Berita

MINI Cooper Elektrik 2024. Rekaan Klasik, Harga Dari RM175 Ribu

Share

MINI Cooper Electric akan bersalin kulit dengan model generasi kelima yang akan berada di pasaran tidak lama lagi. Cooper Electric merupakan pengganti kepada model sebelum ini yang turut ditawarkan di pasaran tempatan.

Bagi versi baharu ini, ia mempunyai dua varian iaitu Cooper E dan Cooper SE. Perbezaan ketara bagi kedua-dua varian ini terletak pada kuasanya, Cooper E menghasilkan 135kW atau 184 HP manakala, Cooper SE menghasilkan 160kW atau 218 HP.

Cooper baharu ini direka menggunakan konsep Charismatic Simplicity yang mana ia mengekalkan  perkadaran komponen asas seperti bonet, juntaian pendek (short chain) dan jarak panjang roda.

Kredit Foto: mekanika.com.my

Reka bentuk Cooper ini telah mengalami beberapa perubahan walaupun ciri asasnya masih lagi sama.

Contoh terdekat, pemegang pintu yang tidak timbul pada badan, arka roda (wheel arch) dan ketutup sisi (side covers). Rim juga datang lebih besar sebagai standard dan tiada sentuhan krom pada bahagian luaran.

Bahagian hadapan didatangi dengan bingkai jeriji berbentuk oktagon dipadankan dengan lampu bulat tiga nyalaan ikonik. Pada bahagian sisi, ia kelihatan lebih kemas tanpa arka roda dan ketutup.

Kredit Foto: mekanika.com.my

Untuk bahagian belakang, ia kelihatan ‘meriah’ dengan rekaan bonet dan bampar serta lampu ala-ala topeng Spiderman. Untuk bahagian dalam pula, ia direka ringkas sama seperti MINI klasik.

Komponen paling menyerlah untuk ruang dalaman adalah skrin OLED dengan diameter bersaiz 240 milimeter dikuasakan oleh MINI Operating System 9.

Model terbaharu ini juga dilengkapi dengan fungsi MINI Intelligent Personal Assistant, di mana pemandu boleh mengaktifkannya melalui panggilan “Hey MINI” atau melalui butang yang boleh disentuh pada stereng.

Kredit Foto: mekanika.com.my

MINI Cooper ini mempunyai tujuh mod pemanduan dengan tetapan khas iaitu Experience Core, Green, Go-Kart, Personal, Vibrant, Timeless dan Balance.

Menariknya, mod Go-Kart membolehkan pemandu membuat tetapan tindak balas stereng dan menghadkan intervensi pada kawalan cengkaman untuk pemanduan lebih menyeronokkan, sama seperti anda memandu go-kart.

Ruang simpan untuk model terbaharu ini telah melalui pembaharuan dimana ia mempunyai ruang tambahan di bawah lantai bonet,  kerusi dengan pisahan 60:40 yang membolehkan ruang simpan melonjak dari 200 liter hingga 800 liter.

Kredit Foto: mekanika.com.my

Dari aspek pengendalian, MINI telah melebarkan trek dan jarak roda dengan penalaan pada suspensi dan sistem redaman. Cooper terbaharu, telah dipertingkat tindak balas stereng bersama brek yang berkuasa, pusat graviti lebih rendah serta penstabil pra beban pada gandar.

Menggunakan bateri berkapasiti 40.7kWj untuk varian E,dan 54.2kWj untuk varian SE, terdapat tiga kaedah pengecasan iaitu 11kW AC, 75 kW DC dan 95kW DC yang menjadikam pengecasan pantas dari 10% hingga 80% di bawah 30 minit.

Kredit Foto: mekanika.com.my

Jarak perjalanan bagi varian E ialah 305 km manakala, varian SE mampu bergerak sejauh 402 km. Harga untuk pasaran United Kingdom bermula dari £30,000 (RM175,570) untuk varian E dan £34,500 (RM201,905) untuk varian SE.

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram &  TikTok.

Published by
Shazwan