Berita

MForce Perkenalkan Skuter Elektrik Yadea E8S Pro Pada Harga Cukup Menarik!

Share

Industri sKuter elektrik kini dilihat semakin berkembang pesat dengan cukup baik terutamanya di Malaysia. Terbaru, MForce Bike Holdings memperkenalkan diri mereka sebagai antara saingan baharu dalam industri skuter elektrik tempatan dengan melancarkan model terbarunya,  Yadea E8S Pro.

Kemunculan model dilihat sebagai salah satu usaha syarikat ini dalam menyokong Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik, sebuah inisiatif yang diperkenalkan dalam Belanjawan 2024.

Menerusi penganjuran Malaysia Autoshow yang berlangsung pada Mei 2023 lalu, model Yadea E8S Pro ini dipertontonkan dan berjaya mencuri perhatian ramai. Kehadirannya  menjadi petunjuk awal kepada kehadiran skuter elektrik yang bakal menjadi tumpuan rakyat tempatan.

Bagi pasaran tempatan, Yadea E8S Pro ditawarkan pada harga RM5,999, tidak termasuk kos pendaftaran, cukai jalan dan insurans. MForce telah melengkapkan model ini dengan teknologi cekap tenaga TTFAR. Selain itu, skuter ini memenuhi standard yang telah ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan boleh didaftarkan seperti motosikal ICE (enjin pembakaran dalaman).

Dari segi teknikal, skuter ini menawarkan bateri 72v berkapasiti 38Ah. Dipadankan dengan motor elektrik 2000W, ia mampu menghasilkan tork sebanyak 140Nm. Kuasa motor disalurkan ke tayar belakang menerusi tali sawat (belting). Pengguna boleh menikmati kelajuan maksimum sekitar 60km/j dan jarak pergerakan mencapai 150km dengan satu cas penuh.

Skuter ini datang dengan beberapa ciri menarik seperti lampu LED, panel meter digital dan ruang penyimpanan sebanyak 32L. Menariknya, ia menawarkan dua mod memandu iaitu Eco dan Sport, membolehkan pengguna memilih gaya memandu mengikut keperluan.

Yadea E8S Pro boleh didapati dalam tiga warna iaitu Space Gray, Matte Sea Blue dan Black.

Kepada peminat skuter elektrik, inilah peluang anda untuk memiliki salah satu daripada model terkini dengan harga yang menarik! MForce dengan Yadea E8S Pro, menggabungkan teknologi, reka bentuk dan kecekapan dalam satu pakej lengkap.

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

Published by
Syafiq Syazuan Ruzaidi