MBSA Sediakan 10 Terminal Pengecasan EV Di Sekitar Shah Alam

Share

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah menyediakan 10 pengecas kenderaan elektrik (EV) percuma di beberapa lokasi di bawah kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) setakat ini.

Kredit Foto: telanganatoday.com

Menurut Datuk Bandar Shah Alam, Dr Nor Fuad Abdul Hamid, lokasi terminal pengecasan terletak di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Wisma MBSA dan pejabat cawangan MBSA.

Tambahan beliau, 10 terminal pengecasan ini adalah hasil kerjasama antara MBSA dengan Kementerian Tenaga Teknologi Hijau Dan Air (KeTTHA). Selain itu, banyak syarikat swasta yang berminat untuk bekerjasama dengan MBSA bagi membina pengecas EV di sekitar Lembah Klang.

Kredit Foto: Careta.my

“Kami sedang selaraskan dengan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) sebab garis panduannya baru dilancarkan, begitu juga dari Kementerian Pengangkutan. Dari segi teknikal pemasangan ia akan disahkan oleh Suruhanjaya Tenaga Malaysia (ST),” kongsi Dr Nor Fuad.

Beliau membuat kenyataan selepas persidangan antarabangsa Eastern Asia Society for Transportation Studies (EASTS) ke-15 yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Hasbollah di Pusat Konvensyen MBSA, tempoh hari.

Kredit Foto: soyacincau.com

MBSA kini sedang giat mengenal pasti lokasi sesuai untuk penambahan terminal pengecasan berdasarkan keperluan dan permintaan dari masyarakat. Antara lokasi sasaran mereka adalah di pusat bandar dan pusat beli-belah di sekitar Shah Alam.

Menyahut inisiatif ini, Kerajaan Negeri turut merancang untuk menyediakan anggaran 1,000 terminal pengecasan EV di 12 kawasan PBT yang terpilih di seluruh negeri menjelang akhir tahun ini.

Kredit Foto: soyacincau.com

Antara kawasan yang difokuskan adalah Shah Alam, Petaling Jaya, Subang Jaya, Klang dan Ampang Jaya. Menurut Bekas Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan dan Alam Sekitar, Hee Loy Sian, setakat ini terdapat 102 terminal pengecasan EV telah wujud di sekitar Lembah Klang dan usaha untuk memperbanyakkan lagi terminal pengecasan sedang rancak dijalankan.

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram &  TikTok.

Published by
Shazwan