Berita

Porsche Cayenne 2024. Spesifikasi Baharu, Lebih Berkuasa Dan Sedia Untuk Tempahan Pasaran Tempatan

Share

Tempahan Porsche Cayenne 2024 facelift kini dibuka untuk pasaran tempatan. Model facelift ini diperkenalkan secara rasmi kepada umum pada April lalu di pameran Auto Shanghai 2023 yang mana harga yang ditawarkan untuk pasaran Malaysia bermula daripada RM599,999.

Kredit Foto: Careta.my

Cayenne 2024 telah dikemaskini dengan perubahan rupa untuk bahagian luar, reka bentuk papan pemuka serba baharu dan naik taraf trenkuasa yang boleh dirasai ketika memandu.

Kredit Foto: Careta.my

Mengekalkan enjin V6 3.0 liter turbo, jurutera Porsche telah membuat penalaan yang mana ia kini menghasilkan 348 HP dan daya kilas 500 Nm yang turut dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan pacuan semua roda. Secara keseluruhan bahagian enjin kini meningkat kepada 13 HP dan 50 Nm berbanding model sebelum ini.

Kredit Foto: Careta.my

Satu kebanggaan untuk rakyat Malaysia, Cayenne terbaharu ini akan dipasang di dalam negara (CKD) di kilang yang terletak di Kulim, Kedah. Selain perubahan luaran, model ini turut diberi peningkatan dari segi casis, perincian berteknologi tinggi dan juga paparan dan konsep kawalan digital.

Untuk keselesaan pengguna, sistem suspensi Cayenne baharu telah diberi nafas segar dengan penyerap hentak dua injap dengan peringkat lantunan dan mampatan yang berasingan, ini menjadikan pemanduan lebih selesa pada permukaan jalan yang tidak rata.

Kredit Foto: Careta.my

Tambahan lain, Cayenne facelift turut datang dengan standard sistem Porsche Active Suspension Management dimana ciri pitch-and-roll bertindak balas dengan lebih baik dari sebelumnya.

Perubahan lain pada model facelift adalah penggunaan lampu hadapan LED Matrix secara standard. Ia boleh dibezakan dengan reka bentuk yang lebih tajam dan juga kemasan lampu belakang baharu yang kelihatan lebih segar.

Untuk bahagian dalaman, papan pemuka kini dilengkapi dengan instrumen digital 12.6 inci pada bahagian pemandu manakala di bahagian tengah didatangi dengan paparan infotainment bersaiz 12.3 inci secara standard.

Kredit Foto: Careta.my

Teknologi keselamatan juga tidak ketinggalan untuk Cayenne 2024 dimana ia turut tersedia perincian Lane Change Assist dan Lane Keep Assist untuk semua varian.

Selain itu, Porsche turut meningkatkan ciri Adaptive Cruise Control, Soft-close door, Power Steering Plus, rekaan rim baharu bersaiz 20 inci, sistem audio Bose Surround dan pengecasan telefon tanpa wayar pengecasan induktif sehingga 15 watt.

Kredit Foto: Careta.my

Warna yang ditawarkan untuk pasaran Malaysia adalah Chromite Black Metallic, Carrara White Metallic dan Quarzite Grey Metallic setakat ini. Manakala untuk ruang dalaman, Porsche menawarkan pilihan warna hitam dan kulit merah.

Kredit Foto: Careta.my

Tempahan Cayenne 2024 kini boleh dibuat melalui platform digital rasmi mereka https://dealer.porsche.com/my dimana 250 tempahan pertama akan menerima kunci yang dipadankan dengan pilihan warna pemilik Cayenne 2024 masing-masing.

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram &  TikTok.

Published by
Shazwan