Berita

Perlindungan Cermin Hadapan Kereta – Keperluan Atau Pilihan?

Share

Tidak dapat dinafikan keselamatan dan perlindungan merupakan dua aspek yang tidak boleh dipisahkan.

Salah satu komponen kereta yang sering diabaikan tetapi memainkan peranan penting dalam keselamatan adalah cermin hadapan. Namun, adakah perlindungan cermin depan kereta itu benar-benar perlu?

Kredit foto : website mobilewindscreen

Cermin depan kereta, juga dikenali sebagai windscreen adalah komponen kereta yang paling mudah terdedah dengan kerosakan. Ia boleh berlaku akibat kemalangan, atau faktor-faktor lain seperti pantulan serpihan batu daripada kenderaan lain.

Kerosakan pada cermin depan ini bukan sahaja mengganggu pandangan pemandu malah boleh menjejaskan fokus pemanduan pemandu kereta.

Perlindungan insurans windscreen merupakan perlindungan khas kepada cermin hadapan kereta daripada keretakan atau kerosakan. Kelebihan utama perlindungan ini adalah pemilik kenderaan boleh membuat tuntutan insurans untuk membaiki atau menggantikan cermin yang rosak tanpa sebarang caj tambahan atau penolakan No Claim Discount (NCD).

Kredit foto : website carandsound

Walaupun perlindungan cermin depan kereta ini amat berguna, ia bukanlah sesuatu yang wajib diambil oleh pemilik kenderaan di Malaysia. Namun, ia amat digalakkan terutamanya bagi mereka yang mahu menjaga NCD mereka. Jika cermin kereta rosak dan perlu diganti, pemilik boleh membuat tuntutan tanpa penolakan NCD.

Biasanya, premium untuk perlindungan tambahan bagi cermin kereta adalah sekitar 15% daripada jumlah diinsuranskan untuk cermin kereta. Ini mungkin kelihatan sebagai kos tambahan, tetapi apabila dipertimbangkan potensi kos penggantian cermin kereta dan kepentingannya dalam keselamatan, pelaburan ini mungkin berbaloi.

Dalam era automotif moden perlindungan cermin depan kereta mungkin dianggap sebagai salah satu aspek penting dalam insurans kereta. Walaupun bukan keperluan namun manfaat yang ditawarkan menerusi perlindungan ini menjadikannya ia pilihan yang tepat bagi setiap pemilik kenderaan.

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram &  TikTok.

Published by
Syafiq Syazuan Ruzaidi