Berita

KTMB Perkenal Sistem Pembayaran Terbuka di Stesen Lembah Klang dan Komuter Utara

Share

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, telah secara rasminya mengumumkan pelancaran Sistem Pembayaran Terbuka oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), yang kini boleh diakses di semua stesen di Lembah Klang dan stesen Komuter Utara termasuk Ipoh, dengan melibatkan sebanyak 80 stesen pada hari Khamis yang lalu.

Menurut Loke, sistem baru ini memudahkan pengguna untuk membuat pembayaran perjalanan menggunakan pelbagai kaedah termasuk kad debit, kad kredit, dan pembayaran digital e-wallet di pintu kawalan automatik. Ini pastinya akan memudahkan pengguna dengan proses pembayaran yang lebih pantas, hanya memakan masa antara satu hingga lima saat sahaja.

“Inisiatif ini khusus untuk kemudahan komuter dan tidak melibatkan perkhidmatan ETS, yang memerlukan pembelian tiket dalam talian dan melibatkan pemilihan tempat duduk tertentu yang terhad,” jelasnya selepas pelancaran Sistem Pembayaran Terbuka KTMB di stesen KTMB Ipoh.

Loke juga mengesahkan bahawa Sistem Pembayaran Terbuka yang diperkenalkan pada bulan September 2022 di Lembah Klang telah berjaya dilaksanakan sepenuhnya pada akhir tahun lalu. Beliau mengakui usaha besar dalam melaksanakan transformasi sistem ini yang dilakukan sepenuhnya oleh KTMB tanpa perlu bantuan dana pembangunan kerajaan.

Kredit Foto: Kosmo!

“Inisiatif ini sepenuhnya dibiayai oleh KTMB melalui dana dalaman tanpa sebarang sumbangan dari belanjaan pembangunan kerajaan. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada KTMB atas usaha mereka dalam memperkenalkan inisiatif yang membanggakan ini dengan pelaksanaan yang pantas dan cekap,” ujarnya.

Selain itu, Loke juga menghargai kontraktor utama, konsortium yang dipimpin oleh syarikat NSS IT, Syarikat Revenue Group, Touch ‘n Go, dan PayNet, yang merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang turut terlibat dalam pelaksanaan sistem ini sebagai rakan kongsi yang telah memberi sumbangan besar terhadap kejayaan projek ini.

Menurut Suhaimi, terdapat peningkatan yang signifikan dalam perkhidmatan ‘intercity’ dengan jumlah penumpang meningkat sebanyak 81 peratus dari 2.2 juta pada tahun 2022 kepada 4.25 juta penumpang pada tahun lalu. ETS juga mencatatkan peningkatan sebanyak 26.4 peratus dan KTM Komuter dengan peningkatan sebanyak 15.3 peratus.

“Melalui langkah-langkah digitalisasi ini, kami yakin dapat menarik lebih ramai pengguna dan pelancong ke negeri ini (Perak),” katanya.

Untuk menyokong agenda digitalisasi negara, KTMB juga telah memperkenalkan program kesetiaan, ‘Rail Rewards’, yang menawarkan mata ganjaran bagi setiap pembelian tiket melalui aplikasi ‘KTMB Integrated Ticketing System’ (KITS) yang dilancarkan pada 1 Januari tahun ini. Mata ganjaran ini boleh ditukarkan untuk pembelian tiket tren pada masa hadapan.

“Selanjutnya, aplikasi KITS akan diperbaharui pada suku kedua tahun 2024 untuk menjadi platform Mobility As A Service (MaaS) SuperApp, yang akan menawarkan pelbagai perkhidmatan tambahan termasuk tempahan penginapan, makanan, perkhidmatan kewangan, dan jaringan pengangkutan perbatuan awal dan akhir,” tambahnya.

Baca: “The Corner Rocket”! KTM Lancar Model Duke 390 2024

++Mari la tengok platform Roda Panas yang lain di  YoutubeInstagram &  TikTok

 

Published by
Shazwan