Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, mengumumkan bahawa mulai bulan hadapan (Mac 2024), lebih daripada 35,000 pemandu teksi dan 18,000 pemandu bas sekolah di seluruh negara akan menikmati caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.
Dalam sidang media selepas Majlis Sua Kasih MADANI Kementerian Pengangkutan (MOT), Loke menjelaskan bahawa 90 peratus daripada caruman tersebut akan ditanggung melalui peruntukan Kementerian Kewangan, manakala baki 10 peratus akan dibayar oleh MOT untuk tempoh setahun.
“Kita difahamkan Kementerian Kewangan ada memberikan satu dana kepada Perkeso sebanyak RM100 juta untuk mencarum sehingga 90 peratus bagi pemandu teksi, e-hailing, p-hailing dan sebagainya. Walaupun 90 peratus, tetapi 10 peratus perlu dicarum sendiri oleh pemandu sendiri, jadi untuk golongan ini, kita akan membuat caruman tambahan 10 peratus itu,” katanya.
Loke menegaskan bahawa usaha ini adalah untuk memberikan perlindungan sosial kepada golongan pemandu, di mana caruman tersebut akan memberi bantuan kepada mereka dan keluarga sekiranya berlaku kemalangan.
Ads
Beliau turut menyatakan bahawa beliau telah berbincang dengan Perkeso mengenai pelaksanaan inisiatif ini, selain meminta Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk menyediakan senarai pemandu dalam pangkalan data mereka kepada Perkeso untuk disemak.
“Kita jangka Mac ini dapat melancarkan inisiatif ini, maksudnya pemandu teksi dan pemandu bas sekolah tidak perlu mencarum satu sen pun untuk setahun, mereka cuma perlu daftar nama mereka. Jika sudah daftar sebelum itu, kita akan bagi slip caruman mereka,” akhirinya.
Seramai 9,549 pemilik Proton e.MAS di Malaysia telah membuktikan bahawa pemanduan elektrik bukan sekadar trend, tetapi satu langkah praktikal ke arah kehidupan yang lebih lestari.
Sepanjang tahun 2025, penggunaan kenderaan elektrik ini membantu mengurangkan pencemaran udara dan bunyi, terutamanya di kawasan bandar yang sibuk.
Melalui perjalanan harian seperti ke tempat kerja, universiti dan urusan keluarga, pemilik e.MAS secara tidak langsung menyumbang kepada persekitaran yang lebih bersih dan tenang.
Ini menunjukkan bahawa perubahan kecil dalam gaya hidup mampu memberi kesan besar kepada alam sekitar.
Tahun 2025 menjadi tahun penting buat Proton e.MAS. Model e.MAS 7 mencatatkan kejayaan besar apabila dinobatkan sebagai EV nombor satu di Malaysia.
Sehingga 31 Disember 2025, sebanyak 9,336 unit e.MAS 7 telah didaftarkan, termasuk 8,677 unit di pasaran tempatan dan 659 unit untuk eksport.
Pada masa sama, e.MAS 5 yang dilancarkan sebagai EV mampu milik pertama Malaysia turut mula memasuki pasaran dengan 213 unit diserahkan kepada pelanggan.
Kedua-dua model ini menunjukkan penerimaan positif rakyat Malaysia terhadap mobiliti elektrik.
Menurut Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, tahun 2025 merupakan permulaan penting bagi Proton e.MAS, bukan sahaja dari segi jualan tetapi juga impak sebenar dalam kehidupan seharian rakyat.
Melangkah ke tahun 2026, PRO-NET memberi tumpuan untuk memperluaskan pilihan kenderaan elektrik, memperkukuh sokongan pengecasan serta meningkatkan perkhidmatan selepas jualan supaya penggunaan EV kekal praktikal dan mudah diakses.
Dilancarkan pada Disember 2024, Proton e.MAS 7 dibangunkan melalui lebih 700,000 jam kerja dan 10 juta kilometer ujian.
Model ini bukan sahaja berjaya di pasaran tempatan, malah menjadi wakil Malaysia di peringkat antarabangsa.
Antara pencapaian penting termasuk peranannya sebagai kenderaan rasmi Sidang Kemuncak ASEAN 2025, penyertaan dalam ASEAN Unity Drive sejauh 10,432 km merentasi sembilan negara, serta jelajah seluruh negara yang membolehkan orang ramai merasai sendiri pengalaman pemanduan elektrik.
Proton e.MAS 5 diperkenalkan bagi memudahkan lebih ramai rakyat Malaysia beralih kepada EV.
Menjelang akhir 2025, model ini merekodkan lebih 14,600 tempahan di seluruh negara. Penyerahan siri pertama telah bermula pada akhir Disember 2025 dan akan diteruskan secara berperingkat sehingga suku pertama 2026.
Bermula 1 Januari 2026, semua pemilik Proton e.MAS yang hadir ke pusat servis terpilih akan menikmati cuci kereta percuma serta pengecasan percuma sehingga 80 peratus.
Inisiatif ini menunjukkan komitmen PRO-NET dalam memastikan pengalaman pemilikan EV yang lebih menyeluruh dan mesra pengguna.
Secara keseluruhan, Proton e.MAS membuktikan bahawa pemanduan elektrik mampu memberi manfaat sebenar kepada alam sekitar dan kualiti hidup masyarakat.
Dengan sokongan berterusan daripada PRO-NET serta penerimaan positif pengguna, masa depan mobiliti elektrik di Malaysia dilihat semakin cerah dan menjanjikan.
Max Verstappen kembali menunjukkan kelas sebenar apabila berjaya merangkul kemenangan sulung musim 2025 di Grand Prix Jepun. Sekali gus mencatat kemenangan keempat berturut-turut di Litar Suzuka. Juara dunia empat kali itu menewaskan duo McLaren, Lando Norris dan Oscar Piastri, dalam perlumbaan yang penuh aksi dan strategi yang mencabar.
Bermula dari petak utama, Verstappen tidak membuang masa untuk mengukuhkan kedudukan di hadapan. Namun segalanya menjadi lebih mendebarkan semasa fasa hentian pit apabila hentian Red Bull sedikit perlahan.
Perkara tersebut memberi ruang kepada Norris untuk mencuba potongan di pintu keluar pit. Kedua-dua kereta bersaing sengit, dan Norris terpaksa mengambil laluan rumput untuk mengelak perlanggaran.
Kedua-duanya sempat meluahkan rasa tak puas hati menerusi radio pasukan, tetapi para steward memutuskan tiada siasatan lanjut diperlukan.
Selepas insiden itu, Verstappen mula membina jurang semula. Tetapi pecutan Piastri di 10 pusingan terakhir memberi tekanan berganda kepada Norris yang akhirnya terpaksa memecut untuk kekal di tempat kedua. Secara tak langsung juga mula merapatkan jurang dengan Verstappen di depan. Namun, Verstappen kekal tenang dan konsisten hingga ke garisan penamat untuk menang kali ke-64 dalam kerjaya F1-nya.
Piastri, yang menyambut ulang tahun ke-24 pada hari perlumbaan, terpaksa berpuas hati di tempat ketiga selepas gagal membuat serangan akhir terhadap rakan sepasukannya. Di belakang mereka, Charles Leclerc mengekalkan konsistensi Ferrari dengan kedudukan keempat.
Manakala duo Mercedes, George Russell dan Kimi Antonelli, menamatkan saingan di tempat kelima dan keenam. Antonelli juga sempat mendahului perlumbaan seketika hasil strategi pit yang bijak.
Lewis Hamilton menyumbang mata tambahan buat Ferrari di tempat ketujuh. Diikuti pendatang baharu, Isack Hadjar, yang berjaya meraih mata pertamanya untuk Racing Bulls di tempat kelapan. Alex Albon (Williams) dan Ollie Bearman (Haas) melengkapkan kelompok 10 teratas.
Di luar kelompok mata, Fernando Alonso menamatkan perlumbaan walaupun gagal meraih sebarang mata. Satu pencapaian kecil selepas dua pusingan pembukaan yang mengecewakan.
Yuki Tsunoda, yang buat pertama kali berlumba untuk Red Bull di tanah air sendiri, menamatkan perlumbaan di tempat ke-12 dan turut dipilih sebagai Driver of the Day oleh peminat walaupun tidak meraih sebarang mata.
Barisan pelumba lain seperti Pierre Gasly, Carlos Sainz, dan Liam Lawson turut menamatkan perlumbaan.
Verstappen kini hanya satu mata di belakang Norris dalam kejuaraan dunia, dengan Piastri melonjak ke tangga ketiga mengatasi Russell.
Seterusnya, Formula 1 akan terus ke Bahrain untuk perlumbaan kedua dalam tiga minggu berturut-turut. Dengan momentum kemenangan di tangan, mampukah Verstappen terus mendominasi? Atau McLaren bakal membalas? Nantikan di Sakhir minggu depan!
Honda Malaysia meraikan ulang tahun ke-25 sejak penubuhannya pada tahun 2000 dengan melancarkan kempen istimewa “Because of You”. Kempen ini berlangsung dari 1 Oktober hingga 31 Disember 2025, menampilkan pelbagai ganjaran menarik termasuk hadiah cabutan bertuah bernilai keseluruhan RM1 juta. Inisiatif ini bukan sahaja menjadi simbol penghargaan kepada pelanggan, tetapi juga memperlihatkan perjalanan penuh pencapaian syarikat ini sepanjang suku abad di Malaysia.
Honda Malaysia menawarkan enam buah kenderaan Honda sebagai hadiah utama yang merupakan cabutan paling bernilai pernah dianjurkan. Model yang ditawarkan meliputi WR-V RS, City RS, City Hatchback RS, Civic RS, HR-V baharu (varian V), dan CR-V e:HEV RS. Selain itu, pelanggan juga berpeluang memperoleh rebat Honda Insurance Plus (HiP).
Pelanggan yang melakukan pandu uji atau mendaftarkan sebarang model Honda di pengedar sah sepanjang tempoh kempen akan menerima sekurang-kurangnya satu entri cabutan bertuah. Lebih banyak penyertaan yang dikumpul, lebih tinggi peluang untuk memenangi salah satu daripada enam model berkenaan. Dua pemenang akan diumumkan setiap bulan melalui laman rasmi Facebook Honda Malaysia serta rangkaian pengedar di seluruh negara.
Mengiringi cabutan bertuah ini, Honda Malaysia turut memperkenalkan beberapa program eksklusif. Honda Loyalist & Loyalist Plus Programme menawarkan rebat tunai atau baucar servis sehingga RM2,000 untuk pemilik Honda sedia ada, termasuk ahli keluarga terdekat serta pemilik motosikal Honda. Bagi mereka yang ingin menaik taraf, Upgrader Programme menyediakan rebat sehingga RM1,500 bagi pembelian model City atau WR-V.
Selain itu, Government Servant Programme diperkenalkan khusus untuk menghargai sokongan penjawat awam. Melalui inisiatif ini, pembeli model City, Civic dan HR-V baharu akan menikmati rebat tambahan RM1,500. Honda Malaysia turut menawarkan program Honda Certified Used Cars (HCUC) bagi pemilik yang mahu menukar kereta lama, di samping pilihan pembiayaan fleksibel untuk memudahkan pemilikan kereta baharu.
Sebagai tambahan, pelanggan juga boleh menikmati diskaun selepas jualan sebanyak 25% untuk alat ganti terpilih seperti Belt Alternator, Link Stabilizer, Lower Arm dan Absorber. Tawaran ini menambahkan lagi nilai kepada pemilikan Honda sepanjang tempoh kempen.
Pelancaran kempen ini turut disertai ucapan daripada Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Narushi Yazaki. Beliau menegaskan bahawa 2025 adalah detik bermakna bagi syarikat yang telah menempuh pelbagai cabaran dan kejayaan sejak tahun 2000. Dengan berpaksikan semangat “Challenging Spirit”, Honda Malaysia kini menjadi jenama automotif bukan nasional nombor satu di pasaran tempatan selama 11 tahun berturut-turut.
“Kami amat berterima kasih kepada pelanggan yang terus mempercayai jenama Honda, serta sokongan berterusan daripada kerajaan, pengedar dan rakan niaga. Kempen 25 tahun ini adalah cara kami menyampaikan ucapan ‘terima kasih’ kepada rakyat Malaysia,” kata Yazaki.
Honda Malaysia mula memasuki pasaran tempatan pada tahun 2000 dan menubuhkan kilang pemasangan tempatan di Pegoh, Melaka pada tahun 2003 dengan CR-V sebagai model pertama pemasangan CKD. Setahun kemudian, Civic Hybrid diperkenalkan sebagai model hibrid pertama di Malaysia.
Pencapaian besar berlaku pada tahun 2014 apabila syarikat menggandakan kapasiti pengeluaran tahunan kepada 100,000 unit dengan pembukaan barisan No.2. Seterusnya, pada 2021, jualan Honda Malaysia mencecah unit ke-1 juta, manakala pada 2022, pengeluaran domestik turut mencapai angka ke-1 juta.
Pencapaian ini menjadi bukti kepada keupayaan Honda Malaysia bukan sahaja sebagai pengeluar kenderaan, tetapi juga sebagai pemacu pembangunan industri automotif tempatan.
Kempen “Because of You” bukan sekadar meraikan ulang tahun ke-25 Honda Malaysia, tetapi juga menzahirkan penghargaan kepada jutaan pelanggan yang menjadikan Honda sebahagian daripada kehidupan seharian mereka. Dengan ganjaran terbesar dalam sejarah syarikat, tawaran istimewa dan program sokongan pelanggan, ulang tahun ini menjadi penanda aras baharu dalam hubungan antara Honda dan rakyat Malaysia.
Sepanjang 25 tahun, Honda Malaysia bukan sahaja menawarkan produk yang memenuhi citarasa rakyat tempatan, malah turut membawa nilai inovasi, kepercayaan dan aspirasi mobiliti untuk masa hadapan.
Dalam dunia automotif, kebanyakan kenderaan dibina mengikut keperluan praktikal seperti keselesaan, kecekapan dan keselamatan. Namun begitu, ada juga model yang dihasilkan dengan pendekatan ekstrem,...