Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah menyediakan 10 pengecas kenderaan elektrik (EV) percuma di beberapa lokasi di bawah kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) setakat ini.
Menurut Datuk Bandar Shah Alam, Dr Nor Fuad Abdul Hamid, lokasi terminal pengecasan terletak di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Wisma MBSA dan pejabat cawangan MBSA.
Tambahan beliau, 10 terminal pengecasan ini adalah hasil kerjasama antara MBSA dengan Kementerian Tenaga Teknologi Hijau Dan Air (KeTTHA). Selain itu, banyak syarikat swasta yang berminat untuk bekerjasama dengan MBSA bagi membina pengecas EV di sekitar Lembah Klang.
“Kami sedang selaraskan dengan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) sebab garis panduannya baru dilancarkan, begitu juga dari Kementerian Pengangkutan. Dari segi teknikal pemasangan ia akan disahkan oleh Suruhanjaya Tenaga Malaysia (ST),” kongsi Dr Nor Fuad.
Beliau membuat kenyataan selepas persidangan antarabangsa Eastern Asia Society for Transportation Studies (EASTS) ke-15 yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Hasbollah di Pusat Konvensyen MBSA, tempoh hari.
MBSA kini sedang giat mengenal pasti lokasi sesuai untuk penambahan terminal pengecasan berdasarkan keperluan dan permintaan dari masyarakat. Antara lokasi sasaran mereka adalah di pusat bandar dan pusat beli-belah di sekitar Shah Alam.
Menyahut inisiatif ini, Kerajaan Negeri turut merancang untuk menyediakan anggaran 1,000 terminal pengecasan EV di 12 kawasan PBT yang terpilih di seluruh negeri menjelang akhir tahun ini.
Antara kawasan yang difokuskan adalah Shah Alam, Petaling Jaya, Subang Jaya, Klang dan Ampang Jaya. Menurut Bekas Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan dan Alam Sekitar, Hee Loy Sian, setakat ini terdapat 102 terminal pengecasan EV telah wujud di sekitar Lembah Klang dan usaha untuk memperbanyakkan lagi terminal pengecasan sedang rancak dijalankan.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Syarat Permohonan Cermin Gelap Kenderaan
Cermin gelap. Kita pasti pernah tertanya mengapa sesetengah kenderaan kerajaan dan kenderaan mewah bercermin gelap, boleh ke? Macam mana mereka mohon dan pada siapa untuk dimohon? Artikel ini bakal kupaskan proses yang perlu dibuat untuk mendapat kelulusan penggunaan cermin gelap pada kenderaan persendirian.
Dalam pada itu, peraturan penggunaan cermin gelap berdasarkan peratus ketelusan cahaya (VLT) oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melibatkan pindaan Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991 telah dikuatkuasakan bermula 8 Mei 2019.
Jadinya, pengguna kenderaan tidak perlu mengemukakan permohonan penggunaan cermin gelap sekiranya penggunaan cermin gelap adalah mengikut spesifikasi VLT yang dikeluarkan oleh JPJ.
Pengguna kenderaan yang ingin mendapatkan cermin gelap berspesifikasi VLT yang lebih rendah di bahagian cermin depan dan cermin sisi di bahagian pemandu perlu mengemukakan permohonan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Permohonan cermin gelap berspesifikasi VLT lebih rendah adalah berdasarkan keperluan kesihatan dan keselamatan sahaja. Permohonan baharu, pembaharuan dan pertukaran bagi setiap kenderaan hendaklah dibuat secara berasingan dan ditandatangani oleh pemohon.
Pemohon dan pemilik kenderaan perlu bebas daripada mempunyai apa-apa kes yang belum selesai dengan JPJ dan PDRM berhubung dengan apa-apa pelanggaran Akta APJ, ALPKP, APAD dan lain-lain Akta yang berkaitan.
Syarat tambahan bagi permohonan pertukaran
- Syarat bagi permohonan pertukaran kelulusan cermin gelap adalah pemilik kenderaan motor yang membuat tukar ganti (interchange) nombor pendaftaran kenderaan motor atau pemilik kenderaan motor membuat penukaran kepada mana-mana kenderaan motor yang dimilikinya.
- semasa membuat permohonan pertukaran.
- Tempoh sah laku kelulusan terdahulu adalah tidak kurang daripada 6 bulan dari tamat tempoh kelulusan. Sekiranya tempoh sah laku kelulusan terdahulu melebihi 6 bulan, pemohon perlu membuat permohonan baru.
- Sekiranya permohonan pertukaran diluluskan, tempoh tamat sah kelulusan adalah mengikut tempoh tamat kelulusan terdahulu.
Dokumen yang diperlukan untuk permohonan cermin gelap
- Bagi permohonan baru, pembaharuan dan pertukaran, dokumen yang diperlukan adalah seperti berikut :
- Borang CG1 (borang boleh didapati di laman web JPJ).
- Salinan kad pengenalan.
- Salinan Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC).
- Salinan Sijil Kelulusan Cermin Gelap (bagi permohonan pembaharuan dan pertukaran).
- Permohonan penggunaan cermin gelap hanya dibenarkan kepada kenderaan yang didaftar atas nama pemohon sahaja. Jika kenderaan bukan hak milik pemohon, dokumen / surat hubungan dengan pemilik kenderaan perlu dikemukakan. Contoh : sijil lahir / sijil perkahwinan dan lain-lain yang berkaitan).
- Bagi permohonan berkaitan keperluan kesihatan, dokumen tambahan yang diperlukan adalah seperti berikut :
- Bagi kenderaan milikan persendirian individu, pemohon perlu mengemukakan salinan laporan perubatan terkini oleh Pakar Perubatan dari Hospital Kerajaan atau Pakar Perubatan Hospital Swasta yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dengan menyatakan jenis atau nama penyakit secara spesifik.
- Bagi kenderaan persendirian syarikat, pemohon perlu mengemukakan borang daftar Syarikat 24 dan Form 49 yang disahkan oleh Setiausaha Syarikat yang berdaftar.
- Bagi permohonan berkaitan keperluan keselamatan untuk kenderaan milikan persendirian individu, dokumen tambahan yang diperlukan adalah seperti berikut :
- Dokumen sokongan seperti laporan polis atau lain-lain dokumen sokongan yang berkaitan risiko keselamatan yang di hadapi
- Bagi permohonan berkaitan keperluan keselamatan untuk kenderaan milikan persendirian syarikat, dokumen tambahan yang diperlukan adalah seperti berikut :
- Borang daftar Syarikat 24 dan Form 49 yang disahkan oleh Setiausaha Syarikat yang berdaftar
- Bagi permohonan berkaitan keperluan keselamatan untuk kenderaan milikan atau sewaan Kerajaan, dokumen tambahan yang diperlukan adalah seperti berikut :
- Surat permohonan daripada Ketua Setiausaha Kementerian atau Ketua Pengarah Jabatan
- Bagi permohonan berkaitan keperluan keselamatan untuk kenderaan milikan kedutaan atau kakitangan kedutaan, dokumen tambahan yang diperlukan adalah seperti berikut :
- Surat permohonan daripada kedutaan.
- Bagi Permohonan Pertukaran, pemohon dikehendaki mengemukakan Sijil Perakuan kelulusan kenderaan terdahulu.
Bayaran permohonan baru, pembaharuan dan pertukaran
- Tiada bayaran dikenakan untuk Fi Permohonan dan Fi Perakuan untuk permohonan baharu, pembaharuan dan pertukaran bagi permohonan berkaitan keperluan kesihatan.
- Bayaran RM50.00 untuk Fi Permohonan untuk permohonan baharu, pembaharuan dan pertukaran bagi permohonan berkaitan keperluan keselamatan.
- Bagi Kenderaan Persendirian Individu / Persendirian Syarikat yang ingin membuat permohonan penggunaan cermin gelap untuk keperluan keselamatan, bayaran RM5,000.00 untuk Fi Perakuan untuk permohonan baharu dan pembaharuan dikenakan.
- Bagi Kenderaan Persendirian Individu Kedutaan / Milikan Kedutaan yang ingin membuat permohonan penggunaan cermin gelap untuk keperluan keselamatan, bayaran RM5,000.00 untuk Fi Perakuan untuk permohonan baharu dan pembaharuan dikenakan.
- Bagi Kenderaan Milikan Kerajaan yang ingin membuat permohonan penggunaan cermin gelap untuk keperluan keselamatan, tiada bayaran dikenakan untuk Fi Perakuan untuk permohonan baharu, pembaharuan dan pertukaran.
- Bayaran Fi Permohonan perlu dibuat setelah membuat permohonan, manakala bayaran Fi Perakuan perlu dibuat setelah mendapat surat makluman keputusan permohonan kelulusan penggunaan cermin gelap. Bayaran tidak akan dipulangkan sekiranya pemohon membuat pembatalan permohonan atau tidak menepati syarat-syarat yang ditetapkan.
- Bayaran Fi Permohonan dan Fi Perakuan boleh dijelaskan di mana-mana pejabat JPJ Negeri / Cawangan atau secara atas talian di Portal Awam JPJ.
Tempoh sah laku permohonan cermin gelap
- Tempoh sah laku permohonan berkaitan keperluan kesihatan adalah selama 2 tahun.
- Tempoh sah laku permohonan berkaitan keperluan keselamatan bagi Kenderaan Milikan Kerajaan adalah selama 5 tahun.
- Tempoh sah laku permohonan berkaitan keperluan keselamatan bagi Kenderaan Persendirian Individu / Persendirian Syarikat dan Kenderaan Persendirian Individu Kedutaan / Milikan Kedutaan adalah selama 2 tahun.
- Kelulusan yang telah tamat tempoh sah laku perlu membuat permohonan baru tiga (3) bulan sebelum tamat tempoh kelulusan dengan mengemukakan dokumen-dokumen seperti yang telah dinyatakan dan bayaran fi dijelaskan.
Keputusan permohonan
- Surat keputusan akan dikeluarkan oleh Bahagian Penguatkuasa, Ibu Pejabat JPJ kepada pemohon secara pos berdaftar.
- Sijil Perakuan kelulusan cermin gelap akan diserahkan kepada pemohon secara pos berdaftar. Pemohon juga boleh hadir sendiri ke Bahagian Penguatkuasa, Ibu Pejabat JPJ untuk penyerahan sijil.
Kadar saman yang dikenakan
Menurut JPJ, pemilik kenderaan yang gagal untuk mematuhi peraturan cermin gelap boleh dikenakan hukuman denda tidak melebih RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan. Dalam hal sabitan kali kedua atau seterusnya, denda tidak melebihi RM4,000 atau penjara tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya.
Kredit – Vort-X.com / Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia
Baca: Cermin Kereta Gelap Ikut Spesifikasi JPJ 2024
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Metzeler Roadtec 02 Tayar Sports-Touring Untuk Masa Hadapan
Pakar tayar motosikal terkenal, Metzeler telah memperkenalkan legasi yang seterusnya daripada tayar sport touring Roadtec 01 mereka yang terkenal dengan menampilkan Metzeler Roadtec 02.
Dijangkakan akan mula dipasarkan pada Januari 2024, rekaan tayar baharu ini bukan sahaja menjanjikan peningkatan prestasi tetapi dalan pada masa yang sama menunjukkan komitmennya terhadap kelestarian alam.
Menurut Metzeler, penunggang boleh mendapat peningkatan yang signifikan dengan Roadtec 02, terutamanya dalam keadaan yang mencabar.
Firma Jerman itu menegaskan bahawa tayar ini akan lebih cepat panas untuk cengkaman yang lebih kuat dan daya cengkaman yang lebih kuat walaupun dalam keadaan basah, sejuk atau licin. Ini adalah bukti dedikasi Metzeler untuk memastikan keselamatan dan prestasi untuk penunggang, tanpa mengira cuaca.
Pengarah Pemasaran Metzeler, Francesco Pietrangeli berkata, “Bagi kami, menunggang motosikal adalah lebih daripada sekadar pengangkutan, ia adalah gaya hidup. Kami maklum dengan penunggang motosikal yang berdedikasi menunggang walaupun dalam cuaca hujan atau sinar matahari, serta pengembara bersemangat yang mencari pengalaman yang tidak dapat dilupakan.
Walau bagaimanapun, kami tidak pernah berkompromi tentang kualiti. Pelanggan kami layak mendapat tayar yang boleh mereka percayai, memastikan keselamatan walaupun dalam keadaan yang tidak menguntungkan tetapi menawarkan kualiti menunggang yang mudah.”
Pengumuman Metzeler datang pada masa apabila industri tayar sedang mengalami revolusi hijau. Michelin, salah satu pesaing utama Metzeler, telah memperkenalkan pilihan mesra alam untuk tayar kereta dan bas.
Sebagai komuniti global bergerak menuju pencapaian emisi sifar, dijangkakan lebih banyak pengeluar akan mengutamakan kelestarian. Tayar dan pad brek, khususnya, dijangka akan lebih banyak produk sebegini dihasilkan.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Alignment dan Balancing Tayar – Fungsi dan Kesan Jika Diabaikan
Alignment dan balancing tayar adalah dua aspek penting dalam penyelenggaraan kereta yang sering kali diabaikan oleh pemilik kenderaan.
Walau bagaimanapun, kedua-duanya memainkan peranan yang besar dalam memastikan prestasi dan keselamatan kereta anda berada pada tahap optimum.
Fungsi Alignment Tayar
Alignment tayar merujuk kepada proses pelarasan sudut tayar supaya ia sejajar dengan spesifikasi kilang.
Tayar yang tidak selari boleh menyebabkan kereta anda tertarik ke satu sisi semasa memandu, yang seterusnya mengurangkan kecekapan bahan api dan mempercepatkan kehausan tayar.
Alignment yang betul memastikan bahawa tayar anda bersentuhan sepenuhnya dengan permukaan jalan, memberikan pemanduan yang lebih stabil dan selesa.
Fungsi Balancing Tayar
Balancing tayar pula adalah proses memastikan berat tayar dan roda diagihkan secara sekata.
Tayar yang tidak seimbang boleh menyebabkan getaran pada stereng, terutama pada kelajuan tinggi, yang bukan sahaja mengganggu keselesaan pemanduan, tetapi juga boleh menyebabkan kehausan pramatang pada tayar dan komponen suspensi.
Dengan balancing yang betul, pemanduan menjadi lebih lancar dan tayar bertahan lebih lama.
Bila Perlu Melakukan Alignment dan Balancing Semula?
Secara amnya, alignment dan balancing tayar perlu dilakukan setiap kali anda menukar tayar baharu, atau setiap 10,000 hingga 15,000 kilometer.
Bergantung kepada keadaan jalan yang dilalui dan cara pemanduan.
Selain itu, jika anda merasakan getaran pada stereng, kereta menarik ke satu sisi, atau jika tayar kelihatan haus secara tidak sekata, ini adalah petanda bahawa alignment atau balancing mungkin diperlukan segera.
Kesan Jika Tidak Melakukan Alignment dan Balancing
Mengabaikan penyelenggaraan ini boleh membawa kepada beberapa masalah serius.
Pertama, kehausan tayar yang tidak sekata akan memendekkan jangka hayat tayar, memaksa anda menukar tayar lebih awal daripada sepatutnya.
Kedua, kereta yang tidak stabil akibat alignment yang salah boleh meningkatkan risiko kemalangan, terutamanya dalam keadaan kecemasan.
Ketiga, tayar yang tidak seimbang boleh merosakkan komponen suspensi dan stereng, yang akhirnya memerlukan kos pembaikan yang lebih tinggi.
Harga Semasa Servis Alignment dan Balancing
Harga untuk servis alignment dan balancing berbeza-beza bergantung kepada jenis kereta dan lokasi bengkel.
Secara purata, kos untuk alignment adalah sekitar RM50 hingga RM80, manakala balancing pula berharga sekitar RM5 hingga RM10 setiap tayar.
Walaupun kosnya mungkin kelihatan kecil, ia adalah pelaburan yang berbaloi untuk memastikan keselamatan dan prestasi kereta anda.
Kesimpulan
Melakukan alignment dan balancing tayar secara berkala bukan sahaja meningkatkan jangka hayat tayar, tetapi juga memastikan pemanduan yang lebih selamat serta selesa.
Jangan abaikan penjagaan ini kerana ia boleh menyelamatkan anda dari kos yang lebih tinggi dan risiko keselamatan yang serius di jalan raya.
Pastikan anda membuat pemeriksaan secara berkala di bengkel yang dipercayai untuk mengekalkan keadaan tayar dan kereta anda dalam keadaan terbaik.
Baca Juga Cara Menentukan Tekanan Angin Tayar yang Tepat untuk Motosikal
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.