Hari ini, Porsche Malaysia melancarkan simbol prestasi tertinggi dari keluarga 911 iaitu model 911 GT3 RS, dengan pelbagai penambahbaikan yang memukau kepada pemandu dan orang di sekelilingnya.
Diadakan di Litar Antarabangsa Sepang, pelancaran model baharu ini turut bergandingan dengan Piala Porsche Carrera Asia 2023 pusingan sembilan dan 10 yang diadakan dari 25 Ogos hingga 27 Ogos ini.
911 GT3 RS digabungkan dengan kuasa dan kejituan yang boleh dibanggakan bersama enjin beraspirasi tinggi, komponen yang ringan dan ciri aerodinamik yang aktif. Antara penambahbaikan yang ketara ialah terletaknya radiator inovatif pada bahagian tengah hud yang diinspirasikan dari 911 RSR.
Selain itu, sayap (spoiler) belakang yang dilebarkan menyumbang kepada daya mendap (downforce) kereta sehingga 860kg, turut ditambah adalah elemen sayap hadapan yang boleh dilaraskan serta sayap dwi-bahagian di belakang.
Buat pertama kalinya, sistem pengurangan seretan (Drag Reduction System) atau DRS digunakan pada model GT3 RS untuk mencapai kelajuan yang lebih tinggi ketika bahagian litar yang lurus.
Dengan menekan butang khusus pada stereng GT3 RS, ia akan meratakan sayap belakang pada masa sama, fungsi brek udara turut diaktifkan. Setiap lekok dan komponen yang terdapat pada GT3 RS ini berfungsi sebagai satu pasukan untuk memaksimumkan kuasa pada model kali ini.
Selain perubahan posisi radiator, elemen paling terserlah pada model ini adalah reka bentuk sayap belakang yang menyerupai leher angsa (dipanggil swan-neck-support). Rekaan ini juga merupakan yang pertama kali dibina lebih tinggi dari bumbung kereta tersebut.
Dalam pada itu, bahagian hadapan 911 GT3 RS menampilkan pembahagi hadapan yang membelah aliran udara ke atas dan ke bawah, bersama bilah sisi (sideblades) bersudut melencong tepat ke luar bagi meningkatkan kestabilan sisi kereta.
Enjin beraspirasi semula jadi 4.0-liter telah ditambahbaik berbanding 911 GT3. Peningkatan ini menghasilkan lonjakan kuasa kepada 386 kW (525 PS) dengan daya kilas 465 Nm. Menggunakan transmisi Porsche Doppelkupplung (PDK) dengan tujuh kelajuan, prestasi model ini menjadi lebih ‘hidup’ dan bertenaga.
Mod pemanduan yang terdapat pada GT3 RS adalah mod Normal, Sport dan Track. Manakala pecutan dari 0-100km/j hanya mengambil masa 3.2 saat, Kelajuan maksimum pula hanya 296km/j, sedikit rendah berbanding GT3 namun lebih lincah.
Pada bahagian dalam pula, rekaannya tidak terlalu menyerlah seperti luarannya. Menggunakan komposisi permukaan kulit hitam, kemasan Racetex dan balutan karbon ia sengaja direka untuk kelihatan tulen dan sporty.
Menurut Christopher Hunter, Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Auto Performance, “Penekanan terbaru 911 GT3 RS menunjukkan fokus yang luar biasa dengan dinamik kereta lumba, menghasilkan tahap prestasi hampir seperti kereta Cup yang sangat disanjung oleh komuniti peminat trek kami yang kian berkembang.”
Porsche 911 GT3 RS baharu boleh didapati pada harga bermula RM2,630,000. Untuk butiran lanjut, sila layari laman web kami di https://bit.ly/911GT3RS-launch.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.