Pertengahan tahun lalu, Mercedes-AMG telah memperkenalkan SUV GLC berprestasi tinggi dalam barisan GLC 43 dan GLC 63 S E Performance. Namun, mungkin terdapat reaksi peminat AMG yang mahukan sebuah model berprestasi sama dengan casis yang lebih besar.
Justeru itu, lahirlah sebuah model AMG dalam versi SUV Coupe yang digelar GLC 43 dan GLC 63 S E Performance. Secara dasarnya, spesifikasi masih sama dengan model badan standard, cuma sedikit penalaan telah dilakukan untuk menyesuaikan prestasi dan casis kereta yang baharu ini.
GLC 43 membawakan nadi 2.0 liter turbo berkuasa 416 HP dengan kuasa motor elektrik kecil setinggi 13 HP. Manakala, GLC 63 S E Performance pula mempunyai spesifikasi yang lebih tinggi sedikit iaitu enjin 2.0 liter turbo dengan hamburan kuasa 469 HP yang turut digandingkan dengan motor elektrik berkuasa 201 HP.
Ini menjadikan model GLC 63 S E Performance berkuasa setinggi 671 HP dan daya kilas 1,020 Nm. Selain itu, sistem pacuan semua roda 4MATIC dengan transmisi AMG Speedshift sembilan nisbah kelajuan turut tersedia untuk kedua-dua model tersebut.
Dari segi prestasi, pecutan 0-96km/j adalah sekitar 4.7 saat untuk GLC 43 manakala GLC 63 hanya mengambil masa selama 3.4 saat sahaja. Kelajuan maksimum bagi model GLC 43 adalah setinggi 250 km/j dan untuk GLC 63 adalah sekitar 275 km/j.
Perbezaan antara dua model ini terletak pada bahagian ruang kargo yang mana GLC 63 S E menawarkan ruang sebesar 391 liter atau sehingga 1,334 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.
Untuk GLC 43 pula, ia lebih besar dengan kapasiti muatan 544 liter yang turut mempunyai perincian sama seperti GLC 63. Jika dilipat kerusi baris kedua, ia mampu menambah ruang kargo sehingga 1,489 liter.
Harga jualan bagi kedua-dua model ini masih tidak didedahkan lagi, namun Mercedes-AMG bakal mengeluarkan model GLC 43 terlebih dahulu untuk tahun 2024, manakala model GLC 63 S E Performance akan dipasarkan pada tahun 2025.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.