawarkan pilihan tempat duduk mengikut ketinggian yang sesuai dengan pemilik V4 S GT ini.

Kredit Foto: Ducati

Antara aksesori tempat duduk yang ditawarkan adalah tempat duduk tinggi berukuran 855 mm – 875 mm, tempat duduk rendah berukuran 810 mm – 830 mm atau jika masih perlu direndahkan, ia mampu pergi serendah 790 mm jika dipadankan dengan kit suspensi rendah.

Anggaran harga yang ditawarkan untuk memiliki sebuah jentera Ducati Multistrada V4 S Gran Turismo bermula, RM180,000 ke atas, namun disebabkan banyak perincian moden pada varian ini, harga tersebut boleh meningkat lebih tinggi, apa pun, peminat perlu menunggu harga rasmi dari pihak Ducati Malaysia.

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram &  TikTok.

Published by
Shazwan